Heh heh.. suruh bertanding, tapi Presiden dan Timbalan tak boleh pulak. Demokrasi Taik Minyak

PM: Calon hak bahagian -- 'UMNO mengamalkan demokrasi, siapa sahaja boleh bertanding'

ALOR SETAR 5 Jan. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, bahagian mempunyai hak mencalonkan sesiapa sahaja untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Mei ini kerana UMNO mengamalkan demokrasi.

Perdana Menteri berkata, Majlis Tertinggi (MT) hanya mengesyorkan supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Bagaimanapun katanya, terpulanglah kepada bahagian sama ada untuk mematuhi cadangan MT tersebut atau sebaliknya.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan daripada sebuah bahagian UMNO di Negeri Sembilan yang mendakwa parti itu tidak mengamalkan demokrasi sepenuhnya apabila mengambil keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu.

Bahagian berkenaan mahukan dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan sebagai memenuhi kehendak demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Majlis Tertinggi dalam mesyuaratnya Isnin lalu sebulat suara mengesyorkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Majlis itu juga mencadangkan Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir selaku Presiden UMNO berkata, parti tidak berhasrat untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana bahagian yang melanggar nasihat MT itu.

Perdana Menteri menegaskan, keputusan untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan tertinggi parti itu dibuat secara sebulat suara oleh MT dan bukan keputusan beliau sendiri.

Sehubungan itu beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan keputusan MT itu sebagai tidak mengamalkan demokrasi adalah tidak tepat.

''Itu keputusan MT, bukan saya buat keputusan. MT yang buat keputusan. Tidak apalah mereka hendak memberi komen, kita peduli apa,'' tegasnya.

Perdana Menteri berkata, pihaknya tidak akan melayan sebarang kerenah daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh MT.

Ditanya apakah reaksinya terhadap dakwaan bahagian UMNO itu, Dr. Mahathir memberitahu, pihaknya tidak akan menunjukkan sebarang reaksi kepada dakwaan bahagian tersebut.

''Orang hendak kata apa, katalah. Tidak mahu dengar susahlah. Kita nasihat sahaja. Kalau tidak mahu dengar nasihat tidak apa,'' katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim, Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau bersama isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, tiba di lapangan terbang itu kira-kira pukul 3.35 petang sempena lawatan sehari ke negeri ini hari ini.

Ketibaannya disambut oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Syed Razak Syed Zain, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, para pegawai kanan kerajaan, para pemimpin Barisan Nasional dan para pemimpin masyarakat.

Sebaik tiba di lapangan terbang itu, Dr. Mahathir mengadakan lawatan ke Kompleks Pekan Rabu di sini dan mengambil kuih-kuih raya yang ditempah pada 27 Disember lalu.

Beliau kemudiannya berbuka puasa dan bersembahyang maghrib bersama penduduk Kampung Bukit di Masjid Kampung Bukit, Hosba, Jitra.

Oleh: YUSRI SAHAT

Kirim email ke