KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Ketua
Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz berkata setakat ini pergerakan
itu tidak menerima sebarang laporan mengenai penglibatan anggotanya
dalam politik wang.
Beliau berkata ini adalah
sesuatu yang membanggakan pergerakan itu dan mesti dikekalkan.
"Dalam Wanita setakat ini langsung tidak ada, dan saya rasa
bangga," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan komputer
kepada semua ketua wanita bahagian di sini Jumaat.
Rafidah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
tindakan Lembaga Disiplin parti menggantung hak bertanding dan hak
mengundi lapan orang termasuk dua ketua bahagian kerana didapati
terbabit dalam politik wang.
Mereka adalah sebahagian daripada 11 anggota Umno yang dikenakan
tindakan disiplin oleh lembaga berkenaan awal minggu ini.
Rafidah berkata beliau yakin lembaga itu mempunyai asas yang
kukuh untuk mengambil tindakan sedemikian terhadap anggota
tersebut.
--
BERNAMA