---------------------------- Info : salah seorang dari peserta MOSC2010 memang menjadi mangsa kepada Geng ini. Akhirnya telah ditangkap.
------------------------------------------ KUALA LUMPUR: Polis kini mengesan kemunculan satu geng penjenayah ‘halimunan’ di kalangan warga Timur Tengah yang aktif mencuri beg tangan puluhan pelancong asing menggunakan taktik menukarkan beg mangsa dengan beg palsu yang dibawa bagi mengaburi kegiatan mereka. Penjenayah dipercayai didalangi beberapa lelaki warga asing dikesan berkeliaran di hotel, restoran dan pusat beli-belah terkemuka sebelum melarikan beg mangsa ketika mangsa cuai atau leka. Malah, dalam beberapa kes, suspek sengaja membawa beg kosong menyerupai beg sandang milik mangsa sebelum ia ditinggalkan untuk mengelirukan mangsa sebaik penjenayah memperoleh apa diidamkan. Dalam kes terbaru kelmarin, seorang pakar teknologi maklumat dari Amerika Syarikat berusia 47 tahun menjadi mangsa apabila begnya dilarikan manakala sebuah beg palsu sengaja ditinggalkan berhampirannya. Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa bersama seorang rakannya minum di sebuah restoran di Jalan Changkat Bukit Bintang di sini. Difahamkan, mangsa sengaja menyangkut beg sandang miliknya berwarna kelabu di kerusi sambil mangsa duduk berbual serta minum bersama rakannya. “Namun beberapa minit kemudian, mangsa terkejut apabila mendapati begnya lesap manakala sebuah lagi beg tidak dikenali ditinggalkan berhampiran kerusinya. “Mangsa membuka beg terbabit dan mendapati isinya kosong. Suspek mengesyaki begnya yang mengandungi komputer riba dan pelbagai barang berharga lain dilarikan beberapa lelaki warga Timur Tengah yang duduk di sebelahnya sebelum kejadian,” katanya. Menurutnya, mangsa membuat laporan polis. “Hasil siasatan, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Dang Wangi memberkas dua lelaki warga Algeria berusia 24 dan 32 tahun yang dipercayai terbabit dengan jenayah terbabit. Mereka direman untuk siasatan lanjut,” katanya. Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan kelmarin, seorang pelancong warga Pakistan berusia 40 tahun menjadi mangsa apabila beg tangan isterinya dilarikan penjenayah ketika mangsa sekeluarga menjamu selera di sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah terkemuka di Jalan Imbi di sini. Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 2.40 petang itu, mangsa yang baru selesai makan bersama sembilan ahli keluarga lain terkejut apabila beg tangan isterinya yang diletakkan di lantai restoran lesap. Mangsa cuba mencari beg itu di kawasan berkenaan, namun percaya penjenayah sudah melarikan diri bersama beg tangan terbabit yang berisi wang tunai RM9,000 dan pelbagai barang berharga lain. Susulan itu, mangsa yang juga ahli perniagaan membuat laporan polis di balai polis berhampiran. Ketua Jabatan Siasatan jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata pihaknya menerima banyak kes berhubung kecurian membabitkan pelancong asing terutama di kawasan tumpuan awam. Menurutnya, berdasarkan siasatan jenayah terbabit dilakukan beberapa kumpulan penjenayah asing yang berasal dari Amerika Latin, Indonesia dan Filipina. “Setakat ini, polis sudah memberkas beberapa kumpulan geng terbabit, namun polis yakin masih terdapat penjenayah yang terus melakukan aktiviti itu,” katanya ketika dihubungi. -- Join Open Source Developers Club Malaysia http://www.osdc.my/ Facebook Fan page http://www.facebook.com/group.php?gid=98685301577 http://www.facebook.com/OSDC.my You received this message because you are subscribed to the Google Groups "OSDC.my Mailing List" group. To post to this group, send email to [email protected] To unsubscribe from this group, send email to [email protected] For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/osdcmy-list?hl=en

