SURUHANJAYA PILIHANRAYA MOHON KETEPIKAN SAMAN JOMO

 

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah memohon untuk mengetepikan permohonan pensyarah Universiti Malaya Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang memohon perisytiharan bahawa pilihan raya umum pada 29 Nov lalu tidak boleh dijalankan tanpa kemasukan 680,000 pengundi yang baru mendaftar.

SPR mengemukakan permohonan itu selepas suruhanjaya itu memasukkan kehadiran bersyarat dalam saman Jomo yang dikemukakan pada 23 Nov.

Jomo, 46, yang mendaftar sebagai pengundi pada lewat April atau Mei tahun ini, mendakwa bahawa pilihan raya itu tidak boleh diadakan kerana ia tidak selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah ekonomi itu juga memohon perisytiharan bahawa sebagai seorang pengundi yang baru mendaftar, beliau berhak untuk mengundi di parlimen Petaling Jaya Selatan dan kawasan dewan undangan negeri Bukit Gasing pada pilihan raya 29 Nov.

Pengerusi SPR Datuk Omar Mohamed Hashim telah mengumumkan bahawa SPR akan menggunakan daftar pemilih 1998, yang disahkan pada Januari tahun ini bagi pilihan raya itu.

Menurut SPR, mereka yang mendaftar sebagai pengundi pada tahun ini tidak dapat mengundi pada pilihan raya kali ini kerana daftar pemilih baru akan hanya disahkan pada Januari tahun depan.

-- BERNAMA

Kirim email ke