|
Oleh Abdulrahman Ahmad
KUALA TERENGGANU,
3 Dis (Bernama) -- Bekas menteri besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berkata
adalah tidak munasabah melemparkan dakwaan kononnya kekalahan Barisan
Nasional (BN) di Terengganu pada pilihan raya umum Isnin lepas disebabkan
faktor beliau bertanding.
"Macam-macam cerita dibuat dan
ada yang marah kononnya saya orang lama ...semuanya saya sahaja ...,"
katanya kepada Bernama dalam satu pertemuan di kediamannya di Panji Alam,
di sini hari ini.
Wan Mokhtar yang ditanya mengenai dakwaan ramai
bahawa beliau menjadi faktor kekalahan BN, berkata selaku pengarah pilihan
raya BN negeri beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu
bagaimanapun faktor dalaman parti perlu turut diambil kira.
Mengenai dakwaan kononnya beliau mendesak pucuk pimpinan parti
membenarkannya bertanding semula setelah nama beliau digugurkan, Wan
Mokhtar berkata perbincangan ada dibuat dengan pucuk pimpinan dan
keputusannya didapati adalah lebih baik jika beliau bertanding semula.
Wan Mokhtar bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri
kagasan Cukai tetapi kalah kepada calon PAS, Haji Awang Jusoh yang
mendapat majoriti 436 undi.
BN Terengganu kecundang apabila PAS
memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. PAS turut memenangi
tujuh kerusi Parlimen manakala satu lagi kerusi dimenangi parti Keadilan
Nasional.
Ditanya mengenai dakwaan bahawa peluang BN lebih cerah
jika beliau tidak bertanding, Wan Mokhtar berkata: "Saya nampak sebaliknya
...ramai yang mahu saya bertanding kerana jika saya tidak bertanding
jentera parti tidak mahu bergerak, sebab itu saya terpaksa mengharunginya.
Wan Mokhtar juga berkata beliau bersedia menerajui BN dan
perhubungan Umno negeri jika bahagian-bahagian Umno di Terengganu serta
pucuk pimpinan parti masih memerlukan khidmatnya dan buat masa ini beliau
sibuk menyenggara urusan Umno dan BN negeri.
Ditanya mengenai
rancangan masa depan Umno di Terengganu, beliau berkata strategi parti
perlu disusun semula.
"Bagaimanapun, untuk mencapai kejayaan, ia
harus dilakukan melalui perjuangan yang ikhlas oleh semua pihak dalam
parti. Mana-mana (orang) yang telah memainkan peranan tidak baik perlu
diketepikan," katanya.
Menurutnya kekalahan BN termasuk
kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai yang disandangnya
sejak 25 tahun lepas, mengejutkannya kerana daripada risikan dan maklumat
yang diterima menunjukkan bahawa BN masih mampu mempertahankan kuasanya di
Terengganu.
Ditanya kemungkinan maklumat yang disampaikan kepada
beliau itu diselewengkan oleh pelapornya, Wan Mokhtar berkata: "kalau
seleweng pun pada satu dua tempat tetapi ini boleh dikatakan semua tempat
kami kalah dan kami akan menjalankan siasatan."
Mengulas sama ada
kekalahan BN di negeri ini dan kekalahan beliau sendiri di DUN Cukai
sebagai satu penolakan pengundi terhadap parti, beliau berkata: "dakyah
yang dilemparkan ke atas kerajaan BN telah kami jelaskan menerusi pelbagai
cara seperti majlis dialog dengan ketua-ketua jabatan dan rakyat termasuk
isu bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim."
Beliau juga tidak menafikan bahawa isu Anwar turut memainkan
peranan kerana PAS mengambil peluang daripada isu itu dengan menyebarkan
gambar Anwar ditumbuk di bahagian mata kononnya menggambarkan sikap buruk
BN.
Katanya beliau menerima kekalahan itu dengan tenang kerana
dalam perjuangan ada menang ada kalah..."kita rancang dan Allah SWT
menentukan dan ini semua menguji kekuatan iman dan kita perlu percaya
kepada qada dan qadar, pangkat dan harta semuanya kehendak Allah SWT."
--
BERNAMA |