KUALA LUMPUR, 27 Jun - Kerajaan akan sentiasa memberi perhatian serius kepada 
usaha-usaha pembangunan di peringkat negeri terutama negeri yang mempunyai 
kadar pertumbuhan yang lebih rendah daripada kadar pertumbuhan negara, kata 
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata memandangkan Kelantan adalah salah sebuah negeri yang 
termasuk dalam kategori itu, kerajaan persekutuan sentiasa memberi perhatian 
terutamanya daripada segi infrastruktur dan kemudahan sosial berbanding 
negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, pelaksanaan program atau projek pembangunan itu adalah tertakluk 
kepada kemampuan kewangan kerajaan, katanya dalam jawapan bertulis pada 
persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi mencapai pembangunan yang lebih seimbang 
di antara negeri, wilayah dan daerah.

Abdullah berkata demikian sebagai menjawab soalan Ir Shaari Hassan (BN-Tanah 
Merah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah kerajaan memberi 
perhatian serius kepada 59 resolusi yang dikemukakan oleh Majlis Kemajuan 
Kelantan (MKK) dan apakah perkara-perkara yang dicadang untuk dilaksanakan 
dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dapat diberi kelulusan khas.

Perdana Menteri berkata sebanyak RM3.75 bilion telah diperuntukan bagi Kelantan 
dalam tempoh RMK-8 dan sehingga akhir tahun lepas, sebanyak RM2.5 bilion atau 
68 peratus telah dibelanjakan.

Beliau berkata sebahagian besar daripada peruntukan itu adalah bagi 
melaksanakan beberapa projek yang dapat memberi manfaat secara langsung kepada 
penduduk di kawasan terlibat terutamanya dalam usaha kerajaan membasmi 
kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

"Ini termasuklah projek-projek seperti jalan luar bandar, bekalan elektrik dan 
air, kemudahan dan prasarana sosial seperti sekolah, klinik, jalan dan 
sebagainya," kata beliau.

Beliau berkata pelaksanaan projek-projek yang dijangka menjana pertumbuhan 
ekonomi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan itu menggambarkan 
komitmen kerajaan untuk membawa pembangunan kepada negeri Kelantan.

Strategi itu akan terus dipertingkatkan dalam tempoh RMK-9 dengan penyediaan 
peruntukan yang sewajarnya kepada Kelantan bagi melaksanakan program dan projek 
yang berdaya maju dan berdaya saing bagi mempertingkatkan pembangunan di negeri 
itu, katanya.//Bernama




                
---------------------------------
Do you Yahoo!?
 Yahoo! Mail - Helps protect you from nasty viruses.

[Non-text portions of this message have been removed]



 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke