Benarkan pengajaran J-Qaf di sekolah menengah ditangguh kerana masalah 
kekurangan guru dalam bidang berkenaan? Apakah Malaysia ketandusan graduan 
lulusan bidang Agama Islam?
 
Pengajaran J-Qaf di sekolah menengah ditangguh
7 Mei 2012 
 
BATU PAHAT - Pelaksanaan pengajaran Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) 
di sekolah menengah di seluruh negara yang dijadualkan bermula tahun depan 
terpaksa ditangguhkan kerana masalah kekurangan guru dalam bidang berkenaan.
 
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, masalah sama 
berlaku di peringkat sekolah kebangsaan apabila kementerian kekurangan 
kira-kira 11,000 guru J-Qaf.
 
"Kita perlu menyelesaikan dahulu kekurangan guru J-Qaf di sekolah kebangsaan 
yang menjadi keperluan mendesak sebelum melaksanakannya di sekolah menengah.
 
"Terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan jumlah guru itu dan ia akan 
dibincangkan pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran minggu depan 
bagi mendapatkan penyelesaian," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung dan Penyampaian 
Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Agama Kampung Sungai Suloh, Senggarang, hari 
ini.
 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran 
pada Disember lalu mengumumkan pelaksanaan program perintis J-Qaf di sekolah 
menengah mulai pertengahan tahun ini dan pelaksanaan sepenuhnya pada 2013 di 
sekolah menengah seluruh negara.
 
Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, antara cadangan 
kementerian bagi meningkatkan jumlah guru J-Qaf adalah dengan melatih lulusan 
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai latar belakang pendidikan agama 
di Institut Pendidikan Guru (IPG).
 
Beliau berkata, kerajaan sememangnya ada mengambil guru lepasan ijazah dari 
Asia Barat untuk berkhidmat sebagai guru J-Qaf di negara ini, namun, jumlah itu 
belum mencukupi bagi menampung keperluan ketika ini.
 
Mohd. Puad berkata, Kementerian Pelajaran juga merancang mewujudkan jawatan 
Guru Penolong Kanan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah 
kebangsaan bagi memantau dan memperkukuhkan subjek Pendidikan Islam.
 
Menurutnya, perkara itu turut disuarakan Kesatuan Guru-guru Agama Kebangsaan 
semasa Konvensyen Pendidikan Islam peringkat kebangsaan tahun lalu dan mungkin 
terlebih dahulu dilaksanakan di sekolah yang mempunyai Kelas Aliran Agama.
 
Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut perlu mendapat kelulusan Jabatan 
Perkhidmatan Awam dan mengambil kira faktor kewangan sebelum dapat dilaksanakan.
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm
 

Kirim email ke