Pendustaan Agama Di Bulan Rejab Dan Sya'ban

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak
berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah
Allah dan RasulNya. Jika agama boleh direkacipta, maka
wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak
perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan
pembohongan di atas nama agama.

Kita melihat di akhir-akhir ini perkembangan yang
lebih mendukacitakan, dimana adanya individu-individu
tertentu yang tidak mempunyai latar belakang pengajian
Islam atau sekadar sebulan dua di pusat pengajian
tertentu kemudiannya muncul di tengah masyarakat
dengan membawa huraian-huraian yang salah tentang
Islam di sana-sini.

Fonomena ini mendukacitakan kita, akhirnya manusia
mengambil agama daripada golongan
jahil lalu mereka diselewengkan.

Bahkan bukan sahaja golongan yang tidak pernah
mengikut pengajian Islam membuat kesalahan dalam
memetik dan menghuraikan hadith bahkan ada di kalangan
yang menggunakan lebel nama sebagai ustaz juga sering
membuat kesalahan dalam persoalan memetik dan
menghuraikan hadith-hadith Nabi s.a.w.

Sebenarnya gelaran ustaz bukan bererti seseorang itu
tahu segalanya dalam ilmu-ilmu Islam.
Sebaliknya ada golongan yang digelar ustaz hanya
kerana sepatah dua kalimat yang dihafalnya.

Berbalik kepada persoalan hadith, ramai di kalangan
kita yang begitu tidak berdisplin dalam
memetik hadith-hadith Nabi s.a.w., begitu juga dalam
menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak
mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian
di atas ketulenan sesebuah hadith. Apa sahaja yang
dikatakan hadith terus sahaja dibacakan kepada
masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq
(keputusan) para ulama hadith terhadap kedudukannya.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang
dikatakan hadith maka pastinya sahih dan
wajib diimani. Dengan itu apa sahaja yang mereka
jumpai daripada buku bacaan, yang dikatakan hadith
maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa
usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang
diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith yang
mutawatir:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku)
bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain
(menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta
ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya
dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain
mereka) Hadith ini adalah mutawatir (lihat: Ibn
al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s. 239, cetakan: Dar
al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu
jenayah yang dianggap sangat barat di dalam Islam.
Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w.
ialah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan,
atau pengakuan kepada Nabi s.a.w secara dusta, yang
mana baginda tidak ada kaitan dengannya. Ini seperti
menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda
tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui
sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.Maka
sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. samada
perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ianya
disebut sebagai al-hadith.Namun menyandar sesuatu
kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada
hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa
yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan
al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan.
Maka hadith palsu ialah:

“Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara
dusta, ianya tidak ada hubungan dengan
Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi
`Ulum al-Hadith, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr
al-Mu`asarah, Beirut)

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama,
kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti
seseorang yang memalsukan passport di atas nama
sesebuah kerajaan. Ianya sebenarnya melakukan
pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.
Kedudukan Nabi s.a.w tentunya lebih besar dan agung
untuk dubandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain
Nabi s.a.w. menyebut:

“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke
atasku maka dia masuk neraka”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H)
dalam mengulas hadith ini:

“Ianya merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w.
dan semua jenis pendustaan ke atas
baginda. Maksudnya: Jangan kamu sandarkan pendustaan
ke atasku (menggunakan namaku)
(rujukan: Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, jld 1,
m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan
meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang
mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah
sesuatu yang haram.Kata al-Imam Ibn al-Salah
(meninggal 643H):

“Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya
hadith palsu meriwayatkannya dalam apa
bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan
menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-alah,`Ulum
al-hadith, m.s.9

Misalnya di tanahair kita, didapati apabila munculnya
bulan Rejab dan Sya`aban maka hadith-
hadith palsu mengenai mengenai bulan-bulan tersebut
akan dibaca dan diajar secara meluas.
Antaranya hadith:

“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan
bulan umatku”. Ini adalah hadith palsu
yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim
al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa
al-Dha`if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu`at
al-Islamiyyah, Halab, Syria)

Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin
Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H.
Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah.Dia juga
dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib
(iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat:
al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,.
5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah,
Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal dunia
643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat
hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang
menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk
mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima
pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan
kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah
tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini
dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah,
`Ulum al-Hadith, m.s.99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa
pula, ada menjadi agen menyebarkan
hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang
dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.Kata
al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat
751H):Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat
pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan
dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua
hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada
malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w.
Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam
Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat
ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam
(Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-9) .

Sebenarnya hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu
Syaaban itu memang ada, tetapi
amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah
palsu. Hadith yang boleh dipegang dalam masalah nisfu
Sy`aaban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu
Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali
musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang
benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan
lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam
Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135,
cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh).

Hadith ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan
malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada
malam tersebut seperti baca Yasin, solat-solat
tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr.
Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung
dengan Nisfu Syaaban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan
para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada
untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a
tertentu dan solat
tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian
negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang
ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di
masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua
raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain
pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia,
kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik
dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’
tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang
menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga
bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan
(malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan
dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam
adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita
melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala
keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka,
dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap
yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam
neraka." (Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s.
382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh
ulama umat yang sederhana dan dihormati.Namun dalam
masalah ini beliau agak tegas kerana ianya ternyata
bercanggaha dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah
s.a.w.

Justeru itu hadith-hadith palsu mengenai Rejab dan
Syaaban ini hendaklah dihentikan dari
disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali
kepada agama yang tulen. Hasil dari
memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah
golongan agama yang suka mendakwa perkara yang
bukan-bukan. Dengan menggunakan nama agama segala
rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan
kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada
golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa
yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.
Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-Sunnah
yang pasti kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh
para ulama hadith. Kata al-Syeikh
Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama
hadith al-Azhar):

“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadith,
samada ilmu riwayat atau dirayah
(mengenai teks hadith). Mereka hanya membaca hadith
apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa
mengetahui kedudukan hadith tersebut. Apa yang mereka
pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka
menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib
yang Islam tiada kaitan dengannya. Mereka ini
sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat
dan bertazkirah." (Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa
al-Mustalah 
al-hadith, m.s. 322, cetakan: Dar al- Fikr al-`Arabi,
Kaherah).

Penulis menyeru diri sendiri, para penceramah,
ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak juga
semua pihak yang membaca sesuatu hadith memastikan
kesahihannya dahulu. Semoga Rejab
dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan
pembohongan terhadap Nabi s.a.w. 



                
___________________________________________________________ 
Yahoo! Photos – NEW, now offering a quality print service from just 8p a photo 
http://uk.photos.yahoo.com


///// JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/, dari seksyen "BORANG Online".

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke