Daripada Umno , pemuda Umno dan Khairy Jamaluddin sibuk nak jelajah negara buat 
program Pentas Patriot beri ceramah mengenai sejarah bekas petugas keselamatan 
melawan komunis, lebih baik jelajah Malaysia cari bekas polis, bekas askar yang 
dulu lawan komunis, tapi kini hidup terabai dan melarat seperti Sarjan Emping 
Kijang dari Pasukan Polis Hutan di bawah ini, adalah sebahagian daripada ramai 
lagi yang hidup seperti dia.

SARJAN (B) EMPAGA KIJANG : PENGORBANAN SEORANG ANGGOTA PASUKAN POLIS HUTAN YANG 
DILUPAKAN 

9 Jun 2011 

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sejarah pembentukan Persekutuan 
Malaysia pada masa dahulu pernah diwarnai dengan pelbagai peristiwa hitam yang 
turut membabitkan penduduk negeri Sarawak.

Ia termasuklah ancaman konfrantasi Malaysia – Indonesia yang bermula dari tahun 
1962 hingga 1966, ancaman Parti Komunis Malaysia dari tahun 1948 hingga 1960 
dan bersambung semula dari tahun 1968 hingga 1989 serta peristiwa berdarah 13 
Mei 1969.

Penduduk Sarawak nyata tidak terlepas daripada ancaman ini apabila berhadapan 
dengan Konfrantasi Malaysia – Indonesia dan ancaman komunis oleh Pasukan Rakyat 
Komunis Kalimantan Utara @ PARAKU iaitu cabang bersenjata bagi Parti Komunis 
Kalimantan Utara (PKKU) dari tahun 1971 hingga 1990.

Kemunculan PKKU yang dilihat bergabung dengan Parti Komunis Malaya @ PKM untuk 
menggulingkan Kerajaan Malaysia bagi kali kedua ini secara tidak langsung telah 
menuntut pengorbanan pihak tentera dan polis bagi menangani ancaman pengganas 
itu.

Tekanan berterusan yang dikenakan oleh Kerajaan Malaysia menerusi pengorbanan 
tentera dan polis ini akhirnya berjaya menamatkan ancaman pengganas komunis 
sehingga menjurus kepada Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989 (Kerajaan 
Malaysia dan PKM ) dan PKKU pada 17 Oktober 1990.

Pengorbanan para tentera dan polis yang berjuang menentang keganasan komunis 
pada era waktu berkenaan telah mendapat penghargaan dengan pemberian pingat dan 
insentif kewangan daripada kerajaan.

Bagaimanapun cukup menyedihkan sekiranya masih terdapat anggota keselamatan 
yang masih belum menerima penghargaan sewajarnya daripada pihak kerajaan 
berhubung jasa dan pengorbanan mereka ketika berjuang menentang pengganas 
komunis di Sarawak pada waktu itu.

Ia terbukti apabila Sarjan (bersara) Errol Empaga @ Empaga anak Kijang dari 
Rumah Gimang, Basi, Batang Ai, Lubok Antu, iaitu salah seorang pesara polis 
dari unit Pasukan Polis Hutan @ PPH (kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am) 
tidak mendapat penghargaan sewajarnya daripada kerajaan berhubung isu terbabit.
Dilahirkan pada 1 Januari 1945, Empaga buat pertama kalinya menyertai Pasukan 
Polis Diraja Malaysia pada 1963 dengan menjalani latihan selama sembilan bulan 
di PULAPOR, Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja tamat latihan, beliau ditugaskan ke Pusat Latihan Polis, Bukit 
Siol, Petra Jaya, Kuching pada tahun 1964 sebelum berpindah tugas ke Kompeni F, 
PPH di Kem Lanang, Sibu pada tahun 1965.

Empaga mula menerima pengalaman pertama dalam operasi mengempur pasukan komunis 
(PARAKU) sebaik sahaja berpindah tugas ke Batalion Ke-15 PPH Kem Temudok, Sri 
Aman pada tahun 1968.

Pada suatu hari dalam tahun 1968, beliau bersama anggota dari tiga buah platun 
PPH yang diketuai oleh Inspektor Dimbut telah diarah ke Titok, Engkilili 
setelah menerima laporan mengenai pergerakan komunis di situ.

“Kami mengendap semalaman dalam hutan di Titok untuk menunggu kedatangan mereka 
dan keesokan harinya seorang anggota komunis mati manakala seorang lagi yang 
cedera bertindak melarikan diri setelah digempur oleh anggota dari kawasan 
kepungan lain pada malam itu,” katanya ketika ditemubual Utusan Sarawak hari 
ini.

Empaga tidak bertempur dalam operasi itu sehinggalah peristiwa hitam pertama 
menghantui diri beliau ketika diarah untuk menyertai Program Jiwa Murni di 
sebuah perkampungan di Lachau, Pantu, Sri Aman pada 27 Disember 1970.

Pada waktu pagi hari berkenaan, beliau bersama 12 orang anggota PPH yang lain 
telah berangkat dari Kem Temudok, Sri Aman dengan menggunakan sebuah trak 
(konvoi pertama) dan kereta perisai (konvoi kedua).

Dengan bersenjatakan senapang automatik M-16, Empaga bersama empat orang 
anggotanya menumpang kereta perisai yang ketinggalan kira-kira 10 minit 
perjalanan daripada pasukan konvoi pertama berkenaan.

“Tiba-tiba pada jam 9 pagi, dipercayai seramai 18 orang anggota komunis yang 
terbahagi kepada tiga buah kumpulan bertindak menyerang hendap kenderaan 
perisai kami ketika sedang melalui kawasan antara perkampungan Ran dan Punggu, 
Sri Aman.

“Saya membalas tembakan menerusi lubang peninjau di kenderaan perisai ketika 
itu sebelum kenderaan kami terkandas di kawasan Bukit Begunan iaitu kira-kira 
100 meter dari kawasan serangan setelah tayar pancit akibat serangan komunis 
terbabit,” katanya.

Setelah mengambil posisi berkubu di tebing jalan, Empaga bersama Lans Kopral 
Tajau Siong terus menggunakan senjata Bren dari dalam kenderaan perisai itu dan 
menembak secara rambang ke arah kedudukan serang hendap musuh.

“Kemudiannya seorang rakan mendapati bahagian belakang kepala saya berdarah 
dipercayai terkena tembakan peluru musuh ketika berlaku serangan hendap 
berkenaan,” katanya sambil menambah pasukan penyelamat kemudiannya tiba dan 
beliau dihantar ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.

Empaga yang dilantik ke pangkat Kopral pada tahun 1971 dan berpindah tugas ke 
Briged PPH, Kuching kemudiannya sekali lagi terlibat dalam pertempuran dengan 
komunis di kawasan Semenggok, Kuching bersama dengan Kompeni C dan A Batalion 
Ke-14 PPH.

“Saya masih lagi ingat apabila beberapa biji bom tangan tidak meletup setelah 
dilontar oleh anggota kita ke arah pihak komunis yang kemudiannya melarikan 
diri setelah satu jam setengah pertempuran,” katanya.

Beliau bersama Kopral Dennis Sim kemudiannya dipertanggungjawab untuk menangkap 
seorang anggota komunis yang menyerah diri setelah terkepung dalam pertempuran 
itu dengan seorang lagi mayat masih tertinggal di tempat persembunyian.

Setelah berkhidmat selama setahun di Briged PPH, Kuching, Empaga kemudiannya 
berpindah tugas ke Batalion Ke-18 PPH, Miri sebelum berpindah tugas semula ke 
Batalion Ke-15 PPH di Kem Lanang, Sibu pada tahun 1977.

“Pengalaman paling berharga saya yang sebenar berlaku pada 25 Mei 1978 
memandangkan pada hari itu kami telah ditugaskan ke Ulu Naman, Sibu setelah 
menerima laporan mengenai pergerakan komunis di situ.

“Saya bersama 13 orang anggota yang diketuai oleh Sarjan Ricky Muan tiba di Ulu 
Naman pada jam 4 petang dan hasil laporan penduduk, kami mendapati bahawa 
kumpulan komunis yang diketuai oleh Eei Poh Yap sedang berada di kebun lada 
milik mereka,” katanya.

Mereka kemudiannya bertindak menyusup ke kawasan kebun lada sebelum bertembung 
dengan dua orang anggota komunis yang dipercayai menjadi sentri (pengawal) ke 
laluan masuk kebun lada berkenaan.

Tanpa melengahkan masa, Empaga bersama pasukannya terus melepaskan tembakan 
terhadap anggota komunis lelaki dan wanita terbabit sehingga menyebabkan 
kedua-dua mereka terbunuh.

“Mayat komunis wanita kami temui pada keesokannya memandangkan hari semakin 
gelap ketika berlaku pertempuran...malang buat kedua-dua komunis terbabit 
apabila senapang buatan sendiri mereka gagal berfungsi,” katanya.

Pasukan komunis yang diketuai oleh Eei Poh Yap dipercayai melarikan diri 
selepas itu dengan dua pucuk senapang patah buatan sendiri, empat butir bom, 15 
butir peluru, ubat-ubatan dan makanan berjaya dirampas daripada kedua-dua mayat 
pengganas berkenaan.


“Saya bersama anggota yang lain telah menerima surat penghargaan berhubung 
kejayaan terbabit,” kata suami kepada mendiang Sinda anak Gadoh dan bapa kepada 
tiga orang anak lelaki serta dua orang anak perempuan berkenaan.

Bagaimanapun Empaga yang telah bersara dengan berpangkat Sarjan dalam 
perkhidmatan polis di Kem Temudok, Sri Aman pada tahun 2000 lepas seolah-olah 
merasai bahawa jasa dan pengorbanan beliau tidak dihargai kerajaan.

Beliau menjadi lebih terkilan apabila tidak dipanggil untuk menerima wang 
sumbangan bernilai RM1,000 yang diberikan oleh kerajaan terhadap mana-mana 
bekas anggota polis yang pernah berkhidmat ketika era darurat dahulu (1968 
-1972) di Sarawak.

“Apa yang saya terima hanyalah surat penghargaan...tiada pingat dan tiada 
sumbangan wang penghargaan. Saya tidak meminta semua ini namun jika nyawa kami 
pertaruhkan untuk keselamatan hidup penduduk maka wajarlah pengorbanan ini 
mendapat balasan setimpalnya dari kerajaan,” kata beliau dengan begitu kesal.

Empaga sudah memohon sebanyak dua kali daripada pihak atasan berhubung 
sumbangan wang berkenaan namun masih tidak mendapat sebarang maklum balas 
daripada pihak terbabit.

Kini, dengan usia sudah pun mencecah 66 tahun, beliau hidup bersendirian di 
Taman Tiara dengan hanya menikmati baki pencen sebanyak RM540 setelah melalui 
potongan pembayaran rumah dan lain-lain belanjawan.

“Semua anak saya sudah pun berkahwin. Namun mereka tidak dapat membantu memberi 
belanja wang terhadap saya disebabkan oleh faktor kurang mampu berhubung 
kekurangan pendapatan,” kata beliau yang telah kematian isteri pada tahun 2009 
lepas.

Justeru Empaga merayu agar kerajaan menimbang semula jasa dan pengorbanan 
beliau ketika berjuang selama 34 tahun dalam pasukan polis hutan (PPH) selama 
ini dengan memberikan sumbangan sewajarnya terhadap kebajikan hidup beliau 
selepas ini.

Sumber : 
http://sriamannews.blogspot.com/2011/06/sarjan-b-empaga-kijang-pengorbanan.html 


PENTAS PATRIOT KENANG JASA WIRAWAN NEGARA

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Pergerakan Pemuda UMNO akan melancarkan program Pentas 
Patriot bagi menghargai dan mengenang jasa wira-wira petugas keselamatan yang 
telah berhempas-pulas mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, program tersebut adalah lanjutan 
daripada kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu yang telah mengguris 
perasaan rakyat Malaysia terutama bekas perajurit, anggota polis dan waris 
mangsa tragedi Bukit Kepong.

"Sudah tiba masanya, suatu program ceramah umum berbentuk jelajah diadakan bagi 
menghargai dan mengenang kembali sumbangan wira-wira petugas keselamatan yang 
telah berhempas-pulas menggadai nyawa menentang pengganas komunis," katanya di 
laman web rasminya www.rembau.net.my.

Jelasnya, Pentas Patriot akan diadakan di seluruh negara dengan pengisian yang 
mencakupi tayangan video dan multimedia, ceramah umum daripada Unit Pidato 
Pemuda UMNO serta bekas-bekas komando, askar, pasukan polis dan pakar-pakar 
sejarah.

"Program ini diharap bukan sahaja dapat mengimbau kembali sejarah perjuangan 
wira-wira negara bahkan meniup semangat patriotik di kalangan rakyat, terutama 
anak-anak muda.

"Melalui program ini juga, anak-anak muda akan didedahkan dengan peristiwa 
bersejarah yang menyoroti perjuangan wira-wira negara bagi mendapatkan 
kemerdekaan," katanya.

Jelas Khairy, Pentas Patriot akan menjadi medium bagi mendedahkan penipuan yang 
cuba diabadikan oleh Mohammad Sabu melalui teorinya yang secara jelas tidak 
mahu menerima hakikat bahawa kebebasan dan kemerdekaan negara dicapai tanpa 
sebarang pertumpahan darah.

"Pemuda UMNO menganggap kenyataan Mohammad Sabu itu bukan sahaja menghina dan 
mengkhianati perjuangan anak bangsa malah mengagungkan pengganas komunis semasa 
tragedi Bukit Kepong dan menampakkan belang sebenar Pas yang sanggup melakukan 
apa sahaja demi kepentingan politik mereka.

"Malah sikap Muhammad Sabu serta kepimpinan pembangkang yang langsung tidak 
menampakkan kekesalan dengan menuding jari kepada UMNO amatlah memualkan," ujar 
beliau.

Tambahnya, Pentas Patriot yang akan bermula dalam masa terdekat adalah langkah 
terbaik bagi menangani isu berkenaan.

"Kami menyeru rakyat untuk hadir beramai-ramai bagi menyertai program ceramah 
umum berkenaan," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0904&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm&arc=hive
  



------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [email protected]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
[email protected]! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke