DISAMUN DALAM BAS.  
 
KUALA LUMPUR 18
Okt 2012 - “Saya diacu parang sebelum diarah menyerahkan wang dan telefon
bimbit,” kata Nurhidayah Muhammad, 23, mangsa samun dua lelaki dalam bas awam
di ibu kota, baru-baru ini.
 
Menceritakan semula detik cemas itu, Nurhidayah yang bekerja
sebagai operator telefon berkata, dia menaiki bas berkenaan untuk pulang ke
rumahnya di Setapak sebaik tamat kerja, kira-kira jam 8 malam. Menurutnya,
ketika kejadian bas berkenaan berhenti di Masjid Jamek, di sini, apabila
tiba-tiba dua lelaki meluru masuk ke dalam kenderaan awam itu dan menuju ke
arahnya.
 
“Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu apabila
seorang daripada lelaki terbabit mengugut mahu menikam saya jika melawan. “Saya
diarahkan duduk dan mengeluarkan segala barang yang ada dalam beg tangan sambil
diacu parang. Dalam keadaan panik, saya terpaksa menyerahkan wang RM200 dan
telefon bimbit kepada lelaki itu,” katanya.
 
Katanya, bukan dia seorang saja yang disamun penjenayah
terbabit, malah seorang lagi penumpang lelaki warga asing yang duduk di
sebelahnya turut menjadi mangsa.
 
“Namun, penumpang warga asing itu enggan menurut arahan
lelaki terbabit supaya menyerahkan wang dan barangan berharga mengakibatkan dia
dibelasah.
 
“Kejadian ini
turut disaksikan pemandu dan penumpang lain, tetapi mereka tidak berani
membantu kerana bimbang turut menerima nasib sama.,” katanya. Nurhidayah
berkata, ketika seorang lelaki terbabit menyamunnya dan penumpang warga asing
itu, rakannya pula mengawasi keadaan dengan berkawal di bahagian tempat duduk
penumpang belakang.
 
“Kedua-duanya
tidak mengganggu penumpang lain dan terus melarikan diri selepas memperoleh
wang daripada saya.
 
“Akibat kejadian
itu, saya mengalami trauma untuk menggunakan pengangkutan awam untuk
berulang-alik ke tempat kerja setiap hari,” katanya yang membuat laporan di
Balai Polis Dang Wangi sejurus kejadian.
 
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin
Ahmad, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Disamundalambas/Article/index_html 

Kirim email ke