16 Nov 2012 
 
JEMPOL: Seorang ibu beranak enam di Felda Lui Selatan, di
sini, runsing apabila anak bongsunya berusia empat bulan terpaksa menjalani
pembedahan jantung dengan kos pembedahan dianggarkan sebanyak RM35,000 dan
merayu bantuan daripada orang ramai.
 
Fazrina Mohd Said Rajakumaran, 34, berkata, anaknya, Zaquan
Harith Mikhail Zaidi bakal menjalani empat pembedahan kerana disahkan mempunyai
jantung berlubang, empat hari selepas dilahirkan.
 
Menurutnya, pembedahan pertama Zaquan akan dilakukan Januari
tahun depan disusuli tiga lagi pembedahan pada masa berikutnya yang ditentukan
kemudian.
 
“Doktor menasihatkan sebelum pembedahan dijalankan, Zaquan
harus menambah berat badan sehingga tujuh kilogram. Pihak hospital ada 
memberikan makanan tambahan
seperti vitamin untuk tujuan itu.
 
“Zaquan kini
kerap menangis dan tidak boleh terlalu sejuk, sebagai ibu saya amat sedih
melihatnya yang kelihatan kebiruan.
 
“Dalam keadaannya
sekarang, saya bimbang kerana tiada kenderaan untuk ke Hospital Tuanku Ampuan
Najihah (HTAN) Kuala Pilah tempat dia dirawat,” katanya ketika ditemui di
rumahnya, di sini, semalam.
 
Dia juga terpaksa
bekerja keras mencari wang harian untuk menampung kos perbelanjaan ke hospital
bagi rawatan anaknya itu kerana suaminya kini dipenjara.
 
“Pendapatan saya
sehari dengan berniaga burger di depan rumah tidak seberapa. Wang itulah saya
belanja setiap hari untuk keperluan harian dan perubatan Zaquan.
 
“Saya ada memohon
Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membesarkan perniagaan, tetapi memerlukan
kertas kerja sebelum permohonan diluluskan.
 
“Disebabkan itu
saya terpaksa mencari alternatif supaya tiada perkara buruk berlaku pada anak
akibat saya tiada wang,” katanya.
 
Orang ramai boleh
menyalurkan bantuan terus ke Bank Simpanan Nasional (BSN) di akaun
0510029817423442 atau sebarang pertanyaan menghubungi Fazrina di talian
0172101803.
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perlubedahempatkali/Article/index_html

Kirim email ke