PASIR MAS, 26 Jun: Angkara seorang penagih dadah yang dikatakan membakar rumah 
sendiri menyebabkan 35 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila api itu 
merebak memusnahkan 10 kediaman di kawasan Pohon Celagi di sini, awal pagi 
semalam.

Ketika kejadian jam 1.45 pagi itu, kebanyakan penghuni rumah sedang tidur. 
Kebanyakan mangsa mempunyai hubungan persaudaraan.

Penduduk mendakwa kebakaran itu tidak akan merebak luas jika kakitangan Balai 
Bomba dan Penyelamat Pasir Mas yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari 
situ mengambil tindakan segera memadamkan kebakaran.

Kelewatan itu dinafikan Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, 
Nordin Yahya, yang berkata pasukannya hanya mengambil masa tiga minit untuk 
sampai ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat jam 2 pagi.

Katanya, lima jentera termasuk dua tangki dari Pengkalan Kubor, Tumpat dan Kota 
Bharu dikejarkan ke kampung itu bagi membantu selepas mendapati tekanan air di 
kawasan itu rendah. 

"Kami mengawal api dalam masa sejam. Kepadatan rumah di sini menyukarkan 
gerakan memadam dijalankan. Api dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 3 pagi 
membolehkan kami menyelamatkan 20 rumah papan di sekitarnya," katanya ketika 
ditemui di tempat kejadian, semalam.

Hamzah Harun, 70, berkata ketika kejadian beliau dan isterinya, Fatimah 
Abdullah 69, baru selesai menonton televisyen sebelum menyedari jeritan jiran 
yang ternampak api.

"Ketika bergegas keluar, api semakin merebak menghampiri rumah kami. Saya 
memandu kereta mendapatkan bantuan bomba di balai. Ketika kembali semula, rumah 
saya sudah musnah tanpa sebarang harta benda yang sempat diselamatkan," katanya.

Peniaga warung, Hussin Haron, 50, berkata dari gerainya yang terletak kira-kira 
60 meter dari situ, dia melihat api marak di kawasan terbabit, lalu bergegas 
pulang.

Anak saudaranya, Suziyatul Akma Zakaria, 20, berkata dia yang belum tidur 
menyedari bunyi bising dari luar segera mengejutkan ibu bapa untuk keluar 
menyelamatkan diri ketika api mula menghampiri rumah mereka.

Guru Sekolah Menengah Tok Uban, Pasir Mas, Mohd Shahimi Abdul Hamid, 53, 
berkata dia yang sedang tidur kerana demam hanya menyedari kebakaran sebaik 
dikejutkan adik beradiknya supaya menyelamatkan diri.

Adiknya, Hamidah Abdul Hamid, 38, berkata dia bersama kakaknya, Hamira, 43, 
memapah ibu mereka, Esah Awang, 75, yang uzur menyelamatkan diri.

"Apabila sampai rumah, semuanya sudah musnah. Keluarga saya tidak sempat 
menyelamatkan sebarang harta benda," katanya. //Sumber Bertita Harian
***************************

TMB, Exco lawat mangsa kebakaran
PASIR MAS 26 Jun - Timbalan Menteri Besar Dato’ Ahmad Yakob serta Exco kerajaan 
negeri melakukan lawatan segera terhadap 11 mangsa kebakaran di kampung Pohon 
Celagi.

Kebakaran yang berlaku jam 2 pagi tadi dikatakan berpunca dari percikan api 
yang dinyalakan oleh salah seorang penghuni rumah, lelaki terbabit dikatakan 
tutut terbabit dengan penagihan dadah.

11 buah rumah yang terlibat yang menyebabkan kerugian dianggar melebihi RM500 
ribu.

Seorang mangsa, Hamzah Harun 70 berkata kebakaran itu berlaku dengan pantas 
tanpa sempat menyelamatkan barang-barang. 

“Mungkin keadaan rumah yang berdekatan dan tidak mempunyai punca air yang 
sempurna menjadi sebab kenapa api lambat dapat dipadamkan,” katanya ketika 
ditemui di tempat kejadian pagi tadi.

Timbalan Menteri Besar, Dato’Ahmad Yakob menasihatkan pemilik rumah yang 
terlibat dengan kejadian pagi tadi bersabar dan tabah menghadapi dugaan.

“Kerajaan akan bantu setakat kemampuan yang ada termasuk menyalurkan bantuan 
kewangan dalam tempoh yang terdekat ini.
“Buat masa ini kita agihkan bantaun berupa makanan dan pakaian untuk kemudahan 
mangsa,” ujarnya semasa ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 11 ketua 
rumah yang terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran awam, Perancangan Ekonomi, 
Kewangan dan Pembangunan Masyarakat 
Haji Husam Musa yang sampai ke tempat kejadian jam 7:30 pagi tadi turut 
bersedih diatas kejadian yang berlaku.

“Saya harap semua pihak dapat membantu mangsa yang terlibat bagi meringankan 
bebanan yang ditanggung.

“Kesedihan ini InsyaAllah akan terubat sekiranya mendapat simpati semua pihak,” 
katanya.

Turut melawat Anggota Parlimen Pasir Mas Ustaz Ismail Nuh, Ahli Dewan Undangan 
Negeri Pengkalan Pasir Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, Penyelia DUN Tendong Abdul 
Hamid Aziz. (NY).//UPKN





                
---------------------------------
Discover Yahoo!
 Use Yahoo! to plan a weekend, have fun online & more. Check it out!

[Non-text portions of this message have been removed]



 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke