KUALA LUMPUR,1 Jun (Hrkh) - Cakera padat (cd) debat olok-olok PAS - Umno kini laris dijual di sekitar ibu negara khususnya di Taman Melewar di mana Muktamar PAS sedang berlangsung.
CD itu mempaparkan lima tokoh Umno berlakon sebagai ulamak PAS dan berdebat dengan lima tokoh yang juga dari Umno.
Antara tokoh Umno yang memegang watak ulamak PAS itu ialah Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Dato Ismail Ibrahim, Wan Ismail dan Umar Khalid.
Sementara tokoh Umno yang bertindak selaku ulamak parti itu termasuk Nakhaie Ahmad, Mustafa Taib dan bekas Ketua Pengarah Pusat Islam Dato' Zainal Abidin Abdul Kadir.
Debat olok-olok itu dipengerusikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Paduka Hamid Othman.
Sesi itu dikatakan dipersembahkan di hadapan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Rakaman CD itu menunjukkan lima tokoh Umno dan golongan yang dilihat sebagai pro parti itu, berlakon sebagai ulamak PAS dan menyerang keras Umno dan kerajaan Barisan Nasional.
Ulamak Umno pula cuba menangkis serangan itu disamping 'melancarkan' serangannya sendiri terhadap PAS.
Tidak diketahui siapa yang merakamkan sesi debat olok-olok itu dan bagaimanapun ia memasuki pasaran tempatan.
Pada sidang media di Muktamar PAS petang tadi Presiden PAS Dato' Fadzil Noor diaju soalan mengenai debat olok-olok itu.
Ustaz Fadzil mengakui beliau sendiri sudah menonton rakaman itu setelah diberikan oleh seorang "hamba Allah" CD itu semalam.
"Yang pasti debat itu olok-olok. Ia diadakan antara Umno dengan Umno dan bukannya dengan PAS," kata beliau.
Ustaz Fadzil berkata tidak dapat dipastikan tujuan debat olok-olok itu diadakan tetapi "mungkin Dr Mahathir ingin menguji kemampuan partinya sebelum mencabar PAS untuk berdebat".
Menurut debat olok-olok itu sesuatu yang serius untuk Umno kerana "Dr Mahathir tidak buat main-main".
Dan kata Ustaz Fadzil jika cabaran untuk benar-benar berdebat dilemparkan, PAS sedia menyahut kerana "kita ada hujah yang lebih kuat berbanding hujah yang diutarakan oleh mereka yang berlakon sebagai ulamak PAS dalam CD itu".
Namun beliau kecewa di atas pembabitkan beberapa tokoh yang sepatutnya bersifat berkecuali .
"Umpamanya Dato' Ismail Ibrahim, pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan. Ini membuktikan beliau terbabit dalam Umno secara aktif," kata beliau.
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Yahoo! Mail Personal Address - Get email at your own domain with Yahoo! Mail.
