Dari Milist sebelah:

Artikel dari Bung .Zulhabri Supian, Jurnalis Malaysian Insider di
Jakarta, mengupas perspektif konflik Indonesia-Malaysia dari sisi yang
berbeda, tepatnya, dari seorang WNA asal Malaysia yang sudah cukup lama
di Jakarta.


SEPT 4 -- “Ganyang”, “hancur”, “jatuh” dan yang sama erti dengannya
merupakan satu perkataan yang mudah untuk diungkap. Lagi-lagi jika
ditiup dengan api kemarahan, kebencian, prejudis dan yang lebih murni,
kekecewaan.
Di Malaysia sendiri, saya sering mendengar dan kadang kala meneriak
juga kata-kata seperti “Hancur BN”, “Jatuh Mahathir” dan yang sebaya
maksudnya apabila keadaan dan suasana memerlukan saya berbuat demikian.

Saya sekarang berada di Jakarta dan Insya Allah akan meraikan hari
lebaran (Hari Raya di Malaysia) 1430 Hijrah di tanah seberang.
Sungguhpun ini bukanlah kali pertama saya ke Indonesia, saya pasti
tidak terlepas untuk dipertanyakan tentang hal-hal yang membangkitkan
rasa panas dan sensitif di sini terhadap Malaysia. Daripada isu
pencerobohan armada Tentera Laut Diraja Malaysia di Ambalat (tidak
pasti sama ada ia benar terjadi) yang sedang di dalam peringkat
rundingan kedua-dua negara, kes Manohara, kes Malaysia sebagai
pengeksport pengganas, isu maling (gelar untuk pencuri) lagu-lagu dan
adat budaya dari Indonesia (yang terkini isu tarian pendet dari Bali),
penindasan terhadap TKI dan beberapa lagi.

Oleh kerana akan berada di sini agak lama juga, saya membuat
keputusan untuk menyewa kosan, istilah untuk bilik yang disewakan
secara kontrak mengikut tempoh-tempoh tertentu. Agak mengejutkan juga
apabila teman saya di sini menasihatkan untuk tidak mendedahkan
identiti bahawa saya orang Malaysia kerana mungkin nanti dicurigai
sebagai pengganas (terima kasih kepada Noordin Mat Top) dan yang sama
erti negatif dengannya. Hal ini tidak dapat ditutup kerana pemilik
kosan ini meminta saya memberi salinan KTP (Kartu Pengenalan Diri),
maka akhirnya saya memberitahu pemilik yang saya panggil “Ibu” asal
usul saya.

Syukur semuanya positif walaupun bertalu-talu juga disiasat dan
setelah itu dipersoalkan tindakan-tindakan yang dilakukan Malaysia
terhadap Indonesia, mujur saya tidak memberi apa-apa respon selain
mengangguk dan tidak cuba untuk membuka diskusi, takut-takut nanti
dihalau keluar. Jelas yang tergambar di sini adalah sikap sebahagian
masyarakat Indonesia yang senang terpedaya dan termakan emosi
nasionalisme sempit yang disensaikan oleh media-media di Indonesia,
kebebasan media yang dirayakan setelah kejatuhan Suharto. Layari sahaja
forum-forum anti-Malaysia dan juga anti-Indonesia untuk melihat betapa
parahnya kebencian yang sedang merebak luas ini.
Namun di satu sisi yang lain, teman-teman saya di kalangan penulis,
aktivis NGO, pemuzik, pencinta sukan pemotoran, pencinta kembara,
pekerja seks, teman tapi mesra (TTM) dan bermacam-macam lagi
mengalu-alukan kedatangan saya ke tanah mereka dengan hati yang gembira
dan terbuka. Mereka ini sama seperti masyarakat Indonesia lain, sering
menonton berita yang hampir setiap masa menghiasi kaca televisyen dan
membaca surat-surat khabar harian yang dijual di mana-mana hatta di
persimpangan jalan.  Namun apa yang membezakan kelompok ini dengan yang
lain adalah mereka inginkan maklumat yang seimbang dan berdasarkan
fakta berbanding semangat dan emosional bersuntik nasionalisme melampau.

Kelompok ini cuba untuk memahami isu sebenar dengan melayari
internet dan bertukar-tukar informasi dan pandangan terutama melalui
Facebook, membaca buku di toko-toko yang bersepah di sini dan lebih
ekstrem, membeli tiket murah AIr Asia atau Tiger Airways untuk turun
sendiri melihat realiti. Namun ini semua tidaklah pula mengurangkan
semangat cintakan negara mereka, bahkan semangat itu akan lebih baik
dan mendalam kerana didasari dengan maklumat dan ilmu pengetahuan.

Saya sebelum tiba di Jakarta menghabiskan beberapa hari di Singapura
untuk menghadiri festival muzik indie terbesar di sana, Baybeats 2009.
Festival yang diperkenalkan pada tahun 2001 ini menjadi medan berhimpun
pemuzik terutama asal Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan
Filipina untuk berkongsi tempat dan pentas yang sama untuk menghibur
dan saling mempelajari. Pergaulan saya bersama beberapa pemuzik mereka
memperlihatkan bahawa apabila sikap ingin tahu dan komunikasi telah
dicipta, segala prejudis dan kebencian yang dimomok-momok akan
perlahan-lahan hilang.
Malaysia ganyang Malaysia

Hal ini mengingatkan apa yang terjadi di negara kita apabila sejak
beberapa tahun kebelakangan, bendera kebangsaan iaitu Jalur Gemilang
semakin kurang dikibarkan tatkala menjelang hari kemerdekaan. Apa
puncanya? Jawapannya pelbagai, ada yang berkata bendera kebangsaan
telah dieksploitasi oleh parti pemerintah seolah-olah menjadi milik
mereka kerana formula Matematiknya seperti ini, Jalur Gemilang = Negara
Malaysia = Barisan Nasional. Maka rakyat yang tidak menyokong kerajaan
memerintah membuat keputusan untuk tidak menzahirkan rasa patriotik
yang sama rasa membuaknya. Ini hanya satu, banyak lagi.

Sambutan kemerdekaan tahun ini pula dihangatkan dengan banyak
pendedahan di laman Facebook dan juga blog tentang bagaimana bendera
Malaysia dan lagu kebangsaan kita diciplak. Hal ini boleh dibaca lanjut
dengan melayari laman blog saudara Hishamuddin Rais di 
http://tukartiub.blogspot.com. Menariknya pendedahan-pendedahan yang
disiarkan ini dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri dan turut
dibincangkan secara meluas di kalangan rakan-rakan secara jenaka
mahupun serius. Satu perkara yang boleh disimpul di sini adalah hal-hal
sebeginilah yang akan membuatkan rasa kecintaan kepada sesuatu negara
itu akan lebih asli dan tidak dipaksa-paksa kerana cinta ini, seperti
cinta berlainan atau sesama jantina harus datang dengan satu rasa
iaitu, kejujuran.
Musuh bersama

“Ganyang Malaysia” yang sering diteriak dengan emosi membuak itu
tidak lain tidak bukan merupakan rentetan dari banyak perkara yang
sering terjadi di antara dua negara yang mempunyai hubungan yang sangat
dinamik. Munculnya gerakan Reformasi di Indonesia yang membawa
kejatuhan Suharto dan diikuti di Malaysia setelah itu ekoran pemecatan
DS Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri telah membawa
hubungan kedua negara ini ke arah yang tidak menentu.

Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir secara bijak
menggunakan imej-imej negatif demonstrasi dan keganasan yang terjadi di
Indonesia untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang ingin membuat
perubahan yang diseru oleh parti-parti pembangkang yang membentuk
Barisan Alternatif. Walaupun kondisi ekonomi, politik dan sosial di
Indonesia mempunyai banyak perbezaan, itu tidak pernah menghalang
media-media arus perdana di Malaysia yang dikawal pemerintah untuk
memperlecehkan gerakan ke arah demokrasi yang terjadi di sana.

Lebih sedekad berlalu, Indonesia secara relatif mempunyai demokrasi
yang boleh dibanggakan dan ekonomi yang semakin berkembang walaupun
romantisme era Suharto masih terdengar di sana-sini dan media-media di
Malaysia juga sudah mulai berkurangan menulis mengenai Indonesia secara
negatif. Lalu apa yang terjadi pula adalah sebaliknya apabila
media-media di Indonesia menyerang secara bertubi-tubi dan emosional
terhadap setiap kesilapan yang dilakukan Malaysia baik oleh warga atau
negara. Memang diakui ada kesilapan yang dilakukan di pihak Malaysia
walaupun ada yang boleh diperdebatkan terutama tentang adat dan budaya.
Namun untuk meneriak “Ganyang Malaysia” dan mendendang kata-kata perang
dengan mudah tanpa berfikir panjang memperlihatkan bagaimana warga
mudah dibeli emosi dan semangat mereka untuk kepentingan yang dicurigai.

Banyak teman di Indonesia mengatakan situasi yang terjadi sekarang
tidak akan bertambah buruk jikalau tidak dieksplotasi oleh pihak-pihak
berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan hal-hal politik domestik
Indonesia. Tanpa niat menghina perasaan terluka sebahagian rakyat
Indonesia yang benar-benar diinjak maruah mereka, saya bersetuju kerana
hal sama juga yang terjadi di Malaysia apabila pihak-pihak tertentu
terutama pemerintah sering mencari musuh bersama untuk rakyat
dikhayalkan daripada hal sebenar, contoh Singapura.

Ada tercatat bahawa, “Ganyang Malaysia” yang dikepalai Sukarno
dahulu gagal kerana didakwa ada unsur sabotaj dalaman dari Angkatan
Darat mereka yang mendapat arahan daripada jeneral pada waktu itu,
Soeharto. Jadi perang tidaklah semudah yang disangka terutama untuk
rakyat biasa yang berkobar-kobar, kelak mati katak dan pemimpin
sentiasa di ranjang menikmati malam.

Menerusi diskusi-diskusi di forum, kita akan berhadapan dengan
kelompok cinta damai Malaysia-Indonesia yang kontradiksi apabila
semangat kebencian diarahkan pula kepada orang Cina dan Yahudi
terutamanya. Musuh bersama yang sering dicipta untuk kepentingan yang
bermacam-macam, pastinya bukan cinta jenis ini yang diajar oleh Tuhan
kepada umatnya.

Maka dengan itu, saya menyeru kepada semua rakyat terutama generasi
muda Malaysia dan Indonesia untuk tidak tunduk kepada permainan media
dan pemimpin-pemimpin politik yang tidak rasional. Beza kita dengan
generasi terdahulu adalah kekayaan khazanah maklumat dan ilmu
pengetahuan di depan mata, hanya tinggal kita mahu atau tidak.


      

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke