Pembabitan munafiqin dalam peristiwa Khandak

Oleh:  Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat

DI MANAKAH kedudukan orang-orang munafiq ketika usaha menggali parit giat dijalankan oleh Nabi s.a.w. serta para sahabat seluruhnya?

Ibnu Ishak mencatatkan dalam kitab sejarahnya, bahawa tidak dinafikan memang tokoh munafiq turut serta dalam kerja menggali parit. Bagaimanapun mereka tidak menunjukkan kesungguhannya dan acuh tak acuh serta melengah-lengahkan kerja bersama Nabi s.a.w.

Sesuai dengan sikap mereka yang tidak berpegang dengan aqidah tauhid, hidup hanya untuk mencari kepentingan dunia. Justeru apabila terpaksa melakukan kerja berat seperti menggali parit itu, sedangkan ia tidak mendatangkan keuntungan peribadi. Maka kerja yang dilakukan secara terpaksa dan hanya bermuka-muka untuk memperlihatkan bahawa mereka kononnya tetap bersama-sama Nabi s.a.w.

Namun hanya sedikit waktu yang mereka gunakan untuk bekerja menggali parit, sebaliknya lebih banyak masa untuk berehat dengan membuat pelbagai dalih dan alasan yang lemah seperti kurang sehat, uzur dan sebagainya. Menyebabkan mereka tidak aktif untuk bekerja bersama Rasulullah s.a.w.

Malah mereka seringkali curi-curi keluar dari medan khandaq, pulang ke rumah untuk berehat-rehat bersama keluarga dengan tidak setahu Rasulullah s.a.w. Ia memperlihatkan bahawa mereka tidak menghormati Nabi s.a.w. sebagai Rasulullah dan juga pemimpin perang.

Mereka langsung tidak memiliki akhlak sebagai pengikut Nabi s.a.w. Sepatutnya mereka tidak boleh meninggalkan medan tanpa mendapat izin dari Nabi sebagai ketua.

Sebaliknya orang-orang mukmin apabila mereka ditimpa sesuatu keuzuran, sehingga tidak dapat terus menyertai kerja-kerja jemaah. Maka mereka mesti mendapatkan izin dari Nabi s.a.w. bagi menyempurnakan hajatnya itu.

Demikianlah adab-adab dalam berjemaah dan peraturan itu tetap berjalan sehingga bila-bila pun. Sesuatu keputusan yang telah dicapai dalam sesuatu mesyuarat, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk melaksanakannya.

Jika seseorang itu acuh tak acuh dengan keputusan yang telah dicapai bersama, meninggalkan medan tanpa memberi tahu ketua, ini bererti orang itu mewarisi tingkah laku orang-orang munafiq.

Nabi s.a.w. tidak pernah menghalang hajat seseorang. Segala permohonan yang mempuyai alasan-alasan munasabah, akan mendapat keizinan dari Nabi s.a.w. Tetapi apabila telah pulang ke rumah dan segala hajat telah ditunaikan, maka menjadi kewajipan orang itu untuk kembali semula ke medan bagi melaksanakan kerja-kerja yang telah diputuskan bersama.

Memandangkan perangai orang-orang munafiq itu terlalu banyak karenah yang telah menimbulkan masalah. Maka berhubung dengan isu tersebut Allah SWT telah menurunkan wahyunya menjelaskan sifat-sifat orang mukmin yang sebenarnya, bagi membezakan sikap orang munafiq yang sentiasa bercanggah dengan orang-orang beriman. Firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya yang sebenar-benarnya orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam suatu urusan yang memerlukan pertemuan, maka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum minta izin kepadanya.

Sesungguhnya orang-orang yang minta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, maka apabila mereka minta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada sesiapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonlah keampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nur ayat 62).

Dalam ayat tersebut Allah SWT menjelaskan tentang sifat orang mukmin secara peribadinya beriman dan yakin perintah Allah dan Rasul-Nya. Dalam kehidupan bermasyarakatnya pula sentiasa memberi kerjasama dalam perkara yang diminta berkerjasama. Kemudian mereka tidak meninggalkan kerja-kerja jemaah khususnya kerja yang diputuskan dalam mesyuarat, sehingga terlebih dahulu mendapat izin dari Nabi s.a.w. sebagai ketua mereka. Kerana sikap yang demikian itu menjadi tanda kepada keimanan seseorang.

Orang mukmin yang terpaksa meninggalkan medan kerja jemaah, mestilah atas keuzuran yang sebenarnya, bukan suatu keuzuran yang direka-reka sebagai helah. Walaupun kemungkinan ketua mereka tidak tahu dalih yang mereka lakukan, tetapi di akhirat mereka tidak dapat mengelakkan diri dari tanggungjawab itu.

Sebagai ketua jemaah, Nabi s.a.w. mempunyai kewajipan untuk menimbangkan permohonan pelepasan seseorang dari tugas kerja jemaah, sekiranya pemohon mempunyai alasan yang syarei.

Dalam pada ketua menimbangkan sesuatu permohonan pelepasan, maka seseorang itu harus menerima keputusan pimpinan dengan hati terbuka, sekiranya permohonan mereka tidak ditolak oleh ketua. Kerana ketua juga mempunyai alasan tersendiri untuk meluluskan sebahagiannya atau menolak sebahagian yang lain.

Oleh kerana kepimpinan jemaah juga tidak tahu apa yang tersembunyi di dalam hati pengikutnya, justeru apabila ketua meluluskan sesuatu permohonan maka Allah SWT menganjurkan agar ketua jemaah berkenaan supaya tidak lupa mohon keampunan dari Allah SWT.

Kerana ada kemungkinan pengikut yang tidak jujur ketika mengemukakan permohonannya. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu siapakah dari kalangan mereka itu yang benar-benar layak mendapat keizinan dari Nabi s.a.w.

Demikianlah disiplin yang digariskan oleh Allah SWT dalam kerja-kerja agama. Semuanya berhubung terus dengan Allah SWT, sekalipun segala disiplin jemaah telah dipatuhi, namun oleh kerana pemimpin jemaah tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia, maka segalanya hanya akan selesai apabila mereka mengembalikan segala urusan kepada Allah SWT, dengan memohon keampunan daripada-Nya.

Sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat 62 surah An- Nur itu:

"Dan hendaklah kamu (hai Muhammad) mohonkan ampunan dari Allah untuk mereka, kerana sesungguhnya Allah itu Maha pengampun lagi Maha penyayang."

Demikian Allah SWT melalui firman-Nya ayat 62 surah An-Nur itu, di samping mendedahkan sikap orang-orang munafiq yang tidak pernah meminta izin dari Nabi s.a.w. apabila mereka meninggalkan medan kerja jemaah.

Tetapi ayat itu juga merupakan sindiran yang tajam kepada orang-orang Islam ketika mereka terbabit dalam kerja-kerja kemasyarakatan yang menjadi sebahagian dari kewajipan orang-orang yang beriman.

Mereka mesti mempunyai disiplin yang tinggi mematuhi kerja-kerja jemaah, kerana kepatuhan terhadap disiplin jemaah itu menjadi tanda yang membezakan antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang munafiq.

Sesungguhnya sikap orang munafiq itu hanya pak turut kepada orang ramai, sebagai suatu helah untuk memperlihatkan bahawa mereka juga dari kalangan orang-orang Islam, sedangkan penglibatan mereka itu hanyalah topeng bagi melindungi hati mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, sekalipun mereka bersama Nabi s.a.w. bekerja menggali parit dalam peristiwa Khandak.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke