http://alkhatab2/tripod.com/
  Sahih Bukhari
  Jilid 2
   
  Bab berdiri di kanan imam sebaris betul-betul sama dengan imam (bihiza ihi 
sawa an), jika imam dan makmum dua orang sahaja.
   
  Telah menceritakan kepada kami (imam al-Bukhari) dari Sulaiman ibnu Harb 
(guru imam Bukhari yang thiqah) yang disampaikan oleh Syu`bah ibnu Hajjaj 
daripada al-Hakam yang berkata: "Aku mendengar dari Sa`id ibnu Jubair (menantu 
Abu Hurairah radiyallahuanhu) yang mengambil dari Ibnu Abbas radiyallahuanhuma, 
   
  [ Inilah rangkaian yang dinamakan sebagai sanad. Menurut ulama-ulama hadith 
bahwa barangsiapa yang memberikan sanad, maka dia bertanggungjawab sebab dari 
sanad-sanad itulah hadith-hadith dibezakan dari segi status antara satu sama 
lain. Kalaulah didapati ada rawi pembohong dalam sesuatu rangkaian sanad maka 
hadith tersebut ditolak. Begitu juga kalau ada rawi yang kurang kuat 
ingatannya, juga hadith tersebut jatuh dari status sahihnya kepada kurang 
sahih. Kuatnya ingatan para rawi diuji dalam dua keadaan. Pertamanya dhabs 
al-kitaba (jaga penulisannya). Misalnya, katalah ada seorang ulama hadith 
walaupun telah dibuktikan dipercayai oleh ulama lain namun kalau dia tidak 
menjaga tulisan-tulisannya, seperti meletak tulisan-tulisannya itu di 
merata-rata tempat, lalu kalau ada ahli-ahli hadith yang lain melihat akan hal 
demikian dan melaporkannya, maka riwayat ulama hadith (perawi) yang cuai tadi 
akan dipertikaikan kerana bimbang ada orang lain dah edit dalam penulisannya 
itu. 
   
  Ataupun keduanya diuji dalam keadaan ad-dhabs Hif (hafalan). Disinilah 
letaknya kehebatan ilmu hadith dari segala displin ilmu-ilmu yang lain. Qualiti 
hafalan para rawi akan disemak oleh para ulama-ulama hadith dengan membuat 
perbandingan (tatabbu` ar-riwayat). Sekiranya dalam sesuatu hadith, semua rawi 
sebut sama melainkan ada seorang yang tak sama, lama kelamaan (setelah disemak) 
pasti si rawi yang tak sama itu akan dipertikaikan. Para ulama hadith akan 
semak setiap data para rawi seperti tarikh kelahiran dan kematian mereka, 
tarikh berjumpanya antara para perawi, di mana tempat mereka berjumpa, semuanya 
disemak in detail. Sebab itu dalam Islam, terdapat kutub-khanah khas dinamakan 
sebagai "khutubul rijal", yang menyimpan biodata para perawi hadith dan 
komentar para ulama hadith terhadap mereka. 
   
  Kembali kepada perbahasan hadith. Hadith ini diceritakan oleh Ibnu Abbas 
radiyallahuanhuma. Nama sebenarnya ialah Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutholib, 
sepupu Nabi saw. Dari silsilah keturunan inilah munculnya kerajaan Abbasiyah, 
yang mengambil-alih pemerintahan dari Bani Umaiyah. Jadi, apabila kerajaan 
Abbasiyah dari keturunan Nabi saw, maka ulama-ulama yang berada di sekeliling 
pemerintah ketika itu amat suka mengampu sehingga pemerintah lupa diri. Inilah 
masalah kita dalam Islam. Dia ada dua tuan-tuan. Pertama ialah ulama-ulama kaki 
ampu, yang kerjanya hanya mengampu pemerintah. Belum sempat pemerintah berucap, 
depa dah mengiyakannya. Kalau pemerintah silap dalam sesuatu isu, depalah yang 
akan cari dalil untuk menghalalkan kesilapan tersebut. Dan yang kedua ialah hat 
jenih kaki lawan. Lawan ni sampai tak kira siang malam. Tak kiralah benda tu 
betoi ka, salah ka, depa tetap lawan. Kedua-dua golongan inilah yang merosakkan 
pemerintahan Islam, baik yang mengampu mahupun
 yang lawan tak kira tempat. Mereka telah menyimpang dari pendirian sebagai 
Muslim, yang menegur akan kesalahan, dan sokong akan kebenaran.
   
  Syaiban ar-Ra`i, seorang pendakwah pada zaman Khalifah Harun ar-Rashid[*], 
walaupun beliau tidak alim sangat, namun beliau sering memberi nasihat-nasihat 
yang bagus. Suatu hari ketika beliau diminta oleh Khalifah Harun ar-Rashid 
mengeluarkan nasihat, Syaiban ar-Ra`i kata, "Wahai Amirul Mukminin. 
Sesungguhnya engkau bersahabat dengan para ulama yang senantiasa menakutkan 
engkau sehingga datang kepada engkau keamanan, itu lebih baik daripada engkau 
bersahabat dengan ulama yang selalu memberi kepada engkau pujian dan keamanan 
dengan menyatakan "engkau ahli bayt, engkau ahlu bayt, engkau akan diampunkan 
oleh Tuhan" sehingga datang kepada mu ketakutan."...Kata Harun ar-Rashid, 
"Tafsirkan makna kata-katamu itu?"...Jawab Syaiban, "Wahai Khalifah. Dengan 
engkau mendengar nasihat para ulama yang berani mengatakan kepadamu 
"takutkanlah kepada Allah, jangan engkau buat begini kerana ia berdosa di sisi 
Allah" sehingga engkau sentiasa takut dengan amarannya, sehingga engkau merasa
 aman di sisi Allah `azawajal, itu lebih baik daripada engkau berkawan dengan 
para ulama yang mengampu dengan selalu mengatakan "engkau bagus, Tuhan ampun 
engkau" sehingga satu hari Allah akan letakkan engkau di tempat yang engkau 
akan takut."] 
   
  katanya: "Aku bermalam di rumah saudara perempuan dari ibuku bernama Maimunah 
(isteri Rasullallah saw). 
   
  [ Dalam hadith ni diterjemah Maimunah sebagai ibu saudara sebelah ibu sebab 
merujuk sebutan Ibnu Abbas dengan perkataan "kholati" (rujuk teks bahas Arab), 
yang dalam bahasa Arabnya bermaksud emak saudara sebelah ibu. Kalau "ammati" ia 
bermaksud emak saudara sebelah bapa. Inilah keistimewaannya bahasa Arab, dengan 
hanya satu perkataan sahaja, dia boleh pecah banyak. ] 
   
  Selepas sembahyang Isyak di masjid, kemudian baginda saw datang di rumah 
terus bersembahyang empat rakaat. Sesudah itu baginda tidur. Kemudian selepas 
itu baginda saw bangun berdiri untuk bersembahyang (tahajud). Lalu aku datang 
berdiri pula di sebelah kirinya. Tiba-tiba baginda saw menjadikan aku berada 
disebelah kanannya (tarik aku ke sebelah kanan). 
   
  [ Dalam hadith lain, Ibnu Abbas mendetailkan. Ketika itu usianya hanya 
sekitar 6-7 tahun. Walaupun dalam usia begitu, Ibnu Abbas mempunyai kesedaran 
yang hebat. Inilah kelebihan Islam yang mampu menjadikan orang yang berpegang 
dengannya lebih pantas matang secara perbandingan lebih dari cara hidup yang 
lain. Sebab itu kita tengok apabila seseorang tu tidak ada roh Islam dalam diri 
dia, umur 40 tahun pun masih rugged dengan subang sebelah di telinga, ikat 
kepala dengan bendera Amerika lagi. Cakap pun "lu gua, lu gua". Pening kita 
tengok golongan macam ni. Tapi bila ada roh Islam, benda-benda buang masa macam 
ni akan mai dalam fikiran kita, "Ish! tak patut dah dok buat benda-benda macam 
ni."...Islam itu sendiri menjadikan kita matang, berpendirian dan berprinsip. 
Tetapi dalam keadaan yang lain, jangan pula dilihat macam orang berugama, 
tetapi realiti berpendirian tak tentu hala, sentiasa datang lewat, buat kerja 
sambil lewa, pandu laju macam F1, kalau ustaz macam tu, berat
 sangat la tuan-tuan. Ada something wrong tu. 
   
  Okay dalam riwayat yang lain, Ibnu Abbas sebut Nabi saw tarik telinga dia dan 
letakkannya di sebelah kanan walaupun ketika itu baginda sedang solat. Inilah 
dalil menunjukkan sebenarnya dalam urusan solat kita boleh melakukan 
pergerakan. Contoh, katalah dalam saf, orang yang di sebelah kita agak rengang, 
dalam keadaan ini kita boleh tarik dia rapat dengan kita. Tapi kalau dia 
terkejut tunjuk ketegaq tak mau rapat, biaq pi kat dia. Jangan kita pi tarik 
dia juga-juga. Biarkan dia sehingga habis solat. Lepas solat elok-elok kita 
berbincang bagitau keadaan sebenar kat dia. Begitulah juga kalau ada orang 
melintas depan kita sewaktu kita sembahyang sunat sorang-sorang. Ketika itu 
kita boleh sekat orang tu. Tapi kalau dalam jamaah, kita tak boleh tahan orang 
yang melintas. Di sini ada perbezaannya sebab dalam jamaah, sutrah imam adalah 
sutrah makmum. Sebab itu dalam satu hadith Imam Bukhari riwayat Ibnu Abbas 
juga, berlaku di Mina ketika itu Nabi saw tengah jadi imam solat
 orangramai, kata Ibnu Abbas, "Aku naiki keldai dan aku lintas di tengah-tengah 
saf, namun tidak ada seorang pun bantah perbuatan ku itu."...Jadi, kalau dalam 
waktu solat Jumaat, katalah ada seorang batal ketika melakukan solat, maka 
tidak menjadi kesalahan untuk dia keluar berjalan melalui tengah-tengah jamaah, 
pergi ambil wuduk, dan sambung semula solatnya. Dia tidak perlu tunggu hingga 
habis orangramai solat. Yang dilarang lintas ketika solat berjamaah ialah di 
hadapan imam, bukan di hadapan makmum. Tapi dalam hal solat sunat 
sorang-sorang, para fukaha` telah menyebut beberapa keadaan. Pertama, sekiranya 
seseorang itu solat di tempat biasa, kita nampak dan kita sengaja lintas depan 
dia, maka kita berdosa. Tapi kalau kita tak nampak dan tidak sengaja melintas, 
Allah ta`ala mengangkat kalam daripada orang yang lupa, dan orang yang tak tau. 
Yang kedua, katalah seseorang itu sengaja pi solat di depan pintu yang menjadi 
kebiasaan tempat orang lalu-lalang, ketika itu kalau ada
 orang melintas depan dia, yang berdosanya ialah orang yang solat depan pintu 
tu, bukan orang yang melintas sebab dengan dia solat kat depan pintu 
menyusahkan orangramai untuk melintas. 
   
  Jadi pointnya di sini ialah kita boleh melakukan gerakan dalam solat dalam 
urusan solat. Kalau kita bawa anak kecil ke masjid, ketika solat kita bimbang 
dia pi pegang apa-apa, maka kita boleh angkat dan dokong dia sambil solat. Nabi 
saw sendiri melakukannya dalam hadith baginda mendukung Umamah binti Abi `As 
ketika baginda solat. Ini dia tuan-tuan betapa mudahnya Islam. Tidak ada orang 
yang menyusah-nyusahkan dalam hal agama melainkan dia sendiri akan jadi payah. 
Allah ta`ala mau daripada kamu senang, dan Allah tak mau daripada kamu susah. ] 
   
  Seterusnya baginda saw bersembahyang lima rakaat, kemudian sembahyang lagi 
dua rakaat dan sehabis itu lalu tidur, sehingga aku dapat mendengar dengkur 
atau suara di waktu tidurnya. Sesudah itu baginda saw keluar untuk mengerjakan 
solat Subuh."
   
  [ Perlu kita tahu bahwa yang kata sunnah Nabi saw adalah terdiri daripada 
beberapa jenis. Ada perkara yang berlaku kepada diri Nabi saw yang disebut 
sebagai “jibiliyah”, ia berlaku di atas dasar kearaban atau keinsanan Nabi. 
Contohnya dalam hadith ini ialah dengkuran Nabi ketika baginda tidur. Ya memang 
dari segi istilahnya dengkuran itu juga adalah sunnah kerana apa sahaja yang 
terbit daripada Nabi saw adalah sunnah. Tapi adakah disunatkan kita tidur 
berdengkur?...Tidak tuan-tuan kerana dengkuran dalam tidur Nabi itu adalah 
menunjukkan baginda juga manusia. Di dalam al-Quran, berulang-kali Allah 
menegaskan Rasulullah saw itu hanya seorang manusia. Antaranya Nabi sebut dalam 
al-Quran, "Katakanlah aku ini manusia seperti kamu. Cumanya diwahyukan 
kepadaku."...Oleh sebab itu, Allah bekalkan kepada Nabi ciri-ciri manusia 
seperti perasaan dukacita, perlu kepada makan minum, buang air, rasa letih, 
kadang-kadang cedera dalam peperangan dan sebagainya. Bukannya apa tuan-tuan;
 kalau kita kaji sejarah manusia, akan didapati apabila manusia puji dan puja 
secara berlebih-lebihan, dia akan ada kecenderungan untuk mengangkat individu 
yang dipuja itu kepada martabat ketuhanan. Maka akibatnya akan menjadikan agama 
yang sepatutnya membawa manusia kepada tauhid mengabdikan diri kepada Allah, 
akhirnya menyimpang menjadi syirik kerana mengabdikan diri kepada selain 
daripada Allah. 
   
  Contohnya lihat saja kristian. Tuhan hantar Nabi Isa alaihissalam dengan 
memberikan beberapa kelebihan kepadanya, namun apabila manusia gagal membezakan 
antara rasul dan Tuhan, maka lama-kelamaan mereka tabalkan rasul menjadi tuhan. 
Keadaan ini berlaku dalam banyak agama lain. Lalu bila Islam datang, Islam 
tegas dalam masalah ini. Cuba lihat ayat pertama dalam Surah Isra` ketika Allah 
menceritakan tentang peristiwa hebat Isra` wal Mikraj. Kita kena faham, pada 
zaman Nabi, tidak ada alat seperti tv yang mereka-cipta cerita-cerita fiction 
yang boleh manusia menggambarkan adanya perjalanan yang begitu pantas seperti 
cerita x-men, superman apa semua tu. Zaman dulu takdak semua tu, so manusia 
ketika itu tidak dapat membayangkan adanya satu manusia yang boleh berjalan 
dalam perjalanan ribuan batu dalam satu malam sahaja. Jadi, orang zaman dulu 
untuk menerima cerita macam ini adalah amat-amat sukar. Oleh sebab cerita Isra` 
wal Mikraj itu suatu yang begitu ajaib dan bimbang akan
 berlakunya salah faham, maka Allah terus menyebut, "Maha suci Tuhan daripada 
segala kekurangan, menjalankan hambaNya pada waktu malam daripada Masjidil 
Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya."...Nampak tak 
tuan-tuan bagaimana Allah sebut diri nabiNya itu sebagai hamba. Dia tak sebut 
rasul, Dia tak sebut Muhammad. Disebut begitu supaya orang yang membaca 
al-Quran menyedari bahwa Muhammad yang dijalankan itu adalah hamba Tuhan. 
Kekuatan dan kehebatan bukan berpunca dan bersumber daripada Muhammad, 
sebaliknya ia adalah bersumber dari "Maha suci Tuhan yang menjalankannya". 
Dengan itu, aqidah orang Islam bersih dalam masalah ini. 
   
  Pernah seorang datang kepada baginda saw, sambil melaung, "Wahai Rasulullah! 
dengan apa yang Allah dan engkau kehendaki?!"...Cepat-cepat baginda potong 
dengan menjawab, "Adakah engkau nak jadikan aku sekutu Tuhan? Katalah sahaja: 
Apa yang Allah sahaja kehendaki?"...Maka selepas wafatnya Rasulullah, tidak ada 
orang Islam yang melaung-laung depan makam Nabi, "Wahai Rasulullah! berikanlah 
hajat ku!", melainkan orang itu telah melakukan sesuatu yang syirik. Tuan-tuan, 
Nabi saw meninggalkan Islam dalam keadaan sebersih-bersihnya. Tidak pernah 
seorang pun di kalangan para sahabat radiyallahuanhu pergi tunai nazar di makam 
Nabi apabila berlaku apa-apa masalah. 
   
  Berbalik kepada sunnah Nabi tadi yang terbahagi kepada beberapa perkara. 
Umpamanya seperti baginda tidur berdengkur, walaupun datangnya dari Nabi saw, 
tetapi ia tidak disunatkan kepada umatnya untuk tidur berdengkur sebab 
berdengkur itu dianggap sebagai tabiat biasa manusia yang ada pada rasul. 
Begitu juga Nabi pakai jubah, ia menjadi khilaf dikalangan ulama, dimana 
kebanyakannya berpendapat bahwa pemakaian jubah tidak menjadi sunnah yang 
dituntut kerana ia adalah pakaian Nabi berdasarkan baginda dilahirkan di negeri 
Arab. Namun sapa nak pakai, ahlan wasahlan, dipersilakan. Demikianlah juga 
halnya dengan masalah Nabi jalan pakai tongkat. Para ulama turut membincangkan 
hal ini. Kekadang kita tengok masih muda-muda, dah pakai tongkat. Bila tanya 
kenapa pakai tongkat?, depa kata, "Sunnah, sunnah, sunnah!"...Tuan-tuan, 
kalaulah pakai tongkat itu sunnah, bayangkan kat mana nak parking 
tongkat-tongkat para jemaah yang ramai mai solat di masjid? Parking kasut ada, 
parking
 tongkat ana tak pernah tengok lagi. Bila sebut kasut, teringat dulu pernah 
diiklankan kasut Nabi dalam Harakah (hat bentuk tajam kat depan tu). Semua ni 
mengarut tuan-tuan. Tuntutan didatangkan Nabi bukan di situ. Ini semua 
melambangkan kedangkalan faham terhadap agama. Dok kira kasut tajam, janggut 
nak simpan panjang mana, nak pakai jubah ka taknak pakai, itu yang disibukkan. 
Orang nak murtad keluar Islam ka, IFC ka, FTA ka takdak nak pikiaq dah masalah 
tu. Boleh mai masjid bawa tongkat, pegang tasbih kira ok. Macam tu ka Islam?
   
  Tuan-tuan, apa yang dipertahankan oleh para sahabah radiyallahuanhu bukan 
yang disebut di atas tadi. Yang mereka pertahankan ialah aqidah Nabi, syariat 
Nabi, perundangan Nabi, hukum hakam Nabi dan perjuangan Nabi saw. Yang mana 
semua ini tidak ada di atas mukabumi, melainkan dengan kedatangan Nabi. Kalau 
Nabi tak mai pun, Arab tetap pakai jubah. Kat tv kita boleh tengok tok-tok Arab 
pakai jubah, melompat-lompat tengok bola di stadium, siap dengan lilit kepala 
macam Mujahidin lagi. Itu sebab jubah adalah pakaian orang Arab. Tetapi aqidah 
dan syariah tidak ada melainkan dengan datangnya Muhammad bin Abdillah. 
   
  Namun setelah berlalunya zaman para sahabah radiyallahuanhu, zaman tabiin dan 
zaman tabiin tabiin; maka mula timbul orang-orang yang dinamakan sebagai ahlul 
bida`ah. Mereka melakukan bida`ah di dalam aqidah. Mereka rasa tidak cukup 
minta kepada Allah ta`ala, lalu ditambah minta pula kepada rasul. Sebab itu 
hari ini di Madinah, polis-polis Arab melarang para jamaah haji berdoa di makam 
Nabi lama-lama, depa kata, "Ya haji! doa pada Allah! doa pada 
Allah!"...Bukannya apa; macam kita orang M`sia yang datang dari jauh, apabila 
nampak makam Nabi, dia jadi kagum, "Ya Rasulullah! tolong anak aku 
sakit."...Dengan tidak dapat mengawal perasaannya, dia telah melakukan syirik 
kerana meletakkan makam nabi menjadi makam Tuhan. 
   
  Selain ahlul bida`ah, timbul juga puak-puak extreme seperti puak syiah. Kalau 
extreme kepada Nabi itu takpa, tapi mereka extreme kepada kaum keluarga nabi 
sehingga tabal kaum keluarga nabi setaraf dengan kedudukan nabi. Tuan-tuan, di 
dalam beragama, ada dua benda kita kena jauhi, iaitu ifrad dan tafriq. Maknanya 
tak boleh cuai dan tidak boleh melampaui batas dalam beragama. Siapa yang buat 
tak tau, buat lebih kurang dengan agama, sesat dia. Dan siapa yang beragama 
lebih dari yang dituntut oleh agama (melampau), dia juga sesat kerana 
kedua-duanya adalah jalan syaitan, kata Ibnu Taimiyah rahimahullahu ta`ala. 
Kalau tuan-tuan pergi ke Iran, tuan-tuan akan dapati di dalam bangunan-bangunan 
mereka, lebih banyak perkataan "Ya Ali" daripada perkataan "Ya Allah". Apabila 
ditanya, adakah Ali lebih diagungkan daripada Allah?...Depa kata, "Tak. Kita 
semua jauh dari Allah. Dengan bertawassul kepada Ali, menjadikan jalan dekat 
kepada Allah."...Nampak tak tuan-tuan; sama saja apabila
 Nabi saw menentang berhala-hala Quraisy. Kaum Quraisy kata kat Nabi, "Kami tak 
sembah berhala melainkan orang-orang soleh ini (berhala berasal dari arca-arca 
yang menggambarkan orang-orang soleh) mendekatkan kami dengan 
Allah."...Sedangkan hari ini, orang-orang kristian keluar dari kristian kerana 
tak mau sembah Isa, tiba-tiba masuk Islam kena sembah Ali pula, tak kalut punya 
cerita ka tu tuan-tuan?
   
  Selain Iran, Mesir juga antara tempat yang banyak kerja kurafat. Yang mulia 
Imam as-Syafie, penegak sunnah Nabi saw, tauhidnya bersih kepada Allah ta`ala, 
tapi kalau tuan-tuan pergi ziarah makamnya di Mesir, penjaga makam di situ akan 
minta tuan-tuan bayar $20 untuk ditunjukkan bekas tapak kaki nabi ketika 
baginda datang ziarah makam imam Syafie. Nampak tak tuan-tuan; betapa tidak 
logiknya Nabi saw yang wafat pada tahun 10 hijrah boleh pergi melawat imam 
Syafie yang meninggal dunia pada tahun 204 hijrah?...Yang peliknya, ada juga 
ustaz-ustaz yang bawa cerita begini dalam ceramah-ceramah. Inilah puncanya yang 
membuatkan orang-orang awam jadi keliru. Tolong la tuan-tuan, Islam untuk 
generasi moden hari ini, jangan dikelirukan dengan cerita-cerita bodoh, 
cerita-cerita kartun, cerita-cerita kurafat sebegini. Jangan dibawa masuk 
cerita-cerita macam ni dalam masjid. Karut semuanya itu. Dalam keadaan sekarang 
ketika semua orang sedang mempertikaikan Islam seperti "sisters in
 Islam", geng-geng Islam liberal dan seumpamanya, tiba-tiba ada lagi 
ustaz-ustaz dok bawa mai cerita-cerita dongeng, cerita-cerita mitos dalam 
masjid. Orang kristian lari dari agamanya kerana penuh dengan kesyirikan dan 
kekarutan, tiba-tiba bila mai kat Islam, suruh minta kat tok wali pula dah. 
Tergamakkah kita menyebut nama wali dengan meninggalkan Allah ta`ala? 
Tergamakkah kita memanggil nama "Ya Sheikh Abdul Qadir Jilani" dengan 
meninggalkan "Ya Rabbi"? Ini adalah syirik. Barangsiapa yang memanggil, "Ya 
Sheikh Abdul Qadir Jilani! tunaikan hajatku!", maka terkeluar dia daripada 
Islam...nauzubillah. 
   
  Dengan keadaan dunia Islam ditekan dari segenap sudut hari ini, maka umat 
Islam tidak ada percaturan lain melainkan kempen besar-besaran menyeru umatnya 
kembali kepada Islam sebenar. Berbagai-bagai jenis Islam telah diperkenalkan, 
namun semuanya gagal. Dan dalam keadaan yang sama, ramai di barat juga turut 
meninggalkan kristian. Mereka sedang mencari suatu agama baru yang boleh 
memberikan ketenangan yang bersih dari sebarang penyelewengan. Ramai dikalangan 
mereka tahu bible itu sendiri telah ditokok-tambah oleh paderi-paderi seperti 
yang disifatkan oleh Allah di dalam al-Quran (bermaksud), "Mereka mengambil 
pendita-pendita sebagai tuhan selain dari Allah ta`ala."...Jadi adakah kita nak 
hidangkan kepada orang-orang yang baru masuk Islam ini dengan agama yang 
tokok-tambah juga? Jangan tuan-tuan. Mestilah dihidangkan Islam yang bersih 
dari sebarang tokok-tambah, baik dari tokok-tambah orang tua-tua Melayu, 
tokok-tambah orang tua-tua Arab, tokok-tambah orang tua-tua India
 mahupun dari orang tua-tua bangsa apa sekali pun. Kalau dalam bab urut patah 
tangan apa semua tu, yang tu takpa serah kat orang tua-tua. Namun dalam bab 
agama, ia hanya milik Allah dan rasul. Bukannya apa tuan-tuan, Islam yang 
bersih bulat dari Rasulullah saw sahaja yang mampu menghadapi dunia serba moden 
sekarang. Islam tulin dari Rasulullah inilah yang boleh membanteras fahaman 
Islam liberal yang cuba mempengaruhi generasi muda hari ini dengan kononnya 
boleh memberi pemikiran terbuka. ] 
  ---------------------------------------------------------------------------- 
  [*] Pertama sekali yang perlu kita bagitau tentang Khalifah Harun ar-Rashid 
ialah beliau adalah seorang pemerintahan dari kalangan Bani Abbasiyah yang 
mempunyai hubungan baik dengan para ulama. Beliau sering menangis mendengar 
nasihat-nasihat dari para ulama. Kita sebut benda ni bukannya apa tuan-tuan, 
sebab buku-buku dongeng kanak-kanak di pasaran hari ini sering kita dapati ada 
satu watak bernama Abu Nawas yang suka memperbodoh-bodohkan Khalifah Harun 
ar-Rashid. Ini cerita bohong tuan-tuan. Sebenar watak Abu Nawas tidak ada. Yang 
ada pada zaman Abbasiyah ialah seorang penyair bernama Abu Nuwas, yang 
mempunyai perwatakan yang jahat. Beliau kaki mabuk dan kaki perempuan. Namun 
musuh-musuh Islam telah bentuk watak beliau menjadikan dia pandai. Sebab itu, 
Ibnu Khaldun dalam kitabnya "Muqaddimah", beliau telah mengkritik cerita-cerita 
yang mengaitkan Harun ar-Rashid dengan kejahatan. Inilah kerja-kerja musuh 
Islam, yang apabila mereka gagal memalsukan rujukan tertinggi umat
 Islam al-Quran, mereka beralih menyerang dengan menokok tambah dalam 
riwayat-riwayat yang sahih.
   
  Bila sebut "tokok-tambah" ni tuan-tuan, kita sebagai Muslim kena alert. Dalam 
hal Khalifah Harun ar-Rashid dan Abu Nawas, memang itu kerja musuh-musuh Islam. 
Tapi setengah dari kalangan orang Islam sendiri juga sangat suka "tokok-tambah" 
dalam penulisan mereka, lebih-lebih lagi berkenaan ulama-ulama yang amat mereka 
kagumi. Namun setelah diselidiki, didapati ada sebahagian "tokok-tambah" itu 
tidak benar. Kita hormat al-Imam Syafie rahimahullahu ta`ala. Tetapi ada 
sebahagian buku-buku tulis bahwa Imam Syafie ketika berusia 9 tahun sudah boleh 
memberi fatwa. Ini tidak benar. Fatwa bukan suatu benda main-main. Yang 
mengeluarkan fatwa memerlukan seseorang yang matang, mantap dan masak dalam 
pemikirannya. Tidak memadai hanya pengetahuan dan hafalan sahaja. Ya, memang 
benar Imam Syafie 7 tahun sudah menghafal al-Quran, tetapi ketika itu beliau 
belum menguasai kaedah ilmu hadith. Bahkan sejarah membuktikan bahwa bahwa 
usianya 23 tahun baru beliau berjumpa dengan Imam Malik
 rahimahullahu ta`ala untuk mengambil Muwatho`, dan ketika itu beliau masih 
belum lagi menulis ar-Risalah. Namun apabila ada penulis yang terlalu 
meminatinya, tulisan mereka jadi terlebih sangat. Dia bagitau Imam yang 
diminatinya itu duduk dalam kandungan ibunya selama 7 tahun. Ini menyanggahi 
ilmu sains tuan-tuan. Mungkin dahulu tidak ada ujian air kencing yang 
menentukan kehamilan, jadi sebab itu ibu kepada imam itu sangka dia hamil yang 
sebenarnya dia tidak hamil. Tidak ada janin yang boleh duduk dalam kandungan 
ibunya lebih dari setahun melainkan jadi batu dia. Jadi cerita janin duduk 4 
tahun sehingga 7 tahun dalam kandungan, semua itu menyanggahi fakta saintifik, 
sekaligus akan membuka ruang kepada orang-orang yang mengkaji sains untuk 
menempelak Islam. Ini yang kita tidak mahu tu. 
   
  Allahu`alam.
  12 Julai `06

                
---------------------------------
Yahoo! Messenger with Voice. Make PC-to-Phone Calls to the US (and 30+ 
countries) for 2¢/min or less.

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Something is new at Yahoo! Groups.  Check out the enhanced email design.
http://us.click.yahoo.com/SISQkA/gOaOAA/yQLSAA/wpWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke