Mungkin ini boleh dijadikan tajuk debat selepas ini. Apakah dengan menaikkan 
kadar saman melebihi had laju ke RM 2,000 akan menaikkan kadar rasuah? Apakah 
kadar kemalangan jalanraya akan menurun jika kadar saman dinaikkan? Sebelum ini 
denda maksimum ini telah dinaikkan beberapa kali. Adakah statistik menunjukkan 
pengurangan kemalangan jalanraya dengan kenaikan kadar saman yang sebelum ini?
 
Cuba buat soalan rambang kepada pengguna jalanraya, mahu bayar saman RM2000 
atau mahu beri hadiah RM50, RM100 atau RM200?
 
Denda minimum RM300 pandu lebih had laju
Berita Harian 26 Jun 2012 
 
KUALA LUMPUR: Denda minimum kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan 
RM300, manakala had maksimum dinaikkan sehingga RM2,000 atau boleh dipenjara 
maksimum tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 
 
Ia adalah kenaikan sekali ganda bagi kesalahan itu apabila Subseksyen 26(2) 
dalam Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 dijangka diluluskan 
Dewan Rakyat minggu ini berbanding denda maksimum RM1,000 sekarang. 
 
Ketika ini, tiada had denda minimum ditetapkan untuk kesalahan berkenaan. Rang 
Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 dibentangkan untuk bacaan kali 
pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri pada sidang 
Dewan Rakyat, semalam. Ia bertujuan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987. 
 
Selain itu, pindaan Subseksyen 26(2) Rang Undang-undang terbabit memperuntukkan 
denda minimum dan maksimum yang sama bagi kesalahan memandu tanpa lesen atau 
penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali. 
 
Pemandu atau pejalan kaki yang mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas 
diberikan anggota polis atau warden lalu lintas pula boleh didenda minimum dan 
maksimum yang sama melalui pindaan Subseksyen 79(2) berbanding denda maksimum 
RM500 sekarang. 
 
Selain itu, Seksyen 76A yang baru diperkenalkan dalam rang undang-undang itu 
membenarkan pemandu membelok ke kiri di simpang lalu lintas yang ada dipasang 
isyarat membenarkan membelok ke kiri jika pemandu mendapati selamat untuk 
berbuat demikian. 
 
Sesiapa melanggar seksyen berkenaan boleh didenda minimum RM300 dan maksimum 
RM2,000. 
 
Rang undang-undang itu turut memasukkan takrif baru ‘basikal elektrik’ yang 
diistilahkan ‘sikal’ dengan bantuan kayuh dilengkapi motor elektrik sokongan 
yang ada kuasa berkadar berterusan maksimum 0.25kW. 
 
Output basikal elektrik itu berkurangan secara beransur-ansur dan akhirnya 
terhenti apabila kenderaan mencapai kelajuan 25km/j atau sebelumnya jika 
penunggang berhenti mengayuh.

Kirim email ke