11 Nov 2011 
 
REMBAU: Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), di sini, berdepan ancaman tanah 
runtuh yang mungkin boleh membawa kemusnahan besar, apabila tanah cerun 
berhampiran kolej itu kini sudah menunjukkan tanda-tanda untuk runtuh. 
 
Pegawai Jurutera Mara negeri, Mohd Haizullah Ibrahim, berkata tanah cerun 
tersebut yang terletak kurang lima meter dari bangunan kediaman kakitangan 
kolej sudah bergerak sehingga menyebabkan tembok penahan retak dan longkang 
pecah. 
 
"Kita memang sentiasa melakukan pemantauan ke kawasan ini dan hujan yang agak 
lebat kebelakangan ini, kita mengesan ada pergerakan tanah pada 3 November 
lalu. 
 
"Keadaan ini bukan hanya menyebabkan tembok penahan retak, malah bangunan 
kediaman kakitangan juga retak selain jalan berhampiran menjadi tidak rata," 
katanya kepada pemberita semasa lawatan Anggota Parlimen Kuala Pilah, Datuk 
Hasan Malek ke kawasan itu, hari ini. 
 
Mohd Haizullah berkata, pihaknya sudah melakukan kajian ke atas tanah cerun 
tersebut di mana ia mempunyai keluasan lebih 7.5 hektar dan ketinggian antara 
50 hingga 60 meter. 
 
"Kecerunan tanah pula adalah antara 32 hingga 42 darjah dan tanah cerun ini 
adalah jenis tanah kaolin atau tanah liat putih di mana ia menyerap air dan 
disimpan di dalamnya," katanya. 
 
Katanya, walaupun pada masa ini pihak kolej sedang melakukan kerja pencegahan 
termasuk membaik pulih tembok penahan, namun hujan lebat yang membawa kepada 
pergerakan tanah boleh menyebabkan ia runtuh tanpa diduga. 
 
Katanya, Institut Kerja Raya Malaysia juga akan melakukan kajian ke atas 
kawasan itu hari ini dan KKTM juga akan mendapatkan pandangan Jabatan Kerja 
Raya mengenai situasi itu. 
 
Mengulas mengenai perkara itu, Hasan berkata selepas mengetahui ancaman 
tersebut, pihak kolej mengambil langkah dengan mengarahkan semua kakitangan 
untuk mengosongkan kediaman mereka pada 4 November lalu. 
 
"Saya difahamkan bangunan ini didiami oleh 11 keluarga kakitangan kolej dan 
mereka sudah mengosongkan kediaman, kerana kita tidak mahu kejadian yang tidak 
diingini berlaku ke atas mereka," katanya. 
 
KKTM Rembau mula beroperasi pada 2008 yang menempatkan 89 kakitangan dan 360 
pelajar yang mengikuti lima program diploma. - BERNAMA
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KKTMRembauberdepanrisikotanahruntuh/Article
 

Kirim email ke