Ustaz Ismail Kamus ditanya bagaimana mahu membelai cinta seandainya selepas
berkahwin baru terbongkar rahsia keburukan pasangan, beliau mengulas. Memang
sukar menelah kebaikan individu meskipun seseorang itu taat kepada ibadatnya.
Pernah suatu ketika seorang lelaki menemui Saidina Omar dan berkata, bahawa dia
telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi. Lantas Saidina Omar bertanya,
"Apakah engkau kenal lelaki itu?'' Pemuda itu menjawab, "Tidak ya amirul
mukmimin.'' Saidina Omar bertanya lagi. "Apakah engkau pernah bermusafir
dengannya?'' Orang itu jawab, "Tidak pernah,'' Bertanya lagi Saidina Omar,
"Apakah engkau pernah berjiran dengannya? Orang itu menjawab, Tidak pernah.
Lantas ditanya Omar lagi, "Macam mana engkau kenal dia? Dijawab si pemuda.
"Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik. Omar berkata,
"Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal
kepadanya.'' Daripada kisah yang diriwayatkan
maknanya, sekadar tengok seseorang sembahyang, berulang alik ke masjid atau
membaca al-Quran belum bererti kita tahu perangai yang sebenar. "Seeloknya ajak
dia bermusafir, baru tahu kedekut atau tidak. Berjiran dengannya, baru tahu
perangai peribadi, dan jika berniaga bersama-samanya baru tahu amanah atau
sebaliknya diri seseorang. Jika sudah kenal hati budinya barulah boleh dia
dijadikan kawan atau saksi. Begitu juga apabila mencari pasangan, selidik
dahulu latar belakang dan nilai peribadinya. Caranya dengan menghantar wakil
atau orang tengah yang boleh diharapkan,'' sarannya. Namun tidak dinafikan,
apabila suami berubah sikap misalnya tidak lagi mesra seperti dahulu, tidak
mahu bergurau senda apatah lagi memupuk kasih dan sayang si isteri akan makan
hati dan menderita. Namun jangan sesekali dibiarkan sehingga meresap ke dalam
hati dan perasaan yang akhirnya menjadi kebiasaan.
Apabila suami buat perangai, cepat-cepat ditegur. Supaya dia segera sedar yang
perbuatannya itu salah. Jika isteri terlalu sabar dan Redha dibimbangi akan
meresap ke dalam hati dan menjadi kesedapan kepadanya. Memang kenyataannya
apabila menegur atau melembutkan hati suami, mereka akan lebih keras dan kasar.
Gelagat perubahan ini lebih ketara apabila si suami sudah mula senang sedikit.
Balik lewat malam, bersenang-senang dan makan-makan dengan teman-teman atau
pergi berpoya-poya. Sebab itu dikatakan orang, wang bukan sahaja membawa
kebahagiaan tetapi mengheret kepada kecelakaan. "Cara untuk mengatasi masalah
suami yang berubah hati, si isteri tidak boleh membentak. Kerana lelaki yang
berperangai begini, hatinya sudah keras. Si isteri mesti menggunakan pendekatan
dengan cara yang paling lembut sehingga mereka sedar.
"Tidak dinafikan apabila si isteri berlembut, perangai suami semakin
menjadi-jadi. Bagaimanapun cuba kita fikirkan, kalau membentak akan timbul pula
permusuhan yang berpanjangan. Silap hari bulan, si suami memukul atau mendera
si isteri. Diam isteri bukan bererti redha dan bersetuju dengan perangainya
cuma sekasar mana pun lelaki, namun jauh di sudut hati pasti mempunyai belas.
Kasihan dengan si isteri yang cukup tenang, sabar dengan perangainya yang
buruk,'' ujarnya. Tambahnya lagi, "Ada masanya suami mesti disentak dengan
perkara-perkara yang tidak dijangka. Misalnya seorang isteri yang sebelum ini
banyak cakap tiba-tiba mogok. Lepas masak diam, lepas makan diam, hendak tidur
pun diam, maknanya perangainya berubah menjadi pendiam. Mungkin dengan cara itu
dia mampu meluahkan perasaannya daripada marah tidak tentu pasal kemudian dicop
suami, dia derhaka. "Seperti kisah seorang pemuda yang menyatakan hasrat mahu
berkahwin tetapi dihalang oleh emaknya.
Jadi dia mogok, kalau melawan, bimbang menderhaka kepada orang tua dan dia
takut masuk ke dalam api neraka. Lantas dia diam sahaja sepanjang masa. Tidak
makan, tidak minum, tidak tidur, sembahyang sahaja yang dilakukan.
Lama-kelamaan ibunya bertanya, "Engkau sakit ke, asyik diam aja.'' Si anak
menggelengkan kepala. Oleh sebab emak sayangkan anak, lantas disuruhnya si anak
berkahwin. Barulah si anak bersemangat dan bahagia. Dalam kes ini si anak
terselamat, tidak menderhaka kepada ibunya dan dapat pula berkahwin,'' ceritanya