19 Mac 2012 , KUALA LUMPUR: Dua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 
mendakwa sakit belakang dan sesak nafas selepas dibelasah dua pelatih lain 
dalam dua kejadian berasingan selang 15 minit di asrama mereka di Alor Gajah, 
Melaka, awal pagi kelmarin.
 
(Sila rujuk laman web http://beritaplkn.blogspot.comuntuk laporan beberapa 
insiden di Kem PLKN sebelum ini)
 
Dalam kejadian bermula jam 2.15 pagi itu, dua pelatih terbabit iaitu Yap Chun 
Jen dan Chew Chee Yong, 18, mendakwa ditumbuk dan ditendang di perut, kaki dan 
belakang badan oleh dua pelatih terbabit yang datang menemui mereka dengan 
membawa sekumpulan pelatih lain.
 
Menurut Yap yang berasal dari Puchong, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum 
didatangi sekumpulan 20 pelatih mengejutkannya dan seorang daripada mereka 
mengarahkannya keluar untuk berbincang berikutan itu hari terakhir mereka 
menjalani latihan.
 
“Takut dikelilingi pelatih saya hanya menurut, namun sejurus selepas 
menjejakkan kaki keluar pintu asrama, mereka menumbuk tepat di perut serta 
menendang kaki saya.
 
“Pelatih itu kemudian menyuruh saya memukulnya semula dan selepas saya berbuat 
demikian, dia terus memukul di belakang badan pula,” katanya ketika membuat 
sidang media di Kepong, di sini, semalam.
 
Yap berkata, dia dibelasah akibat perselisihan faham yang berlaku antara mereka 
semasa permulaan program, Januari lalu.
 
Dalam kejadian kedua yang berlaku 15 minit selepas itu, Chew mendakwa diserang 
di bilik asramanya oleh seorang pelatih yang menuduhnya pernah menumpahkan air.
 
“Saya tidak pernah menumpahkan air dan sepatutnya, pada hari akhir latihan, 
pelatih lebih bijak dalam menyelesaikan sesuatu perselisihan faham, bukannya 
menghukum dengan cara ini,” katanya.
 
Jurulatih yang menerima aduan mangsa kemudian membawa mangsa membuat 
pemeriksaan doktor di Hospital Alor Gajah (HAG) sebelum dibawa ke Balai Polis 
Simpang Ampat oleh ibu bapa masing-masing untuk membuat laporan polis. 
Sementara itu, Ketua Pasukan Petugas MCA Kepong, Tan Kok Eng berkata, MCA akan 
berhubung terus dengan PLKN, untuk mendapatkan penjelasan bagaimana perkara itu 
boleh berlaku serta akan membuat susulan dengan polis bagi memastikan tindakan 
sewajarnya diambil.
 
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang 
Kechil berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan 
telah mengarahkan pengurusan PLKN Alor Gajah membuat laporan penuh kejadian itu.
 
Sumber : 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelatihdakwakenabelasah/Article/index_html
 

Kirim email ke