Pergaduhan di Seremban akibat dihasut, kata ahli PAS
Sep 28, 11
 
Ahli PAS Abdul Hadi Abdul Aziz, 21, yang didakwa dibelasah oleh ahli kumpulan 
pendesak Melayu, PERKASA di ceramah timbalan presiden parti itu, Mohamad Sabu 
Sabtu lalu, percaya tindakan itu bertujuan menghasut mereka supaya bertindak 
ganas.
Abdul Hadi, yang hidungnya berdarah selepas ditumbuk oleh penyerang yang belum 
dikenali, percaya matlamat PERKASA adalah untuk menghuru-harakan majlis ceramah 
pada malam itu supaya ia akhirnya dibatalkan.
 
Tindakan itu bukan sahaja untuk membantutkan Mohamad - atau lebih popular 
dengan panggilan Mat Sabu - daripada menyampaikan ucapannya pada majlis 
perhimpunan Aidilfitri, tetapi juga untuk menakut-nakutkan ahli dan penyokong 
PAS.
 
"Saya percaya PERKASA cuba menghasut ahli PAS dengan harapan kami 
bertindakbalas dan akhirnya menjadikan keadaan lebih teruk.
 
"Kemudian mereka akan labelkan PAS sebagai parti yang ganas. Ini mungkin taktik 
mereka untuk memerangkap PAS," kata Abdul Hadi kepada Malaysiakini.
 
Abdul Hadi, seorang graduan kolej, merujuk kepada pergaduhan yang tercetus pada 
24 September lalu di mana botol plastik air minuman dan batu dilemparkan ke 
arah pentas ceramah PAS di Ampangan, Seremban.
 
Kekecohan
 
Sejak awal majlis, penyokong PERKASA mula berhimpun di tepi jalan utama yang 
terletak kira-kira 60 meter dari pentas ceramah, sambil membawa sepanduk dan 
kain rentang bertulis "Mat Sabu Pembohong", "Mat Sabu Perosak Bangsa" dan "Mat 
Sabu Hina Pejuang".
 
Kekecohan tercetus apabila hampir 100 ahli PERKASA dan bekas tentera cuba 
mengiringi beberapa wakil mereka untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada 
Mat Sabu. 
 
Tindakan itu kerana mereka mendakwa tidak berpuas hati dengan ucapan pemimpin 
PAS itu mengenai Mat Indera, aktivis anti-kolonialis dan kejadian Bukit Kepong 
tahun 1950, sebelum ini.
 
Mengimbas kembali peristiwa petang itu, Abdul Hadi berkata beliau sedang minum 
di sebuah gerai berhampiran apabila terdengar kekecohan di pintu masuk ke 
tempat ceramah.
 
"Saya bergegas ke tempat kejadian, di mana saya dapati tiga ahli PERKASA telah 
menyeberangi jalan dan menuju ke pentas ceramah. Saya nampak seorang lagi ahli 
PAS - Abdus Star Nor Mohd - dan beberapa ahli PAS yang lain cuba menghalang 
mereka.
 
"Kemudian, lebih ramai ahli PERKASA menyeberangi jalan dan mula menolak para 
hadirin dalam usaha cuba menuju ke pentas. Saya nampak Abdus Star ditolak, jadi 
saya ambil keputusan untuk menolongnya.
 
"Pada ketika itu, seseorang menumbuk hidung saya, dan hidung saya mula berdarah 
dan saya rasa pening. Seorang ahli PAS kemudian datang membantu saya dan 
membawa saya ke tadika Al Wildan, tempat ceramah diadakan," kata Abdul Hadi.
 
Beliau kemudiannya membuat laporan polis di balai polis Rahang pada malam yang 
sama.
 
Bertambah semangat
 
Abdul Hadi yang menjadi ahli PAS sejak empat tahun lalu, berkata episod itu 
tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya, ia telah menjadikan dirinya lebih 
bersemangat untuk melibatkan diri dengan perjuangan PAS.
 
Selain Abdul Hadi, seorang lagi ahli PAS juga didakwa cedera akibat lontaran 
batu yang terkena kepalanya. Bagaimanapun, ahli PAS yang hanya dikenali sebagai 
'Shahib' itu enggan ditemuramah atau membenarkan gambarnya dirakam.
 
Sabtu lalu, polis berjaya meleraikan ketegangan selepas memujuk kedua-dua pihak 
supaya bertenang.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abd Ghani dilaporkan sebagai 
berkata parti itu akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian itu.
 
Sementara itu, setiausaha PERKASA Negeri Sembilan, Alias Mohamad menafikan 
bahawa ahlinya cuba menghasut atau menyerang Abdul Hadi atau mana-mana 
ahli-ahli PAS yang lain.
 
Menentang Mat Sabu
 
"Saya tidak bersetuju penggunaan keganasan. Adalah tidak benar kami sengaja 
menimbulkan kemarahan mereka. Kami tidak ada sebab untuk menimbulkan apa-apa 
provokasi kerana kami tidak menentang PAS, tetapi hanya Mohamad Sabu," katanya 
kepada Malaysiakini.
 
"Namun apabila hadirin terlalu ramai dan mereka pula beremosi, pelbagai insiden 
boleh menjadi di luar kawalan," kata Alias.
 
Beliau sebelum ini mendakwa bahawa seorang ahli PERKASA juga antara mereka yang 
cedera dalam kejadian itu apabila terkena simbahan 'air panas'.
 
Menurut Alias lagi, seorang daripada penganjur ceramah berkenaan telah 
membenarkan tiga perwakilan PERKASA untuk bertemu dengan Mat Sabu. Tetapi 
apabila tiga lagi ahli PERKASA yang lain ingin turut serta, mereka dihalang.
 
Akibatnya, kata Alias, tercetus ketegangan sehingga menimbulkan suasana 
huru-hara.
 
http://malaysiakini.com/news/177060


------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [email protected]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
[email protected]! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke