INTISARI KITAB
Mau'izhatul Mu'minin min
"IHYA' ULUMIDDIN"
==Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali==
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama)
--------------------------------------------------------------------------------
Bismillah, Walhamdulillah Wassholatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Washohbihie Waman Walaah
amma ba'du...
KITAB ADAB BERUSAHA DAN MENCARI RIZKI (3/5)
BAHAGIAN KEDUA: MU'AMALAH BAHAYA YANG MENYENTUH ORANG PERSEORANGAN.
Segala yang boleh mendatangkan kerugian kepada orang lain
adalah
penganiayaan. Maka keadilan itu ialah tidak menimpakan kerugian ke atas
saudaranya yang Muslim. Sebagai pedoman yang harus dijaga ialah:
Hendaklah
ia tiada menyukai bagi saudaranya melainkan apa yang disukai bagi dirinya.
Oleh itu segala perlakuan yang mungkin menyukarkan dirinya sendiri atau
memberatkan hatinya, maka janganlah dilakukannya terhadap saudaranya yang
Muslim. Yang wajar biarlah dipandang wangnya sama dengan wang saudaranya.
Ini sebagai kesimpulannya.
Adapun keterangan lanjutanya ada empat perkara iaitu:
(1) Janganlah hendaknya ia terlalu memuji-mujia atas barang
dagangannya secara omong kosong, kerana yang demikian itu adalah suatu
kebohongan. Kiranya si pembeli terpengaruh dengan kata-kata puji itu lalu
membelinya, maka itu adalah suatu pengeliruan dan penganiayaan. Jika si
pembeli terpengaruh dengan kata-kata puji itu lalu membelinya, maka itu
adalah suatu pengeliruan dan penganiayaan. Jika si pembeli menolak maka
ternyatalah kerana adanya sikap kebohongan itu, dan jatuhlah warwahnya di
hadapan si pembeli tadi. Kalau hendak memuji barang dagangan itu, biarlah
yang benar dan betul-betul, tanpa berlebih-lebihan atau melampaui batas.
Janganlah sekali-seklai bersumpah kerananya, sebab jika sumpahnya itu
palsu maka ia telah membuat sumpah bohong, dan sifat ini termasuk
perkara-perkara dosa besar. Jika ia bersumpah benar, maka ia telah
menjadikan nama Allah sebagi bahan permainan dalam sumpah itu, dan ini
termasuk sifat keji pula. Sebab urusan keduniaan itu lebih rendah
daripada
seseorang berniat untuk melariskan barang dagangannya dengan bersumpah
dengan nama Allah, tanpa perlu bersumpah.
Dalam Hadis tersebut:
"Neraka Wail bagi peniaga yang bersumpah: Demi Allah, Wallahi, tidak demi
Allah, dan Neraka Wail juga bagi pekerja yang suka membohongi janji: esok
atau lusa."
Sabda Rasulullah yang lain:
"Sumpah bohong untuk melariskan barang dagangan akan melenyapkan
keberkatan dalam perusahaan."
(2) Hendaklah ia menjelaskan segala cacat-cacat barang
dagangannya yang terlihat ataupun tersembunyi. Tidak boleh disembunyikan
tentang cacat-cacatnya. Itu adalah wajib. Jika ia menyembunyikan juga
kecacatan itu menjadilah seorang penipu atau penganiaya, sedangkan
penipuan itu adalah hukumnya haram. Dengan itu juga ia telah tidak
mengendahkan kebenaran dalam perkara jual beli sedangkan sifat ini adalah
wajib. Jika seseorang pedangan menunjukkan bahagian yang baik dari baju
yang dijualnya sedangkan bahagian yang tak baik diselindungkan, maka ia
telah menjadi seorang penipu. Begitu juga ia mendedahkan pakaian yang
diperdagangkan itu di tempat-tempat yang gelap, ataupun menunjukkan
pasangan kasut atau sepatu yang baik saja, sedangkan yang tak baik tidak
ditunjukkan, ini termasuk juga sebagai seorang pedagang penipu.
Dalil yang menunjukkan pengharaman penipuan ialah riwayat berikut yang
menjelaskan: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan ke tempat seorang
yang menjual makanan, terasa keinginan baginda kepada makanan itu, lalu
dicecahkanlah tangannya pada makanan itu dan didapatinya basah. Maka
baginda bertanya: Mengapa basah! Jawab penjual: Kerana terkena hujan.
Maka
baginda bersabda pula: Mengapa makanan itu tidak engkau letakkan di atas
meja supaya dapat dilihat oleh orang. Siapa yang menipu kita (kaum
Muslimin), maka dia bukan termasuk golongan kita.
Dalil yang menunjukkan wajib berlaku jujur dengan menyatakan cacat-cacat
pada barang dagangan ialah riwayat dari Rasulullah s.a.w. iaitu: Apabila
Rasulullah s.a.w. selesai menerima bai'at Jarir kerana memeluk Agama
Islam, Jarir pun ingin kembali, maka oleh Rasulullah ditariknya baju
Jarir
seraya mensyaratkan atasnya supaya berlaku jujur terhadap setiap Muslim.
Apabila Jarir mengeluarkan barang dagangannya untuk dijual, ditelitinya
terlebih dahulu cacat-cacat barang itu, kemudian disuruh pembeli memilih,
katanya: Jika mahu ambillah, jika tak mahu tinggalkanlah disitu, Ada
orang
berkata kapada Jarir: Wahai Jariri! Kalau engkau buat macan ini nanti tak
laku semua barang-barang engkau itu. Jarir menjawab: Kami semua telah
membai'at Rasulullah s.a.w untuk berlaku jujur terhadap setiap Muslim.
Cerita yang lain pula dari Watsilah Ibnul-Aqsa' yang pada suatu hari
sedang berdiri di suatu tempat. Pada ketika itu dilihatnya seorang
menjual
untanya dengan harga 300 dirham. Watsilah lalai sehingga orang itu telah
pergi dari situ bersama unta yang dibelinya. Kemudian Watsilah
menjerit-jerit mengejar si pembeli itu seraya bertanya: Tuan beli unta
itu
untuk disembelih atau untuk ditunggang? Jawab orang itu: Untuk
ditunggang.
Berkata Watsilah: Kalau begitu saya patut memberitahu tuan, bahwa di kaki
unta itu ada lubang yang saya lihat dengan mata kepada saya sendiri,
nanti
tentutlah unta itu tak kuat untuk berjalan terus-menerus. Maka si pembeli
unta itu kembali semula ingin mengembalikan unta tersebut kepada si
penjual, sehingga penjualnya bersetuju mengurangkan harganya sebanyak 100
dirham lagi. Penjual itu lalu berkata kepada Watsilah: Moga-moga Tuhan
merahmatimu, sebenarnya engkau telah merosakkan penjualanku. Lalu dijawab
oleh Watsilah: Bukankah kita telah membai'at Rasulullah s.a.w. untuk
berlaku jujur terhadap setiap Muslim? Tidakkah engkau pernah mendengar
sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiada halal bagi seseorang menjual sesuatu barang, melainkan ia
menerangkan kecacatannya, dan tiada halal bagi orang yang mengetahuinya,
melainkan mesti diterangkan kecacatan itu."
Difahamkan dari perkataan berlaku jujur itu, ia tiada redha untuk
saudaranya, melainkan apa yang ia meredhakan untuk dirinya sendiri. Dan
sifat ini juga tiadalah dikira suatu keutamaan ataupun kelebihan
martabat,
tetapi mereka meyakini bahwa yang demikian itu sebagai syarat-syarat
kesempurnaan Islam seseorang yang termasuk ke dalam bai'at (janji
persetiaan)
Meskipun melakukan perkara serupa itu agak sedikit berat bagi jiwa tetapi
akan segera menjadi enteng atas seseorang manusia, bila ia mempercayai
dua
perkara berikut:
(1) Dia harus meyakinkan dalam dirinya bahwa pengeliruan
terhadap kecacatan sesuatu barang itu, dan melariskannya secara tipu daya
tidak akan menambah rezekinya, malah akan memusnahkan dan menghapuskan
segala keberkatannya. Mungkin sekali Allah akan memusnahkan semua harta
benda yang dikumpulkannya dari perbuatan yang mengelirukan itu sekaligus.
Ada suatu cerita: Seorang yang mempunyai seekor lembu betina, dia sering
memerah susu lembu itu lalu dicampurkan dengan air, kemudian baru
dijualnya di pasar. Pada suatu hari Allah mentakdirkan datang air bah
lalu
menenggelamkan lembu itu. Maka berkata anak-anak orang itu: Sebenarnya
air
bah itu ialah air-air yang kita campurkan hari-hari dengan susu, ia telah
berkumpul menjadi satu kini, lalu mengambil lembu itu dari tangan kita.
Alangkah benarnya hujah anak-anak orang itu? Mengapa tidak? Bukankah ada
sebuah Hadis yang berkata:
"Dua orang yang berjual beli itu, bila mereka berkata benar dan berlaku
jujur niscaya akan diberkatilah pada kedua jual belinya. Tetapi jika
keduanya menyembunyikan sesuatu atau berbohong, niscaya akan tercabutlah
keberkatan dari jual beli keduanya."
Hadis yang lain pula:
"Tangan Tuhan bersama-sama kedua orang yang berkongsi selagi mereka tiada
khianat-mengkhianati. Jika mereka khianat-mengkhianati akan terangkatlah
tangan Allah itu daripada mereka"
tegasnya: Harta benda tidak akan bertambah jika berlaku pengkhianatan,
sebagaimana ianya tiada akan berkurang kerana dikeluarkan sedekah.
(2) Hendaklah ia mengi'tikadkan sebenar-benar i'tikad
supaya sifat kejujuran itu menjad lebih sempurna dan mudah dilakukan,
bahwasanya keuntungan di akhirat dan kekayaan di sana itu lebih utama
dari keuntungan dan kekayaan di dunia, dan bahwasanya kemanfaatan harta
benda keduniaan itu akan habis bila berakhir umur seseorang dalam
kehidupan dunianya, manakala penganiyaan dan dosanya akan tetap
berkekalan. Jadi, bagaimana seseorang yang waras fikiranya sanggup
menukarkan sesuatu yang nilainya rendah dengan yang nilainya tinggi dan
baik. Bukankah kebaikan itu terletak pada keselamatan agama?
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. berkata:
"Seseorang itu belum beriman dengan al-Quran selagi ia menghalalkan
apa-apa yang diharamkan olehnya."
Oleh itu barangsiapa yang mengetahui, bahwa semua perkara yang
tersebut itu akan mencacatkan keimanannya, sedangkan ia yakin pula, bahwa
hanya keimanan sajalah yang boleh menjadi jaminan dalam perniagaan
keakhiratannya, tentulah ia tidak akan mensia-siakan jaminan yang
disediakan
bagi suatu umur yang tiada akhirnya, justeru keuntungan yang dapat
diambil
manfaatnya untuk beberapa hari saja.
Setengah para tabi'in berkata: Andaikta saya masuk ke Masjid
Jami' sedangkan orang telah ramai di dalamnya, kemudian saya ditanya:
Siapakah yang paling baik dan siapa yang paling jahat, niscaya saya akan
berkata: Sebaik-baik mereka itu ialah orang yang paling jujur dalam
perkara berjual-beli, dan sejahat-jahat mereka itu ialah orang yang
menipu
dalam berjual belinya.
Ketahuilah, bahwa melakukan penipuan dalam perjual-belian dan
perusahaan adalah haram hukumnya. Oleh itu seseorang pengusaha tidak
boleh
menganggap enteng saja terhadap perusahaannya, sebab kalau orang lain
melakukan serupa itu terhadap dirinya, tentulah ia tiada akan redha.
Hendaklah ia memperbaiki perusahaannya dan meneliti kerja-kerjanya.
Kemudian hendaklah ia menerangkan kecacatannya, jika memang ada cacat.
Dengan cara begini akan terlepaslah ia dari tanggungjawab:
Seorang tukang kasut bertanya kepada Ibnu Salim: Bagaimana
caranya supaya saya terselamat dalam perkara menjual kasut? Ibnu Salim
menjawab: Buatkanlah muka kasut itu sama rata, jangan sampai yang kanan
lebih tinggi dari yang kiri. Perbaiki lapisannya sehingga yang satu salin
tak tumpah pada yang lain, jadikan jahitannya sama antara satu dengan
yang
lain, dan jangan meletakkan yang satu atas yang lain ketika menjualnya.
Imam Ahmad bin Hanbal r.a. ketika ditanya tentang penampalan
baju sehingga tidak ketara koyaknya, beliau berkata: Tidak boleh
menampalnya, jika ia tahu tuan punya baju itu bila menjualnya nanti ia
tidak akan memberitahu pembelinya akan cacat baju tersebut. Boleh
menampal
serupa itu, jika tukang penampalnya yakin bahwa is penjual akan
memaklumkan tentang kecacatan barang dagangannya ataupun bukan untuk
dijual lagi.
Jika ada orang berkata, bahwasanya perkara jual beli itu akan
menjadi terlalu sukar jika diwajibkan ke atas pedagangan untuk menyatakan
kecacatannya. Maka saya menjawab tentangan itu dengan berhujah:
Keadaannya
tidaklah sedemikian sukar sekali. Tetapi jika pedagang mensyaratkan atas
dirinya, bahwa ia tiada akan membeli barang-barang dagangan untuk dijual
semula, melainkan yang baik-baik belaka, yang ia redha untuk kegunaan
dirinya sendiri kalaulah ia yang menjadi pembelinya. Dengan cara begini
tentulah tidak akan berlaku pengeliruan atau penipuan. Barangsiapa
sikapnya seperti in tentu tidak akan membeli barang-barang dagangan
melainkan yang baik-baik saja. Meskipun memang jarang-jarang sekali
terdapat dalam barang-barang dagangannya itu yang ada cacatnya, maka
hendaklah ia menunjukkannya juga kepada pembeli, kemudian menjualnya
dengan seberapa yang dapat saja.
Ibnu Sirin menjual kambing kepada seorang, lalu dia berkata
kepada pembeli kambing itu: Ia selalu membolak-balikkan makanan
dengan kakinya.
Demikian caranya perjalanan orang-orang ahli agama yang teguh imannya
kepada Allah.
(3) Janganlah menyembunyikan cacat dalam penakaran atau
timbangan, iaitu membetulkan timbangannya dengan menambah sedikit supaya
terkeluar dari kehilafan. Hendaknya bagaimana ia menerima takaran dari
orang lain, begitu pula ia menakar kepada mereka.
Allah telah berfirman:
"Neraka Wail bagi orang-orang yang mengurangi timbangan. Apabila meraka
menyukat untuk dirinya diminta dicukupkan dan apabila mereka menyukat
untuk orang lain atau menimbang lalu dikurangkannya."
(al-Mutaffifin: 1-3)
Dia tidak akan terselamat dari perkara yang terlarang ini, melainkan jika
ia melebihkan sedikit jika ia menakar atau menimbang untuk dirinya
sendiri. Sebab sukar sekali hendak digambarkan keadilan yang sebenarnya.
Dari itu sebaik-baiknya ia melahirkan keadilan itu dengan menambah atau
mengurangi sedikit, sebagai mana yang tersebut di atas kerana orang yang
mengambil haknya secukup-cukupnya akan hampir melampaui hak orang lain.
Setengah orang berkata: Saya tidak ingin membeli Neraka Wail daripada
Allah dengan sebutir (yakni lebih sebutir saja).
Orang yang mencampurkan makanan dengan tanah atau sebagainya kemudian
menakarnya, maka ia tergolong orang-orang yang mengurangi takaran.
Penjual
daging yang menimbang daging bercampur seumpama itu, tergolong
orang-orang
yang mengurangi timbangan juga. Keadaan seperti ini boleh dikiaskan pada
segala barang dagangan yang lain; seperti pengukuran yang biasa digunakan
oleh penjual kain. Ketika ia mengela untuk membeli dikendurkan kain itu
ke
bawah sedikit, tetapi bila ia mengela untuk menjual ditarik kain itu
sampai tegang. Semua ini dilakukan supaya terdapat perbedaan di dalam
elaannya itu. Pedagang-pedagang yang mengamalkan cara begini tentu tidak
akan terselemat, dan tergolong orang-orang yang mengurangi pengukuran
yang
bakal menariknya ke dalam Neraka wail.
(4) Hendaklah berkata benar pada menyatakan harga setiap
waktunya dan jangan sekali-kali merahsiakannya. Rasulullah s.a.w.
melarang
keras untuk menghadangkan kafilah perdagangan yang sedang dalam
perjalanannya dan melarang juga dari suka menaikkan harga barang-barang.
Adapun menghadang kafilah perniagaan itu ialah untuk menyambutnya di luar
kota, lalu memborong semua barang-barang dagangan mereka dengan
memberikan
harga yang tidak betul dari harga dalam negeri. Rasulullah s.a.w pernah
bersabda: Jangan kamu menghadang kafilah-kafilah perdagangan. Akan tetapi
jika ada orang yang menghadanginya, maka terserahlah kepada tuan punya
barang dagangan itu, kepada siapa yang ia ingin menjual barang-barang
dagangannya: iaitu sesudah sampai terlebih dulu di pasar.
Dilarang juga seorang kota menjual bagi pihak orang Badwi, iaitu apabila
seorang Badwi datang ke kota membawa barang-barang dagangannya yang
hendak
dijual dengan segera. Tetapi datang pula seorang kota berkata kepadanya:
Tinggalkanlah barang-barang itu kepadaku supaya aku menaikkan harganya
dan
kita menunggu sampai harganya naik dulu.
Dilarang juga meninggikan harga, iaitu apakala seorang datang kepada
penjual barang yang sedang ditawarkan kepada seorang pembeli lalu dia
pula
sengaja meninggikan harganya, sedangkan maksudnya bukan hendak membeli,
tetapi untuk menaikkan semangat si pembeli supaya lekas menawar dan
membeli barang-barang itu.
Semua larangan ini menunjukkan, bahwasanya tidak dibolehkan seseorang itu
mengelirukan terhadap penjual dan pembeli dalam perkara harga sehari-hari
yang kiranya mereka mengetahui barang kali mereka tiada berani membuat
perjanjian jual beli. Melakukan yang demikian itu adalah sebagai penipuan
yang haram yang bertentangan dengan kejujuran yang wajib ada dalam
perkara
jual beli. Yang lain pula, tidak bolehlah dia mengambil kesempatan atau
menunggu kalalaian tuan punya barang dagangan itu lalu menyembunyikan
pula
tentang kenaikan harga dari si penjual ataupun turunnya harga kepada si
pembeli. Jika melakukan juga, niscaya ia menjadi seorang yang zalim, yang
membelakangi keadilan dan kajujuran bagi kaum Muslimin. Dan apakah ia
menjual dengan untung atau dengan modal saja seperti katanya: Sebenarnya
saya menjual ini dengan harga modal, maka hendaklah ia berkata benar.
Sesudah itu hendaklah ia memberitahu segala kecacatan atau kekurangan
yang
ada pada barang yang dijual itu sesudah dijalankan akad jual belinya.
(Bersambung)
[Non-text portions of this message have been removed]
------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~-->
Help save the life of a child. Support St. Jude Children's Research Hospital.
http://us.click.yahoo.com/f4eSOB/lbOLAA/E2hLAA/.DlolB/TM
--------------------------------------------------------------------~->
______________________________________________________________________
http://www.numesir.org untuk informasi tentang Cabang Istimewa NU Mesir dan
KMNU2000, atau info-info seputar Cairo dan Timur Tengah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kami berharap Anda selalu bersama kami, tapi jika karena suatu hal Anda harus
meninggalkan forum ini silakan kirim email ke:
[EMAIL PROTECTED]
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/kmnu2000/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/