Assalamu'alaykum wr.wb
    


    Tambahan  artikel yang mungkin sebagian besar relevan
    sebagai sharing 'Keistimewaan Bahasa Arab'


    Arnoldison

    
---------------------------------

Bahasa Arab banyak keistimewaan

BAHASA  Arab!  Mengapa  bahasa  Arab? Apa perlunya bahasa Arab? Siapa,
bila, kenapa, di mana dan bagaimana?

Bagi  seorang  muslim  di  Malaysia, bahasa Arab bukanlah sesuatu yang
asing.  Sejak lahir mereka telah mendengar lafaz azan yang sememangnya
bahasa  Arab.  Dalam kehidupan seharian mereka menggunakan bahasa Arab
iaitu ketika berwuduk, azan, iqamat, solat dan berdoa.

Malah tiga perlima daripada rukun Islam adalah dalam bahasa Arab. Umat
Islam  mengucap  dua  kalimah  syahadah,  bersolat dan menunaikan haji
menggunakan  bahasa  Arab sepenuhnya. Umpamanya dalam solat lima waktu
mereka  bertutur  dalam  bahasa  Arab.  Tanpa bacaan al-Fatihah, solat
tidak sah.

Begitu juga al-Quran yang menjadi pedoman hidup orang Islam juga dalam
bahasa  Arab.  Al-Quran  diturunkan  kepada Nabi Muhammad s.a.w. lebih
1,400  tahun lalu dan sehingga kini ia tidak pernah berubah walau satu
huruf  pun, apatah lagi perkataan atau ayat. Walaupun begitu, ia masih
boleh  difahami  berbanding  teks dalam bahasa lain yang sudah ditelan
zaman.

Walaupun  al-Quran  diterjemahkan dalam berbagai-bagai bahasa di dunia
ini,  namun  ia  tidak  akan dapat menyaingi teks yang asal. Malah ada
ketikanya  terjemahan  yang  digunakan bukan sahaja tidak tepat, malah
berbeza dengan kehendak yang asal.

Umpamanya   dalam   surah  al-Insyirah  yang  rata-rata  dihafal  oleh
kebanyakan orang Melayu. Ayat kelima dan keenam diterjemahkan ke dalam
bahasa  Melayu seperti berikut: Maka sesungguhnya di samping kesukaran
terdapat  kesenangan.  Dan  sesungguhnya di samping kesukaran terdapat
kesenangan.

Persoalan  sekarang, yang mana lebih banyak sukar atau senang? Di sini
terdapat  tiga  jawapan.  Pertama, sukar lebih banyak daripada senang.
Kedua,  senang  lebih  banyak daripada sukar. Ketiga, sukar dan senang
sama banyak. Jadi yang mana satu jawapannya?

Seandainya  kita  hanya  merujuk  kepada  teks  terjemahan  kita  akan
memberikan  jawapan  yang  ketiga.  Ini  kerana  di  samping sukar ada
senang.  Dan  di  samping  sukar  ada  senang.  Maknanya ada sukar ada
senang, ada sukar ada senang. Jadi sama banyaklah.

Untuk  menjawab persoalan ini kita sewajibnya melihat kepada teks yang
asal  dalam  bahasa  Arab.  Perkataan  sukar  disebut  sebagai al-usr.
Perkataan  senang  pula  disebut  sebagai yusran. Apakah perbezaannya?
Perkataan sukar mengandungi imbuhan al manakala perkataan senang tidak
ada imbuhan al.

Perkataan  yang  mengandungi  imbuhan  al adalah makrifah. Maknanya ia
tertentu   dan   khusus.  Dalam  bahasa  Inggeris  imbuhan  al  hampir
diterjemahkan sebagai the. Perkataan yang tidak mengandungi imbuhan al
dan  berbaris  dua  adalah nakirah. Maknanya ia umum dan tidak khusus.
Dalam  bahasa  Inggeris  imbuhan  tanpa  al  dan  berbaris  dua hampir
diterjemahkan sebagai a.

Jadi,  yang  mana  banyak?  A  atau  the?  Sudah tentulah a yang lebih
banyak.  Sehubungan  itu,  bolehlah  kita  faham kenapa satu kesukaran
terdapat berbagai-bagai kesenangan.

Sejarah bahasa

Bahasa  Arab  berasal  daripada rumpun bahasa Samiyah yang dinisbahkan
kepada  keturunan  Sam  anak  Nabi  Noh.  Mereka terbahagi kepada tiga
golongan. Pertama, golongan Bayidah yang terdiri daripada kabilah Cad,
Thamad, Tasm, Jadas, Umaym dan Jurhum.

Golongan  kedua  pula ialah Caribah yang dinisbahkan kepada Yacrab bin
Qahtan.  Seterusnya  pula ialah golongan Mustacribah yang berketurunan
Nabi  Ismail  dan  mereka  menetap  di  Hijaz  pada abad ke-19 sebelum
Masihi.

Bahasa  Arab  merupakan  salah  satu  daripada  tiga bahasa utama yang
memainkan  peranan  penting  dalam sejarah peradaban manusia. Pengkaji
sejarah  telah  menambah  dua  lagi  bahasa menjadikan kesemuanya lima
bahasa   utama  yang  telah  memberi  sumbangan  besar  dalam  sejarah
perkembangan tamadun manusia. Bahasa-bahasa tersebut ialah bahasa Cina
Kuno, bahasa Sanskrit, bahasa Latin, bahasa Greek dan bahasa Arab.

Walau  bagaimanapun,  hanya bahasa Arab yang masih digunakan dan terus
berkembang sehingga kini. Berdasarkan kenyataan ini bolehlah dikatakan
bahawa  bahasa  Arab  mempunyai ciri-ciri istimewa yang membolehkan ia
bertahan.  Pengkaji-pengkaji  bahasa  masih  terus berusaha menyelidik
potensi bahasa tersebut.

Antara  ciri-ciri  istimewa  bahasa  Arab ialah ia telah dipilih Allah
sebagai  bahasa  rasmi  al-Quran  yang  merupakan  pedoman  asas untuk
kehidupan  di  dunia  dan di akhirat. Ini dijelaskan dalam surah Yusuf
ayat  kedua bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran
dengan berbahasa Arab, agar kamu menggunakan akal (untuk memahaminya).

Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran telah memberikan jaminan
terhadap  keunggulan  bahasa  itu.  Maksudnya, selagi agama Islam atau
al-Quran  masih  wujud  di  muka  bumi, selagi itulah bahasa Arab akan
tetap  berkembang.  Ini  dijelaskan  dalam surah aI-Hijr ayat sembilan
yang   bermaksud:   Sesungguhnya   Kamilah   yang  menurunkan  al-Zikr
(al-Quran), dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Pemilihan   bahasa   Arab   sebagai  bahasa  al-Quran  merupakan  satu
keistimewaan  bagi bahasa tersebut kerana ia dapat mengangkat martabat
bahasa  Arab.  Seandainya  al-Quran dan hadis bukan dalam bahasa Arab,
maka  bahasa  Arab  tidak mempunyai keistimewaan dan kemungkinan besar
sudah hilang ditelan zaman seperti bahasa-bahasa kuno yang lain.

Oleh  kerana  pemilihan  bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dilakukan
oleh  Yang  Maha  Mengetahui, maka sudah tentu bahasa itu ada kriteria
istimewa  yang  tidak  terdapat dalam bahasa lain. Sehubungan itu satu
kajian  mendalam  tentang  ciri-ciri  keistimewaan  bahasa  Arab  yang
membolehkannya   menjadi  bahasa  pilihan  al-Quran  dan  hadis  perlu
dilakukan.

Antara  peranan  bahasa  Arab yang penting ialah membantu perkembangan
tamadun  peradaban  kuno  yang  lain  seperti Yunani, Greek, Parsi dan
Hindu.  Kemudian  bahasa  Arab tersebar ke Barat pada Zaman Pencerahan
(Renaissance)  melalui  pusat  kebudayaan  Islam  seperti  di  Baghdad
(Iraq), Kaherah (Mesir), Fes (Maghribi) dan Granada (Sepanyol).

Zaman  keemasan bahasa Arab bermula pada abad ke-4 hingga abad ke-17 .
Ketika  itu ia digunakan sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi
antarabangsa.   Pada   abad   tersebut,   ekonomi,  politik  dan  ilmu
pengetahuan  bangsa  Arab  yang  beragama Islam paling unggul sehingga
disebut sebagai pembuka aspirasi kepada semangat zaman moden.

Pengaruh ke atas bahasa lain

PENGARUH  dan  sumbangan bahasa Arab terhadap bahasa asing menakjubkan
pengkaji  sejarah.  Ia  bukan hanya memperkayakan perbendaharaan kata,
struktur atau aliran pemikiran bahkan kadang-kadang dapat menggantikan
kedudukan bahasa tempatan.

Semenjak  abad ke-4, bahasa Arab telah menjadi bahasa ilmu pengetahuan
dan  bahasa  kebudayaan.  Pada  abad  ke-13 hingga abad ke-14, bermula
penterjemahan karya-karya bahasa Arab ke dalam bahasa Latin.

Sebenarnya,  perkembangan  bahasa  Arab  juga  berlaku  melalui proses
pertembungan  (akulturasi)  budaya  Islam dengan budaya Eropah seperti
ketika  berlakunya  Perang  Salib.  Kesannya,  bahasa Arab telah dapat
memperkayakan  perbendaharaan  kata  pelbagai  bahasa  utama  di dunia
sekarang  ini  seperti  bahasa  Inggeris,  bahasa  Perancis dan bahasa
Sepanyol.

Menurut  pengkaji  bahasa,  terdapat  kira-kira  2,000 perkataan dalam
bahasa-bahasa  di negara Eropah berasal daripada bahasa Arab. Daripada
jumlah  tersebut  terdapat  antara  400  hingga 500 perkataan tersebut
masih digunakan dalam komunikasi harian pada hari ini.

Satu kajian lain pula berjaya mengumpulkan 400 kata pinjaman Arab yang
biasa   digunakan  dalam  bahasa  Inggeris  berdasarkan  Random  House
Dictionary  of the English Language, WebsterÂ’s Third New International
Dictionary dan Shorter Oxford English Dictionary.

Antara  bahasa  di  benua  Eropah yang paling banyak menerima pengaruh
perbendaharaan  kata  bahasa  Arab  ialah bahasa Sepanyol. Ini mungkin
disebabkan  Islam  pernah  menguasai  negara  itu selama kira-kira 800
tahun.

Selain  Eropah,  perkembangan  perbendaharaan  kata  bahasa Arab terus
meluas sehingga ke Asia Timur dan kebanyakan negara Afrika.

Kedatangannya   ke   kawasan-kawasan   tersebut   telah   mempengaruhi
perbendaharaan  kata  bahasa tempatan sehingga ia dapat mengambil alih
kedudukan  bahasa  tempatan  seperti  bahasa  Aramit, bahasa Kaldanit,
bahasa Himyar, bahasa Qibti dan bahasa Suryani di kawasan Asia Barat.

Berdasarkan  perbincangan  di  atas, secara umumnya bahasa Arab adalah
satu-satunya  bahasa  terawal  manusia  yang  masih digunakan sehingga
sekarang.  Pengaruhnya  terhadap  bahasa-bahasa  lain adalah besar dan
dapat   dilihat   pada   perbendaharaan   kata  yang  digunakan  dalam
bahasa-bahasa lain di seluruh dunia.

Sehubungan  itu  kita  berasa  yakin  bahawa pengaruh bahasa Arab yang
mudah  meresap  dalam  pertuturan  dan  penulisan di kalangan sesebuah
masyarakat  sebagai  asas kukuh untuk memudahkan seseorang menggunakan
perbendaharaan  kata  bahasa  Arab sama ada dalam bentuk lisan mahupun
tulisan.

Kolum  Belajar  Bahasa Arab ini akan disiarkan pada setiap hari Khamis
dan  Jumaat.  Siri  akan  datang:  Kedatangan Bahasa Arab ke kepulauan
Melayu.

-  DR.  ABD.  RAZAK  ABU  CHIK ialah guru bahasa Arab di SMK St. Paul,
Seremban, Negeri Sembilan.

Utusan Malaysia, 27 Januari 2006


Tuesday, April 4, 2006, 3:07:43 AM, you wrote:

SS> --- Arnoldison <[EMAIL PROTECTED]> wrote:


--------------------------------------------------------------
Website: http://www.rantaunet.org
=========================================================
* Berhenti (unsubscribe), berhenti sementara (nomail) dan konfigurasi 
keanggotaan, silahkan ke: 
http://rantaunet.org/palanta-setting
* Posting lewat web di http://groups.yahoo.com/group/RantauNet/messages dengan 
tetap mendaftar di sini.
--------------------------------------------------------------
UNTUK DIPERHATIKAN:
- Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan Reply
- Besar posting maksimum 100 KB
- Mengirim attachment ditolak oleh sistem
=========================================================

Kirim email ke