Usul PAS sebabkan saham judi, arak jatuh

KUALA LUMPUR -- Kemenangan Parti Islam (PAS) di Terengganu dan Kelantan dan pengumuman Menteri Besar Terengganu bahawa negeri itu akan menghapuskan tempat perjudian dan penjualan arak menyebabkan saham-saham perjudian dan syarikat arak jatuh mendadak semalam.

Langkah pertama PAS di Terengganu telah menimbulkan kekhuatiran di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan mungkin menjejas perikatan parti itu dalam Barisan Alternatif.

PAS merampas negeri yang kaya dengan minyak dan gas itu daripada Barisan Nasional (BN) dan mengukuhkan penguasaan mereka di Kelantan.

Haji Abdul Hadi berkata perubahan pertama yang perlu dilaksanakan segera ialah meminda prinsip dan dasar yang sebelum ini bercanggah dengan Islam.

"Ini untuk menyatakan bahawa hukum Islam itu hukum yang tertinggi.

"Malah menjadi kewajipan kita yang bertanggungjawab diberi amanah rakyat membuktikan Islam itu yang terbaik daripada segala-segalanya," ujarnya.

Pengumuman Haji Abdul Hadi itu menyebabkan KLSE jatuh hampir dua peratus semalam, memburukkan lagi kejatuhan yang dialami kelmarin.

Saham-saham 'dosa' -- seperti dalam syarikat judi dan arak -- mengetuai kejatuhan tersebut.

Undang-undang yang ingin diperkenalkan di Te rengganu telah berkuatkuasa di Kelantan hampir sedekad.

Namun kejayaan PAS di Terengganu dan menembusi beberapa wilayah lain di Perlis, Kedah dan Pahang telah mendorong spekulasi bahawa Dr Mahathir, yang ingin memenangi undi, mungkin melakar dasar-dasar yang lebih mirip kepada PAS.

Kehilangan Terengganu menimbulkan kebimbangan BN kerana wilayah itu merupakan pengeluar minyak dan gas terbesar.

Kerajaan negeri menerima sekitar RM400 juta ($176 juta) dalam bentuk royalti.

Haji Abdul Hadi juga berkata kerajaan negeri mungkin menimbangkan undang-undang hudud.

Namun Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam kenyataannya semalam memberi amaran mereka mungkin menimbangkan semula pakatan mereka jika PAS mengulangi tuntutan menubuhkan negara Islam. -- Reuters.

Kirim email ke