KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) kini mengumpul maklumat 
lengkap mengenai semua jambatan yang dibina pada 1986 merentasi tali air agensi 
itu.

Ini disebabkan selain jambatan yang dibina Kada, ada kemudahan itu yang dibina 
wakil rakyat, kerajaan negeri serta penduduk kampung yang semuanya perlu 
direkodkan.

Pengerusi Kada, Datuk Annuar Musa, berkata laporan itu penting bagi membolehkan 
pihaknya menilai kedudukan semua jambatan yang ada dan pada masa sama, pihak 
yang mahu membina jambatan di tali air Kada, perlu memaklumkan kepadanya. 

"Saya mahu laporan lengkap mengenai status semua jambatan di atas tali air 
Kada. Menerusi laporan ini kita akan ketahui keadaan jambatan, siapa bina dan 
selepas ini, semua jambatan akan diberikan kod," katanya ketika melawat sebuah 
jambatan Kada di Kampung Dendang, Ketereh, selepas seorang warga tua lemas 
selepas dikatakan terjatuh Isnin lalu.

Mayat mangsa, Khatijah Rahmatullah, 65, ditemui terapung pada petang 
keesokannya kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.



Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, berkata Kada akan 
memohon peruntukan khusus daripada Kerajaan Pusat dan Kementerian Pertanian dan 
Industri Asas Tani bagi menaik taraf semua jambatan Kada dan dibina secara 
konkrit menggantikan jambatan kayu.

Katanya, jambatan tali air Kada semakin penting kerana menjadi laluan umum 
penduduk di kiri kanan tali air termasuk pelajar untuk ke sekolah berhampiran.

"Pembinaan jambatan konkrit lebih kukuh, tahan lama dan selamat digunakan serta 
menjimatkan kos penjagaan jangka panjang," katanya.

Annuar juga mengumumkan pembinaan segera jambatan baru binaan konkrit 
mengantikan kayu di tali air Kampung Dendang yang dikatakan tempat meragut 
nyawa Khatijah, membabitkan perbelanjaan antara RM20,000 hingga RM30,000.

Katanya, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Ketereh sudah diberi 
tanggungjawab untuk membina jambatan itu.

"Kita juga mengalu-alukan penduduk kampung, Jawatankuasa Kemajuan Kampung 
(JKKK), unit peladang supaya memaklumkan kepada Kada jika mendapati ada 
jambatan Kada dalam keadaan merbahaya.

"Saya juga berterima kasih kepada Berita Harian kerana membangkitkan isu ini 
yang secara tidak langsung meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai 
pentingnya menjaga keselamatan awam termasuk jambatan yang banyak membawa 
kemalangan walaupun tidak semua membabitkan jambatan Kada," katanya.//BH 6 Julai



                
---------------------------------
Yahoo! Mail
 Stay connected, organized, and protected. Take the tour

[Non-text portions of this message have been removed]



 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke