Adakah kolej-kolej yang tipu di bawah ini, para pelajarnya mendapat pinjaman 
PTPTN? Bagaimana PTPTN boleh meluluskan pinjaman untuk kolej-kolej penipu ini? 
Apakah PTPTN hanya menguntungkan IPTS terutamanya kolej-kolej penipu ini? 
Apakah Kementerian Pengajian Tinggi sudah hilang kawalan terhadap kolej swasta 
dan kolej penipu, akhirnya yang menjadi mangsa anak bangsa kita sendiri yang 
terpaksa membayar pinjaman PTPTN walaupun mendapat ijazah yang tidak laku atau 
tidak diiktiraf.
 
Kolej tipu pengiktirafan
10 Ogos 2012 
 
Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengesan beberapa kes kolej 
swasta melakukan penipuan dengan mendakwa ijazah dan diploma ditawarkan 
memperoleh akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). 
 
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata tindakan 
itu dilakukan untuk mempengaruhi pelajar melanjutkan pengajian ke institusi 
pengajian tinggi swasta (IPTS) terbabit. 
 
Tipu ada prasarana 
 
“Kolej terbabit turut mengumumkan pelbagai prasarana pengajaran dan 
pembelajaran (P&P), sedangkan sebenarnya kemudahan itu tiada. Kes itu 
terbongkar hasil siasatan Bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat KPT,” katanya 
kepada BH, di sini semalam. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah IPTS yang mempunyai seramai 800 pelajar di 
Seri Kembangan, Serdang didakwa beroperasi secara haram, biarpun sudah 
diarahkan oleh KPT supaya menggantung operasi bagi membolehkan pihak 
pengurusannya menyelesaikan masalah dalaman. 
 
Kena tindakan gagal bayar gaji pekerja 
 
Bekas kakitangan pentadbirannya yang enggan namanya disiarkan mendakwa, kolej 
itu sudah dikenakan tindakan oleh KPT dan Jabatan Tenaga Kerja kerana gagal 
membayar gaji pekerja dalam tempoh tiga hingga empat bulan. 
 
Katanya, setiap kali wakil kementerian dan jabatan terbabit membuat pemeriksaan 
ke kolej itu, IPTS terbabit mengarahkan pelajarnya bercuti atau menangguh 
kuliah bagi mengelak dikenakan tindakan. 
 
Bimbang nasib pelajar 
 
“Kami turut bimbang dengan nasib pelajar kolej itu kerana pihak pengurusan 
kerap meminta mereka bercuti dan menunda kuliah kerana ketiadaan pensyarah 
selepas 100 pensyarah serta kakitangan pentadbirannya meletak jawatan,” 
katanya. 
 
Jurucakap mendakwa, beliau bersama 10 bekas pensyarah kolej itu membuat aduan 
mengenai masalah dalaman kolej itu kepada KPT di Putrajaya, baru-baru ini dan 
kolej terbabit sudah diarahkan membayar gaji mereka.
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kolejtipupengiktirafan/Article 

Kirim email ke