Belanja kahwin mahal punca ramai pemuda
Melayu berhutang.

16 Sept 2012 - “Walaupun sudah
bercerai, namun beban untuk membayar hutang bank akibat wang hantaran
tinggi dahulu masih lagi perlu saya bayar” menurut Hadzrien.  Amran
(bukan nama sebenar), berusia 25 tahun, tinggal di perumahan rumah
pangsa di Vista Angkasa, Kuala Lumpur, baru melangsungkan perkahwinan
dengan isterinya kira-kira setahun lalu. Tetapi, hantaran perkahwinan
yang terlalu tinggi menyebabkan beliau kini berhutang hampir RM25,000
dan diburu oleh “Ah Long”.

“Saya tidak ada banyak pilihan,”
jelas Amran yang merupakan seorang penyelia kilang di Petaling Jaya
dan hanya memperoleh gaji RM1,500 sebulan.

“Tiap-tiap bulan saya terpaksa
menghabiskan lebih dari separuh gaji saya hanya untuk membayar
hutang.

“Puncanya, keluarga sebelah isteri
saya meletakkan hantaran sebanyak RM12,000 kerana isteri saya seorang
graduan diploma di universiti tempatan, dan termasuk belanja kahwin
dan kenduri, semuanya berjumlah RM25,000.

“Jadi, dengan pendapatan saya yang
berjumlah RM1,500, tolak bayaran sewa rumah dan ansuran kereta lagi,
saya tidak mampu untuk menanggung hutang sebegini.”

Dalam adat perkahwinan Melayu-Islam di
Malaysia, terdapat dua jenis hantaran, iaitu mas kahwin dan hantaran
perkahwinan.

Mas kahwin, juga dikenali sebagai “wang
belanja tubuh”, telah ditetapkan oleh jabatan agama Islam peringkat
negeri, berbeza dengan hantaran perkahwinan.

Bayaran mas kahwin ini diwajibkan dalam
agama Islam, manakala hantaran perkahwinan pula bersifat adat resam
dan tidak ada kewajiban untuk membayarnya.

“Hantaran perkahwinan inilah yang
membebankan orang ramai dari perkahwinan,” menurut Azri Mukhris, 27
tahun, seorang yang bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun
ini.

Kata Azri, beliau dan pasangannya
terpaksa mengikat perut sejak tahun lalu bagi memastikan mereka dapat
berkahwin sebelum hujung tahun ini.

Ini kerana tekanan masyarakat itu
sendiri menyebabkan ahli keluarga terpaksa meletakkan harga
sedemikian.
“Semasa upacara merisik, kami
membincangkan tentang harga hantaran, memandangkan pasangan saya
merupakan seorang graduan ijazah sains, maka harganya lebih tinggi.

“Jadi sebab itu, mahu tidak mahu,
saya perlu menyimpan agar dapat menyempurnakan majlis perkahwinan
yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.”

Bila ditanya berapa harga hantaran
perkahwinan, Azri enggan memberi jumlah keseluruhannya.

“Apabila berkahwin ni, banyak
komitmen yang perlu diberikan, antaranya perlu membayar hutang
membeli rumah, membeli kereta,  kemudian pinjaman peribadi untuk
melangsungkan perkahwinan, dan beberapa tahun lagi apabila sudah
mempunyai anak, kena membeli persiapan untuk kelahiran anak pula.

“Itu belum lagi bila anak itu sudah
membesar dan sudah mula bersekolah,” kata Azri lagi.

Pasangan yang berkahwin di ibu kota
setiap tahun dianggarkan 20,000 orang dengan kira-kira 10,000 orang
adalah golongan muda.

Tujuh tahun pertama usia perkahwinan
adalah tempoh paling kritikal kerana hampir 28 peratus perceraian
berlaku dalam jangka waktu berkenaan.

“Kebanyakan kes perceraian dalam
tempoh itu pula membabitkan pasangan muda berumur bawah 30 tahun ke
bawah,” katanya.

Hadzrien (bukan nama sebenar), 26
tahun, bercerai dengan isterinya yang tiga tahun lebih muda berkata,
masalah kewangan adalah punca perceraian dia dan isterinya.

“Saya telah berkahwin dengan bekas
isteri saya setahun yang lalu, tetapi oleh kerana belanja perkahwinan
yang tinggi, disamping masalah kewangan serta pinjaman bank terlalu
tinggi menyebabkan saya terpaksa bercerai dengannya.

“Saya telah cuba berjimat cermat,
tetapi tuntutan kehidupan di kota yang mahu perbelanjaan yang tinggi
menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung isteri saya lagi, lalu
kami membuat keputusan untuk bercerai,” kata Hadzrien lagi.

Katanya, pinjamannya yang berjumlah
hampir RM20,000 itu terlalu sukar untuk dibayar, hinggakan dia
terpaksa menjual kereta Proton Satrianya.

“Walaupun sudah bercerai, namun beban
untuk membayar hutang bank akibat wang hantaran tinggi dahulu masih
lagi perlu saya bayar.

“Perkahwinan sepatutnya menjadi masa
yang terindah, tetapi kerana pinjaman serta kadar bunga tinggi,
kerana hantaran perkahwinan yang tinggi menyebabkan ia menjadi azab
dalam hidup saya,” kata Hadzrien lagi.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/belanja-kahwin-mahal-punca-ramai-pemuda-melayu-berhutang/
 

Kirim email ke