29 Julai 2012 KUALA PILAH – Dua
kanak-kanak antara suspek yang diburu oleh pihak polis selepas
melakukan kegiatan samun di Taman Bukit Intan, kelmarin.  Kejadian
itu berlaku jam 12.15 tengah hari ketika mangsa seorang wanita Melayu
berusia, 48, tinggal sendirian di rumah. 

Ketua Polis daerah Kuala Pilah,
Superintendan Jaafar Baba berkata, tiga suspek itu terdiri daripada
seorang lelaki berusia 20-an bersama dua kanak-kanak perempuan
berusia 12 dan 13 tahun.

Menurutnya, suspek lelaki menggunakan
parang panjang manakala salah seorang kanak-kanak itu menggunakan
parang pendek.

"Ketiga suspek dipercayai masuk ke
dalam rumah mangsa melalui pintu utama kerana tidak berkunci. Mangsa
ketika itu sedang menjahit baju di bilik belakang dan tidak perasan
suspek masuk ke dalam rumah.

“Dia hanya terkejut apabila suspek
memasuki ke dalam bilik belakang dan dua kanak-kanak terus memegang
kedua-dua belah tangannya. Manakala lelaki tersebut terus merampas
rantai mangsa.

“Namun rentapan itu tidak berjaya
mengambil kesemua rantai kerana terputus dua. Suspek berjaya
melarikan loket dan sebahagian rantai anggaran RM1,000,” katanya
kepada Sinar Harian.

Jaafar berkata, sejurus itu mangsa yang
berjaya meloloskan diri berlari ke arah belakang rumah untuk meminta
pertolongan jiran terdekat.

“Apabila suasana menjadi kecoh,
ketiga-tiga suspek sudah berada di dalam kereta milik mangsa selepas
mengambil kunci kereta jenis Proton Pesona yang tergantung di
dinding, namun cubaan itu tidak berjaya apabila terdengar mangsa
menjerit meminta tolong.

"Akibat panik, suspek lelaki
berpatah balik dan menyerang mangsa dengan cubaan menetak kepala
tetapi berjaya ditahan mangsa. Akibatnya, tangan kanan mangsa luka
terkena parang. Ketiga-tiga suspek berlari keluar menaiki kereta
jenis perodua Myvi berwarna ‘silver’ yang dipercayai kereta curi
dari Mantin,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, mangsa
hanya mengalami cedera ringan di tangan kanan kerana parang tersebut
tumpul.

"Saya menasihatkan kepada suri
rumah agar lebih berhati-hati ketika tinggal bersendirian di rumah
dan mengunci pintu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terjadi
terutama pada musim perayaan," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen
395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan
penjara sehingga 20 tahun dan sebatan kerana samun bersenjata
berkumpulan.

“Sesiapa yang melihat kejadian itu
boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten
Superintendan Normanshah Din menerusi talian 019-2096474,”katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/polis-buru-dua-kanak-kanak-1.71043
 

Kirim email ke