Siti Zainon Ismail 

Seloka Bunda Kandung 


Sejarah - legenda 


Kalau begini titih sejarah 
mengungkap legenda dan bunga si tangkai hati 
sejak bahtera Iskandar terdampar di puncak Merapi 
bagai sebutir telur di tanduk 
sebelum gelombang besar surut 
demikian kaba diwariskan 
pesan nenek moyang dari desa Periangan 
dengan hormat kepada penghulu 
yang sekaliannya bergelar 
mengutip amanat Datuk Perpatih nan Sebatang 
setelah pertarungan dengan Datuk Ketamanggungan 
bukti kisah 'batu bertikam!' 
kerana rakyat juga penentu kuasa 
mengangkat penghulu Bandaro Kayo di Periangan 
Maharajo Besar di Padangpanjang! 


Kaudengarkan salung ditiup hiba 
tambo Minang memberi ceritera 
sebelum Pagaruyung menghantar putera 
bayangan mentari di balik Bukit Bungsu 
gelepar helang jauh di Bukit Batu Patah 
ranting hanyut beralun di sungai Selo-selo 
demikian diperikan lagi 
kala Sang Sapurba ditabal raja 
di genggaman Permasku Mambang. 
Cindai Saktimuna lemah dihalang. 


Terkibarlah panji 
kukuh balai batang jelatang-ayam 
berjejer tetaran lembing pagar istana 
terbukti alam di Pagaruyung 
deruan kuda pacu di Bukit Gombak 
'Batu Pecah' di Gudam, prasasti Adityawarman 
aliran sejarah terus mengalir 
dari Sungai Ombilin 
ke Muaralabuh ke Payokumbuh! 


Merantau 


Terkembanglah alam dijadikan guru 
dari 'luhak nan tigo' 
meluas ke rantau pesisir 
keluar melaut ke Semenanjung 
kerana telah diadatkan 
merantaulah bujang dulu 
kalau di rumah berguna belum. 
Gusar tidak meninggalkan padusi 
setelah lama diwariskan 
Bunda Kandung berkuasa di rumah adat 
Dara Jingga puteri Nan Banago-nago 
ibunya Mambang Taruna 
isteri Maha Menteri Raden Wijaya 
mengahwini pula Wiswarupa 
bersaudara seibulah Temenggung dan Patih muda. 
Di istana tak siapa berani merentasi bayangnya. 
  
Bukan sengaja bujang merantau 
tapi adat pipit jantan belum bersarang 
bukan niat hati mengumpul emas berbungkal 
tapi berguru ke alam luas terbentang 
kerana telah dimaklumi 
tidak sia-sia bahtera Patih muda tergalang 
layar dulu tidak berkembang 
rupanya hati terpaut di jantung rakyat 
jadi biarlah kami yang merantau 
bukan mengikut jejak Ketamanggungan 
dengan bekal Patih juga 
rantau baru harus di tuju! 


Adat Bunda Kandung 


Di rumah 
Bunda Kandung selalu siaga 
dialah ibu melahirkan waris pusaka 
sebagai mande mengembang zuriat 
seperut hingga ke jurai 
lima keturunan berkampung 
menentukan darah suku. 
Dalam adat helat kahwin 
dalam pertabalan menjunjung duli 
memberi gelar sembah setia 
empat datuk undang 
menegak penghulu menanda kuasa 
Undang Sungai Ujong paling utama 
berturut Jelebu, Johol dan Rembau. 
semua tingkahnya 
nan baik budi indah bahasa 
bersulur bayung laku 
demi kurik induk 
rintik jualah anak 
kalau harimau meninggalkan belang 
gading gemilang biar gajah mat 
zuriat bonda kandung teguh oleh nama 
demi adat nan diadatkan 


Dialah si arif bijaksana 
dialah peti menyimpan pusaka 
katanya didengar 
pergi tempat beranya 
pulang tempat bercerita 
demikian ibarat 'limpaeh' rumah gadang 
atau puteri bunian bijaksana 
busananya labuh hitam baldu 
tangan bertapak kuda 
tanda berlapang hati ikiran terbuka 
bertabur emas berhati halus mulia! 
  
Adat Warisan 


Demikian 
alam nan beraja 
negeri nan berpenghulu 
suku bertua 
anak buah berbuapak 
asalnya Yam Tuan Raja tak bernegeri 
sebelum Raja Melewar 
telah ada kuasa datuk-datuk undang bergelar 
dua belas suku 
dari Biduanda Datuk Perdana Waris 
atau Seri Melenggang Datuk Rang Kaya Bungsu 
Tanyalah waris-waris lain 
di mana Batu Belang 
suku Acheh atau Tiga Ninik 
kayanya kita hidup berlambang 
menghormat budi 
dek tajam buah fikiran 
dek meniru meneladan 
pengalaman hidup ditanggung 
alam nan berkembang menjadi guru. 
  
Di manakah kini Pondok Datuk 
kalau bukan di Bukit Putus 
masih diceriterakan salasilah waris 
gagah hulubalang Datuk Bujang Merupek 
mengupik dinding istana 
Datuk Bujang Merapi 
bertutur lidah api menjulur 
kenapa bonda bertengkolok 
tandak silat piring berpatah sembilan 
di pecahan kaca kaki tak luka 
atau randai larut ke mala 
ke mana kini disimpulkan terombo dan kaba 
caklempong, salung, dan tumbuk kalang 
kalau bukan bunga puisi 
masih di warisi 
untuk bangsa negeri beradat lembaga 
bukti warisan 
pemberi makna sejarah budaya! 
  
Bandar Baru Bangi, 
1-16 Januari 1999 
  
Dibacakan dalam perasmian Hari Puisi di Negeri Sembilan. 


http://www.dbp.gov.my/dbp98/majalah/saster99/ds09pbi.htm

____________________________________________________

Berhenti/mengganti konfigurasi keanggotaan anda, silahkan ke: 
http://rantaunet.org/palanta-setting
------------------------------------------------------------
Tata Tertib Palanta RantauNet:
http://rantaunet.org/palanta-tatatertib
____________________________________________________

Kirim email ke