KUALA LUMPUR, 3 Nov 2011 : Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana 
Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya graduan 
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) ‘cari kerja lain’ sebelum ini telah 
menimbulkan kemarahan sekaligus mengguris hati ribuan graduan dan bakal graduan 
ISMP di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kampus-kampus lain.
 
Susulan dari ketidakpuashatian itu, hampir seribu mahasiswa UPSI telah 
mengadakan piket di perkarangan Sudut Pidato Universiti tersebut semalam 
sebagai tanda protes.
 
Setiausaha Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Yuyu Luna ketika dihubungi 
Harakahdaily menjelaskan piket yang berlangsung selama empat jam itu telah 
menyaksikan ucapan-ucapan menuntut hak penempatan guru untuk graduan ISMP yang 
dikatakan telah dinafikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
 
"Piket tengah hari semalam telah dianjurkan oleh Gabungan Bertindak Mahasiswa 
yang dicetus oleh wakil LMP sebuah 'front' Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) 
Adam Adli dan wakil Gabungan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Wan Ahmad 
Fathi.
 
"Gabungan mahasiswa ini turut digerakkan bersama wakil Gabungan Mahasiswa Islam 
SeMalaysia (GAMIS), dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), serta 
'front' mahasiswa UPSI yg lain," jelasnya.
 
Tambah Yuyu lagi, piket itu kemudian diakhiri dengan penyerahan memorandum 
Tujuh Tuntutan Mahasiswa ISMP oleh YDP Majlis Perwakilan Pelajar UPSI kepada 
TNC Penyelidikan dan Inovasi, Datuk Noraini.
 
"Tujuh tuntutan itu termasuklah menuntut Timbalan Perdana Menteri menyediakan 
penempatan yang mencukupi kepada graduan ISMP, mengurangkan pengambilan Guru 
Sandaran Tidak Tetap serta Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dan memperincikan 
bajet pendidikan yang lebih telus dalam menyediakan penempatan guru.
 
"Tuntutan lain termasuklah menuntut agar unjuran pengambilan guru yang tepat 
dan telus dikeluarkan agar universiti boleh membuat unjuran pengambilan pelajar 
yang tidak merugikan,” ujarnya lagi.
 
Yuyu juga memberitahu gabungan itu berhasrat untuk menyerahkan 10,000 tanda 
tangan mahasiswa kepada Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat.
 
"Petisyen tersebut telah diedarkan disekitar kampus dan kolej-kolej kediaman 
dan sehingga kini tandatangan yang kita perolehi menjangkau angka sepuluh ribu.
 
"Ia bakal diserahkan sendiri oleh wakil-wakil mahasiswa kepada Timbalan Perdana 
Menteri pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan nanti," tambahnya lagi.
 
Sebelum itu, Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan yang disiarkan Buletin 
Utama pada 30 Oktober lalu bahawa tiada lagi jaminan penempatan bagi graduan 
ISMP yang tidak ditaja KPM.
 
Selain itu, beliau turut menyebut bahawa graduan pendidikan perlu mencari kerja 
di tempat lain yang sesuai dengan ijazah mereka.
 
Muhyiddin turut menyifatkan keutamaan penempatan turut diberikan kepada Kursus 
Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) 
manakala penempatan graduan ISMP akan dibuat setelah selesai penempatan GSTT 
dan KPLI.
 
Yuyu berkata, Muhyiddin sekarang berdepan dengan kemarahan mahasiswa di UPSI 
jika isu tersebut tidak diselesai segera selain memenuhi tujuh tuntutan 
memorandum tersebut.
 
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6332-kerja-lain-graduan-ismp-bantah-muhyiddin-
 
 
Jangan lupa baca kisah sebelum ini , aduan, keluhan, rintihan ribuan bakal guru 
KPLI, TESL, UPSI yang menganggur ketika ini, bukan sebulan dua, tapi bertahun, 
bukan seorang dua tapi beribu di 
http://amkns.blogspot.com/2011/10/hanya-mat-sabu-boleh-selamat-ramai.html 

Kirim email ke