*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Semakin ditekan semakin kita kuat: �Masa paling baik untuk pembangkang�
Oleh : AHMAD LUTFI OTHMAN
http://detik.daily.tripod.com/okta/19okt_5.htm
Selepas tidak bertanding dalam pilihan raya 1999, ketika mana negara heboh dengan
ura-ura beliau akan mencabar Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu, nama DATUK DR HARON
DIN seolah-olah kian terpinggir. Ramai yang kecewa dengan keputusannya itu, malah ada
yang mengaitkannya dengan kekalahan PAS di Perlis, negeri kelahirannya.
Ramai sekadar dapat meneka, apakah ulamak terkenal ini sudah beralih angin atau diasak
masalah kesihatan yang serius, atau mungkin memilih pendekatan yang lebih lembut
terhadap kerajaan pimpinan Mahathir?
Wakil majalah Tamadun, Ahmad Lutfi Othman dan Ahmad Zain tidak melepaskan kesempatan
bila Dr Haron Din bersetuju untuk diwawancara, walaupun selepas dua kali tertangguh.
Ternyata beliau masih bertenaga dan begitu prihatin dengan perkembangan politik
tanahair, malah cukup kritikal terhadap kerajaan BN pimpinan Mahathir.
http://detik.daily.tripod.com/okta/19okt_5.htm
TAMADUN: Setelah pilihanraya 1999 Datuk Dr Haron Din seolah-olah tenggelam dari
khalayak ramai. Banyak yang tertanya-tanya ke mana Datuk, sakitkah atau apa? Dapat
Datuk jelaskan?
DATUK DR HARON DIN: Memang benar pandangan sesetengah orang bahawa sejak akhir-akhir
ini saya tidak aktif dalam politik dan seolah-olah menyisih diri. Suka saya
menjelaskan bahawa saya masih seperti dahulu; komited dengan perjuangan. Saya
menganggotai ahli Dewan Ulamak PAS Pusat, dan masih menyumbang kepada kegiatan parti
seperti ceramah, mesyuarat, memberi pandangan dan lain-lain untuk kepentingan parti.
Cuma tidak boleh aktif seperti dahulu, sebagaimana ketika fit in everything.
Saya terpaksa menjalani pembedahan jantung buat kali keempat. Pada kebiasaannya empat
kali pembedahan ini sangat berat untuk ditanggung orang biasa, tetapi saya menjalani
kesemua itu. Yang terbaru saya baru sahaja menjalani pembedahan. Walaupun saya telah
sihat, tetapi sihat orang yang berumur lebih 60. Jadi saya terpaksa mengutamakan
kesihatan daripada yang lain.
Kerana kesihatan juga saya tidak dapat berjumpa dengan akhbar, kerana ketiadaan masa.
Contohnya pertemuan dengan saudara ini pun telah berubah sehingga tiga kali barulah
dapat bertemu. Ini menunjukkan tugas-tugas saya yang banyak dengan kerja-kerja amal.
Suka juga saya sebutkan bahawa saya juga terpaksa menunaikan permintaan ceramah di
luar negara seperti Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei Darussalam. Dan banyak
juga rombongan orang agama dan pelajar, terbaru dari Uinversiti Islam Antarabangsa,
yang datang ke rumah untuk berbincang hal-hal agama yang serius.
Saya juga mempunyai jadual khusus untuk rawatan seperti di Perlis, Langkawi, Kelantan
dan Terengganu, termasuk program rawatan yang diatur di kampung-kampung dimana kita
dirikan khemah-khemah untuk berdoa secara Islam; dan sebahagian besar rawatan saya
diadakan di Darul Syifa'. Itulah masa-masa terluang untuk membantu masyarakat.
Namun demikian saya juga masih berceramah, dan sekarang saya terpaksa menghadapi
suasana dimana beberapa ceramah saya terpaksa dibatalkan kerana alasan keselamatan.
Pernah ketika saya telah sampai ke tempat ceramah, penganjur membatalkan kerana alasan
tekanan yang begitu hebat dan sebagainya.
Datuk mengatakan pasal tekanan. Pada November ini telah dua tahun pilihanraya berlalu.
Nampaknya Perdana Menteri semakin menekan. Deraan terhadap pembangkang semakin hebat
sebagaimana sekarang ceramah dihalang, mimbar masjid dibelenggu dan ISA semakin
mengganas. Apa pandangan Datuk?
Pertamanya, suka saya menyebut bahawa suasana politik yang dihadapi sekarang tidak
pernah saya temui sebelum ini. Kini umur saya 61 tahun. Saya hidup pada zaman awal
kemerdekaan, pertengahan dan suasana mutakhir. Yang kita temui dan rasai saya rasa
belum sampai ke kemuncaknya. Ia adalah satu permulaan tindakan yang terpaksa mereka
buat, dimana terbukti mereka telah tidak relevan lagi.
Sebagai seorang bekas ahli akademik di UKM, dan kini saya bersara dan berkecimpung
dalam PAS, saya dapat merasakan tindakan mereka adalah satu tindakan yang bukan sahaja
tidak Islamik, tetapi very undemocratic oleh negara seperti Malaysia yang mengamalkan
so called politik sekular.
Tiba-tiba mereka tidak membenarkan musuh politik berinteraksi dengan masyarakat,
seperti larangan ceramah; sedangkan pemerintah menggunakan kebebasan itu dengan
berleluasa. Pemerintah menggunakan TV, radio, media arus perdana dan segala macam
peralatan hatta artis dan sebagainya, untuk terus mengasak masyarakat supaya menerima
dan menganggap perjuangan mereka sebagai perjuangan yang benar.
Mereka membuat tohmahan terhadap pembangkang dengan pelbagai isu, bahkan kadang-kadang
mengadakan isu-isu tertentu sedangkan yang sebenarnya bukanlah isu.
Tidak cukup menahan orang politik yang berceramah, mereka membuat tindakan yang
melanggar hak asasi manusia sehinggakan Suhakam terpaksa membuat bantahan. Dan tidak
cukup dengan itu mereka mempersoalkan pula tugas asasi para ulamak yang membekalkan
rakyat dengan idea-idea Islam; membentuk keperibadian Islam, menyebarkan ilmu dan
membawa ke arah manusia bertakwa, mentaati Allah s.w.t, membantu negara mewujudkan
masyarakat yang harmonis.
Mereka menafikan kesemua hak-hak itu. Ceramah agama pun tidak boleh. Malah mereka
telah melakukan satu perkara yang menyimpang daripada takrif sebenar, contohnya
khutbah atau mimbar Jumaat. Sunnahnya nabi kita menyampaikan khutbah dengan tidak
pernah membaca sebarang teks. Alasannya kerana nabi kita bersifat ummiy - tidak pandai
membaca dan menulis.
Jelasnya nabi kita membaca khutbah dengan spontan dan impromtu. Sahabat besar juga
berkhutbah tanpa teks, begitu juga zaman tabi'in, tabi't-tabi'in dan seluruh ulamak
membaca khutbah tanpa teks. Khatib menyampaikan khutbah dengan bebas, kerana telah
diberikan kepercayaan penuh kepadanya.
Khatib adalah engineer, arkitek masyarakat - implementor. Mereka mempunyai idea dan
terserah kepada mereka untuk menyampaikan khutbah. Tetapi di zaman kita, kita wajibkan
semua imam membaca teks yang dibuat daripada satu pihak sahaja. Mewajibkan membaca
teks adalah suatu perkara baru yang jauh menyimpang daripada ruh syari'at.
Yang kedua, kita menghukum orang yang tidak membaca atau yang menyimpang daripada teks
dengan hukuman yang seberat-beratnya. Ada yang kena buang, ada yang ditukar dan ada
diberi amaran. Ia adalah satu hukuman yang tidak tepat dan tidak wajar.
Yang ketiga, bagaimana masyarakat dapat menerima ajaran Islam sebenar jika para ulamak
tidak dibenarkan menyampaikan mesej kepada masyarakat, tetapi digunakan oleh
pemerintah dengan mengontrol mimbar Jumaat?
Ceramah tidak boleh disampaikan melainkan dengan kebenaran. Kadang-kadang pelik
memikirkan terdapat negeri-negeri yang saya juga menjadi ahli Majlis Fatwa, diberi
tauliah sebagai ahli Majlis Fatwa negeri, tetapi anehnya tidak diberi hak menyampaikan
pandangan kepada masyarakat melalui khutbah di masjid.
