KOTA BHARU: Hampir 10 tahun, penduduk di tiga buah kampung di Kuala Besar di 
sini, seolah-olah tidak pasti dengan kewujudan pihak yang menguruskan bekalan 
air di negeri ini iaitu Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) kerana sudah lama 
terpaksa menggunakan air telaga untuk kegunaan harian. 

Seramai 404 keluarga di Kampung Kuala Besar, Kampung Che Latif dan Kampung 
Pantai Mek Mas yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar, ketika 
ini lebih banyak bergantung kepada bekalan air telaga dan telaga tiub kerana 
airnya lebih banyak dan deras.

Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Kuala Besar, Jusoh Yaakub, 60, berkata 
penduduk sudah seakan sudah lali dengan keadaan itu walaupun di dalam hati 
masih mengharapkan bekalan air bersih dibekalkan. 

Menurutnya, majoriti penduduk di tiga buah kampung itu lebih banyak menggunakan 
air daripada telaga dan telaga tiub tetapi semakin hari, air daripada kedua-dua 
sumber itu juga turut menimbulkan masalah kepada mereka.

Katanya, air daripada telaga kini berbau busuk dan payau kerana kedudukannya 
yang terlalu hampir dengan pantai dan keadaan itu menyebabkan penduduk 
berikhtiar cara lain dengan membeli enjin bagi memasang telaga tiub.

“Air telaga buat masa ini semakin tidak berkualiti kerana berbau malah rasanya 
juga sudah payau dan tidak sesuai untuk diminum.

“Telaga tiub yang dibina pula tidak dapat bertahan lama kerana mudah rosak 
kerana air yang terdapat di dalam tanah di sekitar kampung itu agak berbau dan 
masin. 

“Keadaan ini menyebabkan enjin mudah rosak dan memerlukan belanja yang besar 
untuk membeli enjin baru,” katanya.

Jusoh berkata, pihak AKSB sebelum ini pernah menghantar bekalan air bersih 
kepada penduduk tetapi hanya untuk tempoh seminggu dan selepas itu ia 
dihentikan.

“Saya sendiri sudah menyerahkan surat kepada pihak Jabatan Pembangunan 
Persekutuan (JPP) untuk mengadakan rundingan dengan pihak AKSB tetapi sampai 
sekarang tiada apa-apa perkembangan lanjut.

“Selain itu, saya juga turut menyerahkan sebanyak 120 senarai keluarga untuk 
mendapatkan bekalan air bersih tetapi masih tiada tindakan yang dilakukan oleh 
pihak terbabit,” katanya.

Seorang penduduk kampung, Razali Dollah, 43, berkata dia terpaksa melupakan 
hasrat mendapatkan air paip kerana sudah tidak tahan menunggu terlalu lama 
untuk mendapatkan air bersih.

Menurutnya, buat masa ini dia menggunakan telaga tiub malah bernasib baik 
kerana air di kawasan rumahnya masih elok dan tidak berbau busuk.

“Ramai penduduk di kawasan ini mengadu air dari dalam tanah di sini sudah 
menjadi masin dan berbau tetapi saya agak bernasib baik kerana masih boleh 
menikmati air.

“Bekalan air ini mungkin tidak bertahan lama kerana lama kelamaan ianya mungkin 
akan menjadi masin juga akhirnya,” katanya.

Bagi Wan Kamal, 40, kerana susah mendapatkan air bersih dia terpaksa berikhtiar 
sendiri mencari bekalan termasuk membeli di merata-rata tempat.

Katanya, dia yang berkerja kontrak sering membawa tong plastik di dalam 
keretanya untuk diisi dengan air bagi kegunaan dia sekeluarga.

“Sekarang saya sekeluarga menggunakan bekalan air di rumah rakan untuk membasuh 
pakaian kerana air telaga di rumah saya semakin masin.

“Air paip pula lebih banyak mengeluarkan angin dan kadang kala yang keluar 
adalah air yang berwarna kekuningan,” katanya yang pernah menadah air hujan 
untuk kegunaan seharian.

Katanya, dia berharap masalah air di ketiga-tiga kampung itu dapat diatasi 
secepat mungkin untuk keselesaan penduduk kampung.//HM 4 Julai


                
---------------------------------
Yahoo! Mail
 Stay connected, organized, and protected. Take the tour

[Non-text portions of this message have been removed]



 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke