16 Mac 2012, ALOR GAJAH - Seorang ibu
tunggal menjalani kehidupan sukar dan tidak mampu melakukan sebarang
pekerjaan selepas disahkan menghidap kanser pangkal rahim awal
Januari lalu.
Masitah Md Isa, 44, disahkan menghidap
penyakit berkenaan selepas berlaku tumpah darah pada Oktober tahun
lalu dan menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Alor Gajah.
Menurutnya, pihak hospital mengesahkan
dia menghidap fibroid sebelum diberi cuti berehat dan dirujuk pula ke
Hospital Melaka untuk pemeriksaan.
“Pihak Hospital Melaka mengesan
fibroid yang ada dalam rahim saya sudah merebak menjadi kanser tahap
kedua dan saya kemudiannya menerima rawatan susulan di Pusat
Perubatan Mahkota untuk menjalani rawatan radioterapi serta
kimoterapi. Sepanjang rawatan selama sebulan, saya masih mampu
berjalan seperti biasa, namun segalanya menjadi lebih getir apabila
bahagian alat sulit menjadi hitam seperti kesan terbakar dan buasir
sejak seminggu lalu,” katanya yang sudah berpisah dengan suami
sejak 16 tahun lalu.
Masitah yang bekerja di sebuah kilang
di Tangga Batu dengan pendapatan kira-kira RM600 kini terpaksa
menyara ibunya bersama tiga anak dan dua anak saudaranya.
“Anak kedua saya, Noratikah
Baharudin, 19, akan melanjutkan pelajaran di sebuah kolej di Simpang
Ampat dan yuran pengajian masih tertunggak sebanyak RM800. Dalam
keadaan saya sukar bergerak, masa lebih banyak dihabiskan terlantar
di atas katil dan tidak mampu bekerja,” katanya kepada Sinar
Harian.
Katanya, dia ada mengikhtiarkan
pelbagai cara untuk mengubati kesan rawatan radioterapi yang
menimpanya akibat kanser rahim yang dihidapi, namun tiada sebarang
perubahan.
“Seminggu lalu, saya menjalani
pemeriksaan dan doktor memaklumkan kanser yang dialami sudah tiada
namun bimbang sekiranya ia merebak di bahagian dalam. Saya buntu
dengan masalah yang berlaku dengan keadaan terlantar sakit, saya
tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan. Persekolahan anak-anak
perlu diteruskan,” katanya.
Masitah menerima bantuan daripada
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain
dibantu anak keduanya yang sempat bekerja sementara menunggu
pendaftaran pengajiannya April ini.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/tak-mampu-lagi-bekerja-selepas-hidap-kanser-1.32683
 

Kirim email ke