Dah agak dah...
Terbukti sudah bahawa Wan Noor Hayati akan diterima balik menyambung pelajaran sebagai "habuan"!!!
 

UTM keluar surat tunjuk sebab -- Dakwaan empat pensyarah dipercayai terlibat dalam gerakan bawah tanah

Oleh: NIZAM HAMID
KUALA LUMPUR 6 Sept. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada empat pensyarahnya yang didakwa oleh bekas pelajar universiti itu, Wan Noor Hayati Wan Alias sebagai terlibat dalam gerakan bawah tanah untuk menjatuhkan kerajaan.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali berkata, pensyarah terbabit akan dikenakan tindakan tatatertib sama ada amaran, turun pangkat, menahan kenaikan gaji atau pemecatan, jika gagal menjawab dengan memuaskan dalam tempoh masa ditetapkan.

Serentak dengan itu, Wan Noor Hayati yang terkandas dalam pelajarannya di UTM kerana terpengaruh dalam gerakan tersebut akan diterima balik menyambung pelajarannya di universiti itu.

Dr. Mohd. Zulkifli turut mengumumkan tindakan tegasnya membubarkan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) UTM yang didedahkan oleh Wan Noor Hayati sebagai membantu dua pertubuhan tidak berdaftar Hizbi Islami dan Markaz Siswazah Kelantan menganjurkan gerakan bawah tanah itu.

``Semua empat pensyarah terbabit perlu menjawab balik dengan segera dan ini termasuk seorang pensyarah yang telah menghantar surat kepada saya bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak terlibat,'' katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Gemilang Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini. Rancangan itu disiarkan secara langsung 9 malam ini.

Beliau menambah, UTM juga telah mengeluarkan surat tunjuk sebab berasingan terhadap seorang lagi pensyarah kerana didapati memegang jawatan dalam sebuah parti politik pembangkang.

Dr. Mohd. Zulkifli mengulas pendedahan Wan Noor Hayati, 22, dalam Mingguan Malaysia 1 September lalu mengenai kewujudan gerakan bawah tanah yang sistematik di universiti tempatan untuk mempengaruhi pendirian politik pelajar Melayu supaya menjatuhkan kerajaan.

Wan Noor Hayati yang terkandas dalam pelajarannya di UTM kerana terlibat dalam gerakan bawah tanah itu mendakwa kegiatan tersebut berselindung di sebalik aktiviti usrah dan tamrin yang dianjurkan oleh PMI dengan bantuan dua pertubuhan tidak berdaftar Hizbi Islami dan sayap Pemuda Pas, Markaz Siswazah Kelantan.

Dr. Mohd. Zulkifli menjelaskan, beliau telah membuat keputusan untuk membubarkan PMI universiti itu walaupun penyiasatan yang dibuat oleh UTM belum selesai.

``Kita berpendapat pembubaran ini perlu bagi mengembalikan semula keyakinan ibu bapa pelajar dan orang ramai terhadap universiti.

``Surat rasmi pembubaran ini akan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dalam beberapa hari lagi,'' katanya.

Mengenai kedudukan Wan Noor Hayati yang sebelum ini telah membuat rayuan supaya diterima semula bagi menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Dr. Mohd. Zulkifli berkata, UTM bercadang menawarkan kepada bekas pelajar itu untuk menyambung semula pengajian di peringkat diploma.

``Kita tidak akan menawarkan peringkat sarjana muda kerana beliau telah gagal sebanyak beberapa kali, jadi kita akan tawarkan peringkat diploma dalam bidang yang akan ditentukan kemudian,'' jelasnya.

Beliau memberitahu, keputusan menerima semula Wan Noor Hayati adalah sebagai menghargai keberanian beliau untuk membongkarkan kegiatan bawah tanah itu kepada pengetahuan umum.

Menurutnya, UTM juga telah menubuhkan satu panel siasatan bagi membongkar sehingga ke akar umbi siapa yang menjadi dalang dalam kegiatan bawah tanah tersebut.

``Kita akan mendapatkan kerjasama pasukan polis dalam siasatan tersebut dan semua pelajar UTM diharap dapat tampil bagi memberikan bukti kepada panel siasatan,'' tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Unit Perkhidmatan Sokongan Pelajar UTM, Profesor Madya Dr. Mohd. Tajudin Ninggal yang turut menjadi tetamu dalam rancangan tersebut menafikan dakwaan Wan Noor Hayati bahawa beliau telah melanggar etika kerahsiaan kaunselor kerana mendedahkan pertemuan dengan bekas pelajar itu melalui TV1 dalam slot Berita Perdana.

``Saya akui telah mengadakan sesi kaunseling sebanyak dua kali dengan Wan Noor Hayati dan apa yang didedahkan itu adalah sebagai mengulangi apa yang telah didedahkan oleh bekas pelajar itu dalam Mingguan Malaysia,'' tegasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2001&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Kirim email ke