Bagaimana mereka dapat menerima hakikat bahawa dia adalah ahli Majlis Fatwa tetapi
tidak dibenarkan berceramah? Itulah di antara keganjilan yang berlaku.
Akhirnya dengan kezaliman, gertakan dan sebagainya, ditambah lagi dengan gertakan
ditahan ISA. ISA adalah satu undang-undang yang kita pakai tetapi sangat berlawanan
dengan sistem Islam. Juga sangat berlawanan dengan kehendak negara maju yang beramal
dengan rule of law, yang mengatakan undang-undang sahaja yang dapat menentukan
seseorang itu salah atau tidak.
Sepatutnya seseorang itu sebelum dipenjarakan hendaklah dibawa ke mahkamah terlebih
dahulu. Tetapi mengapa menggunakan ISA? Ini adalah satu lagi yang menghantui
pejuang-pejuang Islam yang mencari kebenaran dan keadilan.
Namun demikian saya merasakan kesemua yang berlaku ini tidak akan mengubah sikap,
pandangan atau melunturkan orang-orang yang memperjuangkan kebenaran. Dan kebenaran
mutlak ialah kebenaran Illahi dalam perjuangan mempertegakkan hukum Allah s.w.t dalam
negara kita.
Nampaknya tekanan semakin hebat, tetapi pada Datuk tekanan ini belum sampai ke
kemuncak lagi. Kita bimbang komitmen atau istiqomah pendokong kebenaran yang dikenakan
tekanan berupa fizikal dan mental, adakah mereka dapat bertahan dalam saat-saat
genting begini?
Saya katakan begitu kerana membaca insiden yang telah berlaku dalam sejarah sebelum
kita. Tekanan yang lebih hebat berlaku pada tahun 1924 ketika jatuhnya kerajaan Islam
Uthmaniyah Turki dan naiknya Mustaffa Kamal (Atarturk) yang menggunakan pelbagai cara
yang kita panggil 'matlamat mengharuskan segala cara'.
Dia menggunakan tekanan hebat di pelbagai peringkat sehinggakan mana sahaja ulamak
yang dirasakan menghalang kehendak pemerintah baru, iaitu Mustaffa Kamal, mereka
disiksa, dibunuh dan sebagainya. Kita melihat tindakan itu sangat buruk di dalam
sejarah. Tetapi mereka jangan lupa bahawa kekejaman dan penganiayaan yang dibuat
dengan begitu hebat terhadap orang Islam oleh Mustaffa Kamal apabila sampai ke
kemuncaknya dia sendiri diazab oleh Allah s.w.t.
Sejarah kematiannya sangat mengerikan. Di saat-saat kematiannya badannya menjadi
sepanas-panasnya dan mulutnya menjerit-jerit. Dikatakan terpaksa disediakan sebuah
bahtera khas untuknya yang sedang sakit. Dia duduk di dalam sebuah kotak yang berisi
air batu dan diletakkan di dalam bahtera yang belayar menuju ke Laut Hitam. Dikatakan
ketika melintasi Selat Bhosporus di laut itu, jeritannya dapat didengari sehingga ke
istana Sultan Abdul Hamid (yang dijatuhkannya). Ketika kematiannya berlaku kesukaran
mencari orang untuk memandikan jenazahnya.
Saya menyebut ini supaya orang mencontohi Mustaffa Kamal itu jangan lupa bahawa
balasan setimpal akan diberikan Allah s.w.t. kepada seseorang itu di dunia sehinggalah
ke akhirat.
Memanglah tekanan jika berterusan tanpa batasan waktu akan melemahkan pejuang Islam
dan pejuang kebenaran. Tetapi dalam konteks negara kita, saya rasa apa yang kita
hadapi dan terima dimana berlaku tarbiyah kepada orang yang berjuang ini, saya
mempunyai keyakinan bahawa kita akan tahan. Malahan terdapat tanda-tanda semakin
ditekan semakin kuat ketahanan itu.
Suka juga saya memberikan contoh ketahanan badan anak-anak orang kampung dan anak-anak
orang bandar. Anak-anak bandar didapati mudah kena selsema, batuk dan sakit,
berbanding anak orang kampung yang biasa dengan nyamuk atau selalu berhujan. Mereka
tahan dengan cabaran hidup susah dan cabaran penyakit.
Apabila mereka ke bandar didapati mereka jarang terkena penyakit sebagaimana anak-anak
orang besar di bandar. Jadi orang yang ditarbiyah dengan siri tarbiyah yang panjang
seperti halaqah zikir, halaqah ilmu, usrah, tamrin, ceramah dan sebagainya, memberikan
mereka ketahanan berdepan pelbagai cabaran.
Apa yang saya lihat sekarang, contohnya pada suatu masa dahulu seorang pejuang
reformasi, Zunar (seorang kartunis), yang berceramah di Datuk Keramat bersama saya.
Ketika itu sebenarnya beliau baru sahaja keluar daripada lokap polis. Zunar terus ke
tempat ceramah kerana mahu terus berjuang. Kita lihat semakin ditekan semakin dia
kuat, tidak pernah surut.
Sejarah telah membuktikan bahawa pejuang-pejuang Islam itu semakin ditekan semakin
kuat hati mereka. Sejarah juga telah membuktikan bagaimana Hulako Khan yang merampas
dan memerintah Baghdad tetapi orang Islam terus memperjuangkan agama sehinggalah orang
Tartar (yang menakluki Baghdad) akhirnya memeluk Islam.
Kesimpulannya saya yakin insya-Allah kita akan dapat bertahan terhadap ujian ini.
Pemerintah semakin hebat menyebarkan fitnah terhadap pembangkang, khususnya gerakan
Islam. Mereka mengaitkan PAS dengan gerakan militan. Baru-baru ini Perdana Menteri
mengatakan hubungan Barat dengan Malaysia mungkin tidak berapa baik hari ini, tetapi
jika tumbang kerajaan yang ada hari ini, yang akan mengambil tempat mereka adalah
pembangkang daripada fundamentalis Islam. Apakah benar tuduhan itu, sedangkan kita
negara demokrasi yang mementingkan suara majoriti?
Senario yang kita sedang hadapi sekarang adalah senario politik. Dalam politik kita
harus membezakan dua yang besar. Politik Islam dan non-Islam. Jika kita mengamalkan
politik non-Islam, kita akan menggunakan segala cara untuk melemahkan pihak lawan,
untuk menampakkan kepada rakyat bahawa kitalah yang terbaik, dan akan mengadakan suatu
keadaan lawan kita tidak competent atau tidak layak memerintah dan sebagainya. Hanya
kita yang layak.
Ini dilakukan oleh semua parti politik Barat, di Amerika Syarikat dan Great Britain.
Mereka berpandukan polisi pemerintahan, bukan berdasarkan polisi keagamaan. Ia melihat
apakah perkara yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat semata-mata.
Tetapi perlu kita fikirkan cara yang kedua, berlandaskan keagamaan ataupun faham
politik Islam. Di negara kita Malaysia wujud iklim yang dapat menyuburkan politik
Islam, dan pada masa yang sama wujud juga politik kebendaan sekular Barat. Tetapi
sudah diterima umum bahawa di Malaysia kita mempunyai politik Islam yang dapat
dijadikan wadah perjuangan.
Sekarang di negara kita terdapat dua aliran politik, iaitu politik Islam dan politik
beraliran liberal atau sosialis dan lain-lain. Apabila berhadapan dengan keadaan
begitu sepatutnya kita tidak memikirkan hal-hal yang berkaitan keduniaan sahaja.
Walaupun kita dalam kelompok politik non-Islam, jangan kita mengharapkan kemenangan
politik non-Islam, iaitu kemenangan politik kita sahaja, sehinggakan sanggup kita
menghentam politik lawan kita yang bercorak Islam.
Islam bukan hal parti PAS, ia menyangkut semua orang yang mengucap asyhadu an-laailaha
illallah. Maka semua orang yang diamanat-Nya kena mendokong Islam. Kalau pemerintah
selalu menghentam orang PAS sahaja tidak apa, tetapi jangan sampai menyentuh dan
menghina dasar-dasar Islam.
Jika kita melihat contoh di dunia - di Indonesia, Yaman, Mesir - atau di Malaysia
sendiri dimana mereka orang Islam tetapi tidak memperjuangkan politik Islam. Itu
mungkin tidak mengapa. Oleh kerana terdapat mereka yang bersungguh-sungguh menjadikan
Islam sebagai dasar, sebagaimana parti PAS, maka apabila pemerintah hendak menyaingi
PAS, tidak sebagaimana dahulu dimana mereka tidak mengkritik dasar (Islam). Pada
ketika itu mereka hanya mengatakan PAS golongan pak lebai yang tidak pandai berbahasa
Inggeris, macamana hendak mentadbir negara. Mereka hanya menyentuh peribadi
orang-orang PAS.
Tetapi selepas pilihanraya 1999, tiba-tiba sahaja seperti halilintar membelah bunyi,
para profesional, ahli akademik dan para arkitek menyertai PAS. Ketika kempen di
Perlis saya diamanahkan mengisytiharkan nama-nama calon yang bertanding. Kita
bersetuju mengadakan satu strategi. Ketika mengumumkan calon-calon yang akan
bertanding, kita menampilkan calon ke khalayak dan membacakan biodata mereka yang
kebanyakannya mempunyai kelayakan dan pengalaman yang tinggi. Kita mempunyai barisan
calon yang mantap.
Keesokannya pihak pemerintah dalam ceramahnya mengatakan untuk memerintah negeri
seperti Perlis tidak memerlukan kelulusan yang tinggi. Ia mengarut dan membuang masa
sahaja, kata mereka. Saya terperanjat dengan ucapan orang yang memerintah yang
menafikan perlunya wakil rakyat yang berkelulusan tinggi, kerana calon mereka
kebanyakannya tidak mempunyai kelayakan secukupnya.
Maka akhirnya mereka sanggup mengkritik Islam, seperti mengatakan �Islam tidak sesuai
dengan zaman'. Mereka sanggup mengatakan jika menyokong Islam kita akan terkebelakang.
Itu adakah perkara yang melibatkan akidah. Mereka menfitnah dengan kata-kata �Islam
tidak sesuai dengan masyarakat majmuk�. Jadi hal seperti ini sehingga mereka menafikan
ayat al-Quran: �Aku utuskan kamu wahai Muhammad kepada manusia untuk menggembirakan
mereka, dan kamu diutuskan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam."
Perutusan Muhammad membawa rahmat kepada sekalian alam. Tetapi kita menterjemahkan
�kalau laksanakan Islam akan huru-hara masyarakat�. Mereka telah mengubah ayat itu dan
yang mengubah itu bukan sebarang orang. Jika tidak mengaji agama mungkin tidak dapat
mengubah.
Begitu juga fitnah yang mengatakan apabila kita melaksanakan Islam, tidak semestinya
negara Islam itu melaksanakan hudud, kerana Sayidina Umar juga ketika pemerintahannya
tidak melasanakan hudud. Orang yang menyebut begitu saya yakin seorang yang juga
mengaji tinggi, kerana mengetahui fakta itu. Tetapi fakta itu salah, kerana dia
memfitnah Sayidina Umar, Islam dan fitnah terhadap fakta. Umar tidak pernah menghalang
hukum itu walau sekali pun.
Memang ada peristiwa Umar tidak melaksanakan hukum hudud terhadap seorang pencuri
kambing yang dipanggil Abdul Hatib bin Balta�ah, yang mencuri, menyembelih dan memakan
kambing jirannya. Apabila tertangkap dia dihukum potong tangan, tetapi Ali membuat
rayuan supaya hukum itu tidak dilaksanakan. Terjadilah soal siasat lagi dimana Ali
bertanya kepada majikan apakah makanan yang diberi kepada Hatib? Dan Ali bertanya
kepada tertuduh apakah cukup dengan hanya makan sebuku roti dari pagi hingga ke
petang? Akhirnya dapat dibuat kesimpulan, kerana laparlah dia mencuri. Kelaparan itu
dalam undang-undang dianggap doubt, dan dalam syarak dipanggil syubahah. Nabi
menyebut: �kamu tinggalkan hukuman hudud jika ada syubahah�.
Banyak hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan, kerana
terdapat �keraguan' (doubt). Doubt itu bukan menghalang undang-undang. Jadi �benefit
of the doubt� menghalang Abdul Hatib daripada hukuman potong tangan. Maka Sayidina
Umar tidak melaksanakan hudud (di sini) kerana berlaku masalah kelaparan.
Kemudian timbul pula Islam militan, hudud PAS bukan hudud Islam, yang sengaja direka
sehingga masyarakat tertanya-tanya apakah ini perkara yang benar-benar berlaku, atau
betulkah militan ini ada? Saya dengar pemerintah berkata KMM (Kumpulan Mujahidin
Malaysia) lebih berbahaya daripada komunis. Saya tidak tahu apa mesejnya. Tetapi
sebagai orang biasa kita tahu benar bahawa komunis memang jelas perjuangannya -
membunuh orang ramai, pegawai keselamatan, melawan kerajaan dengan membuat pelbagai
pengkhianatan dan pembunuhan. Mereka juga mempersetankan Tuhan dan menafikan agama.
Adakah KMM itu semacam itu, tidak percayakan Tuhan? Akhirnya ternyata bahawa mereka
telah membuat fitnah terhadap satu kumpulan, meskipun berkemungkinan ada tetapi mereka
membuat fitnah yang begitu besar sehingga mengatakan KMM ini lebih teruk daripada
komunis.
Bercakap tentang potensi pembangkang pada pilihanraya akan datang, saya merujuk kepada
pilihanraya 1999 dimana faktor yang besar adalah faktor Datuk Seri Anwar. Kini faktor
Anwar bukan sahaja terangkum pada pemecatan dan faktor peribadi, tetapi terkumpul juga
soal ISA, pencabulan kehakiman, pendedahan rasuah, isu kroni dan sebagainya. Apabila
dipenjarakan dia dinafikan hak rawatan sehingga kesihatannya terganggu. Bagaimana
Datuk melihat faktor Anwar sebagai isu penting dalam pilihanraya akan datang?
Potensi pembangkang tidak pada isu Anwar sahaja. Saya melihat bangun dan berkembang
sesebuah parti politik itu terdapat zaman belia, zaman muda, zaman tua dan zaman
keruntuhannya. Itu adalah sunnah alam yang tidak dapat dinafikan. Samada tumbuhan,
alam, manusia atau binatang, akan mengalami proses yang sama. Tidak berlaku seseorang
itu muda selama-lamanya. Ia akan tua dan akhirnya mati.
Dalam politik Malaysia faktor Anwar berlaku secara kebetulan kerana pada pilihanraya
1999 isu itu dihangatkan. Dan saya katakan bahawa faktor naik-turun itu sesuatu yang
global. Umno yang ditubuhkan pada 1946 telah menjangkau lebih setengah abad, dan kini
saya melihat zaman kejatuhannya, seperti Komunis. Umpama buah yang masak, tiada angin
pun ia gugur apatah lagi ditiup angin, yang lembut sekalipun, ia akan jatuh. Jika
terjadi ribut mungkin pokoknya sekali akan tumbang.
Saya lihat sebelum terjadi kes Anwar lagi Umno menghadapi pelbagai masalah. Terdapat
team A dan team B. Apabila mahu memilih wakil atau pucuk pimpinan berlaku rasuah dan
perpecahan. Dalam Umno sendiri mengakui, orang yang bercakap mencela rasuah pun
mungkin terlibat sama. Komitmen mereka kepada rakyat apakah ada atau tidak. Projek
pembangunan dibuat untuk rakyat atau hanya diberi kepada kroni sahaja. Semuanya telah
diketahui rakyat, dan ia menjadi anai-anai kepada parti itu. Ia merentas masuk kepada
perjuangan Umno sehingga meresap ke dalam masyarakat; dan faktor Anwar itu adalah the
last straw.
Bermakna semuanya sudah nampak, sehingga tiba kepada Anwar walaupun kesnya kecil
sahaja tetapi dihukum sedemikian rupa, sedangkan orang lain mempunyai kes yang lebih
besar daripadanya tetapi tidak dihukum.
Itulah faktor-faktor yang membawa kepada penghujungnya. Lebih-lebih lagi ketua parti
itu memegang kuasa terlalu lama dan umurnya semakin hari semakin lama, begitu juga
kesihatannya. Semua faktor itu sampai kepada kesimpulan bahawa potensi pembangkang
semakin terserlah. Pada 1999 sudah terserlah dan dijangka pada tahun 2004 akan jauh
lebih baik daripada itu.
Di samping faktor Anwar, isu-isu yang timbul mutakhir ini semakin ternampak. Katakan
isu tindakan polis terhadap pembangkang, kerana polis mendapat arahan. Tetapi pada
masa yang sama polis juga tidak mahu bertindak di luar arahan sehingga ke peringkat
mengancam jawatannya. Sebagaimana dalam kes Jalan Kebun, Kelang, sampai ke peringkat
Suhakam menyatakan bahawa polis telah bertindak melanggar hak asasi manusia.
Jadi siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab?
Isu pelajar sebelum ini dikatakan baik, tetapi akhirnya dikatakan telah rosak agama.
Kemudian isu sesiapa yang mahu menjadi guru diadakan agreement dengan kerajaan, tetapi
ditentang keras oleh MTUC. Isu mahu masuk ke universiti, yang memaksa pelajar menerima
satu trend pemikiran politik tertentu sahaja. Isu pensyarah UUM yang dikatakan menjadi
dalang dan sebagainya, yang menafikan hak asasi pensyarah untuk mengamalkan politik
yang disukainya.
Sepatutnya memihak kepada parti pembangkang tidak menjadi masalah, kerana di
universiti kita membenarkan pelajar membaca buku-buku politik hatta buku yang
diharamkan pun dibenarkan. Kita mengasuh pelajar mendengar semua hal, bahkan dalam
kuliah, yang terkena dalam konteksnya. Mengapa orang Umno tidak mengambil kesempatan
kempen partinya dalam kuliah-kuliah di universiti, misalnya?
Banyak isu yang timbul selepas 1999 dapat digunakan. Dan kini timbul pula isu tidak
boleh mengajar agama, begitu juga ceramah politik, sehinggakan di markas-markas PAS
pun tidak dibenarkan. Jadi ini adalah masa paling baik untuk pembangkang mengambil
alih pemerintahan.
Tentang isu Datuk Seri Anwar, saya dapat maklumat bahawa kesihatan beliau memerlukan
rawatan segera. Jika terlambat, semakin lambat dia sembuh; sedangkan dia berhak
mendapat rawatan mengikut kemahuannya. Malah kerana pergeseran tulang belakang itu
beliau terpaksa ke masjid untuk bersembahyang Jumaat dengan menggunakan kerusi roda.
Begitu juga untuk bergerak dan makan. Pergerakannya sangat terbatas.
Saya dapat tahu semakin berlaku pergeseran tulang menyebabkan semakin susah untuk
sembuh. Masalah semakin serius, sedangkan dia sebagai rakyat berhak mendapat rawatan
yang dia kehendaki, bukannya sebagaimana dikehendaki oleh pihak tertentu. Sebab ini
adalah soal keyakinan. Anwar berkeyakinan penyakitnya dapat diubati di luar negara.
Benarkanlah beliau mendapat rawatan, kerana Anwar dapat dikatakan berjasa besar pada
masyarakat dan negara.
BA sendiri mempunyai masalah yang tertentu dan terdapat percakaran parti. Komposisi
parti BA masih mempunyai lompang kosong, umpamanya tiada parti mewakili kaum India,
dan mereka belum mempunyai parti yang dapat diuji di Sabah dan Sarawak. Dan
berkemungkinan BN akan menambah kerusi parlimen yang besar lagi selepas persempadanan
baru. Mungkin akan ditambah lagi di Johor, negeri yang dikatakan kubu kuat BN. Apa
ulasan Datuk?
Orang yang melihat dan menghalusi politik Malaysia mengakui bahawa kepincangan
pemerintahan sekarang sudah tidak dapat disembunyikan lagi, terutama apabila kita
membaca majalah seperti Times, FEER dan sebagainya. Telah sampai waktu untuk ditukar
pemerintah sekarang. Umpama kita memakai kereta lama yang selalu rosak, sehingga ia
tak boleh dibaiki lagi, akhirnya terpaksa dijual sebagai besi buruk, dan kita kena
beli kereta baru.
Kerajaan yang ada perlu ditukar. Penyakit pemerintah dengan sistem yang ada sekarang
tidak dapat direpair. Umpamanya dicuba perbaiki politik wang, tetapi nampaknya semakin
buruk. Mereka mahu menafikan politik kroni, tetapi sebaliknya makin menjadi-jadi. Apa
yang dibuat tidak dapat diperbaiki kerana sistemnya tidak dapat mengelak perkara yang
menyebabkan keburukan itu.
Contoh yang cukup baik, walaupun mungkin dikatakan kecil ialah Allah s.w.t memberikan
PAS memerintah Kelantan yang kini sudah melebihi 10 tahun. Tuan Guru Nik Abdul Aziz
menerajui Kelantan walaupun beliau tidak pernah belajar ilmu pentadbiran dari Harvard,
Oxford atau sebagainya. Tetapi apa yang beliau tahu ialah keikhlasan kepada Allah
s.w.t dan mentadbir negeri kerana Allah s.w.t semata-mata. Beliau tidak pernah
mengubah cara hidupnya sepertimana menteri lain. Rumah atau kereta yang dia miliki
sejak dahulu yang itu-itulah. Begitu juga pakaian. Dan tugas mengajar pun terus
dilakukan.
Beliau diterima dengan baik oleh masyarakat Kelantan. Walaupun dengan tekanan hebat
pada 1995 dan akhirnya pada 1999, beliau tetap menang dan diterima rakyat dengan baik.
Sama juga yang berlaku di Terengganu. Orang tidak menyebut rasuah di sana. Saya suka
menyebut, jika patern itu dibawa ke pusat, ia akan dapat meyakinkan rakyat. Bahawa hak
rakyat tidak terabai, keharmoniannya terjamin.
Tentang BA yang mempunyai masalah dalaman - sebenarnya tidak ada parti yang tidak
bermasalah, hatta dalam BN, tetapi mereka menudungnya. Dalam BN, Umno yang mempunyai
banyak kerusi menjadi peneraju. Maka apabila BA menang, PAS yang banyak kerusi akan
menjadi peneraju. Tetapi peneraju ini ada prinsip dan diketahui umum bahawa mereka
boleh meneraju dengan adil saksama. Ia tentulah diterima rakyat sebagaimana firman
Allah yang bermaksud: �Sekiranya kamu menolong melaksanakan perintah/hukum Allah, maka
Allah akan menolong kamu menegakkan pendirian kamu.�
Dalam konteks ini kita mahu melaksanakan kehendak Allah dan jika bermasalah, Allahlah
yang akan menolong menyelesaikan masalah yang timbul. Masalah sosial, politik,
ekonomi, budaya dan sebagainya. Walaupun faktor Sabah, Sarawak dan sebagainya memang
ada. Tetapi apabila sampai masa Allah Taala mahu jatuhkan sesuatu kaum, memang tiada
siapa dapat menghalang atau menahan; sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: �Allah
boleh menaikkan seseorang dan menurunkan seseorang.�
Saya yakin sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Nur ayat 55 yang bermaksud: �Allah
berjanji dengan kamu (orang beriman dan beramal soleh) akan menjadikan khalifah di
bumi ini dan Allah akan memberi keamanan selepas ketakutan. Kamu sembah Allah sepenuh
hati dan kamu tidak kufur kepadanya. Dan sesiapa yang tidak percaya kepada janji itu
maka mereka itu orang yang fasik.�
Kita percaya Allah akan memberi kemenangan. Bila masanya, Allah yang tahu. Kita
megharapkan kejayaan yang dekat pada tahun 2004, sebab petanda pada tahun 1999 sudah
meletakkan sesuatu yang kuat. Allah akan memberi kemenangan tanpa kejutan.
Sebagaimana pernah berlaku di kampung saya (tidak baik dicontohi tetapi baik sebagai
teladan) - seorang penoreh getah menang loteri hadiah pertama. Akhirnya dia menjadi
gila dan wang itu tidak memberikan apa-apa makna kepadanya.
Maka Allah memberi peringatan kepada PAS dengan memberi kemenangan beransur-ansur,
bermula di Kelantan, Terengganu dan sebahagian di Kedah.
Top���Home
"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"
PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, 53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
[EMAIL PROTECTED]
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: Farina <[EMAIL PROTECTED]>