SAYA TIDAK KE TIVOLI VILLA ANTARA JANUARI DAN MAC 1993, KATA ANWAR

 

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah ke apartmen milik adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, pada suatu petang antara Januari dan Mac 1993 dan bertemu Azizan Abu Bakar di sana.

Beliau berkata adalah tidak benar beliau ke situ pada masa berkenaan.

"Tidak benar sama sekali Yang Arif," katanya semasa menolak cadangan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail bahawa beliau telah ke sana pada masa itu dan berada di situ sebelum Azizan tiba.

Anwar yang sedang membela diri terhadap tuduhan meliwat Azizan di Mahkamah Tinggi di sini, berkata demikian semasa disoal balas oleh Abdul Gani pada perbicaraan kes liwatnya yang kini masuk hari ke-80.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga menolak cadangan Abdul Gani bahawa Sukma ada di apartmennya semasa beliau dan Azizan di sana.

Anwar, 52, kini dibicarakan bersama-sama Sukma, 38, atas tuduhan meli! wat Azizan, 39, bekas pemandu peribadi isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizan Ismail, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini pada suatu malam, pukul 7.45, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma juga didakwa bersubahat dengan bekas menteri kewangan itu untuk meliwat Azizan di tempat dan pada masa yang sama.

Ketika dicadangkan yang beliau telah meliwat Azizan dalam sebuah bilik di apartmen berkenaan dalam tempoh masa berkenaan, Anwar berkata: "Tidak benar Yang Arif. Ia fitnah jahat yang direka oleh musuh-musuh politik saya."

Beliau juga menolak cadangan Abdul Gani bahawa Sukma telah melakukan perbuatan itu terhadap Azizan selepas beliau berbuat demikian.

Anwar yang menafikan pernah menyebut "Sukma pun teringin juga", berkata adalah tidak benar beliau memanggil Sukma dengan nama penuh kerana beliau memanggil adik angkatnya dengan panggilan "Suk".

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Christopher Fernando, Anwar menerangkan cara beliau ! menerima surat memohon maaf Sukma semasa mereka berdua ditahan polis dalam lokap di Bukit Aman pada penghujung September 1998.

Katanya Sukma mencampakkan lipatan surat kecil tiga helai kertas dengan enam muka surat itu di luar selnya (Anwar) semasa adik angkatnya itu dibawa keluar dari selnya untuk "mandi matahari" di belakang meja pengawal dalam lokap berkenaan.

(Surat itu yang antara lain menyebut Sukma memohon maaf dan mengaku dipaksa oleh polis untuk mereka-reka keterangan bagi membabitkan Anwar dalam kes berkenaan kemudian diterima sebagai barang kes melalui Sukma).

Perbicaraan hari ini menyaksikan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan ditegur oleh Hakim Datuk Arifin Jaka kerana sering mengulangi soalan yang telah dikemukakan yang beliau anggap merugikan masa mahkamah.

Setelah pemeriksaan balas Anwar selesai, mahkamah mendengar keterangan Sukma yang memberitahu bahawa beliau datang ke Malaysia pada tahun 1977 untuk melanjutkan pelajaran ! di Yayasan Anda Akademik.

Sukma yang mengaku telah menulis surat kepada Anwar semasa mereka dalam tahanan di Bukit Aman, ketika disoal peguamnya Gobind Singh Deo, berkata beliau tinggal di rumah milik bapa Anwar Datuk Ibrahim Abdul Rahman di Kampung Tunku ketika itu.

Perbicaraan disambung Selasa ini.

-- BERNAMA


COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke