...... Ghibah dan Buhtan
Rasulullah menjelaskan, tatkala ditanya oleh
seorang sahabat, "Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda,
"Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!" Kemudian
Baginda ditanya lagi, "Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab
Baginda, "Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah,
tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan
buhtan (pembohongan besar)." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan
At-Tarmizi).
Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar)
amat buruk, apalagi buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang).
Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia
masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau
menerima dengan hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya
mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih
bermanfaat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Seseorang hamba yang
membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan
dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Riwayat
Muslim)
Ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, tetapi setiap gerakan,
isyarat, ungkapan, sindiran, celaan, tulisan atau segala sesuatu yang dipahami
sebagai hinaan. Mendengar orang yang sedang ghibah dengan sikap kagum dan
menyetujui apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah. Pahala amal
kebaikan orang yang melakukan ghibah akan berikan kepada orang yang menjadi
sasaran ghibahnya. Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana boleh
mengakibatkan putus ukhuwah, rosak kasih sayang, timbul permusuhan, tersebar
aib, lahir kehinaan dan timbul keinginan untuk
melakukannya.
Perkataan "fitnah" berasal daripada bahasa Arab yang
bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah sering dimaksudkan
sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan
seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.
Al-Quran
dalam surah al-Hujuraat ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan
fitnah. "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya
kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari
kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat
sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging
saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu
kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan
bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha
Pengasihani".
Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang
beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan
yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Ini
membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi
lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara-perkara yang memberi kebaikan
kepada dirinya dan orang lain. Kalau tidak dapat memberi sesuatu yang membawa
kebaikan maka adalah lebih baik berdiam diri sahaja.
Hadis riwayat
Ahmad dan Tharani; "Barang siapa yang mengetahui ada orang mukmin dihina di
depannya, ia harus membelanya, mempertahankan nama baik si mukmin itu. Apabila
ia tidak mahu melakukan pembelaan itu, maka Allah s.w.t. akan menghinanya di
depan orang ramai''.
Rasulullah s.a.w. ditanya tentang kelakuan
apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab baginda:
"Taqwa kepada Allah dan keindahan akhlak, dan ketika baginda ditanya: "Apakah
yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?" Baginda menjawab:
"Kejahatan mulut dan kemaluan".
Allah memberi amaran kepada golongan
yang suka berbohong dan berdusta di dalam firman-Nya bermaksud: "Maka nyatalah
bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka
perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik
sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa)
dalam neraka jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang kafir?" (Surah
az-Zumar ayat 32).
Allah berfirman bermaksud: "Mahukah Aku khabarkan
kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu
turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh
(apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya
adalah dusta." (Surah asy-Syuaraa' ayat 221-223)
Daripada Abu
Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Tidak beriman
seseorang itu dengan sempurna sehingga ditinggalkan pembohongan sama ada semasa
senda gurau atau semasa bersengketa atau perbalahan."
Imam Jafar
al-Sadiq AS berkata, Orang yang mengada-adakan cerita palsu tentang orang
Mumin dengan tujuan untuk menghinanya, Allah akan menghinanya pada Hari
Pengadilan.
Riwayat Muslim, "Seseorang yang sudah cukup disebut
pendusta (pembohong) jika ia berbicara hanya atas dasar setiap apa yang ia
dengar."
Yahya bin Mu'aadz Arrazi berkata: Jadikanlah bahagian
orang mukmin daripadamu tiga macam supaya tergolong orang yang baik:
Jika
engkau tidak dapat menguntungkan kepadanya maka jangan merugikan
(merosaknya)
Jika engkau tidak dapat menyenangkannya, maka jangan
menyusahkannya
Jika engkau tidak memujinya, maka jangan
mencelanya
Sabda Rasulullah bermaksud: Sesiapa mengawal lidahnya
(daripada memperkatakan kehormatan orang) maka Allah akan menutup kecelaannya
(hal-hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan
melindunginya daripada seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada
Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya. (Hadis riwayat Ibnu
Abib-Duanya).
Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya bermaksud:
Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak
akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan
masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada
kejahatannya..
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah telah bersabda: "Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu
iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah." Para Sahabat
bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda:
"Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukanNya, melakukan perbuatan sihir, membunuh
manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak
yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah
perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah
dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat
serta perempuan yang beriman dengan Allah dan RasulNya dengan fitnah melakukan
perbuatan zina."
Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan daripada Anas
bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah kamu
saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu
sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi
dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya."
Memperkatakan
sesuatu bermaksud buruk amat ditegah. Ini dinyatakan dalam Firman Allah yang
bermaksud: Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan
terang-terang. Kecuali (hanya di muka pengadilan saja) oleh yang dianiaya.
(Surah an-Nisa, ayat 12)
Hadis Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan
daripada Huzaifah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah."
Allah meletakkan
dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah
bermaksud: ...fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan... (Surah
al-Baqarah, ayat 217). petikan dari
teenet.com
Sumbangan : Wan Kasmah
Daud
__._,_.___
///// JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////
Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.
Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/, dari seksyen "BORANG Online".
Langganan : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Unsub : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
YAHOO! GROUPS LINKS
__,_._,___
Want to be your own boss? Learn how on Yahoo! Small Business.
|