KOTA BHARU 6 Julai - Seorang pemuda yang takut ditahan oleh polis kerana memiliki cakera padat video (VCD) lucah dan cukai jalan keretanya tamat tempoh, bertindak memecut keretanya sehingga merempuh seorang anggota polis serta lima buah kenderaan lain di Jalan Sultan Yahaya Petra, di sini petang semalam.
Berikutan tindakan pemuda itu, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah kereta terbabit bagi menghalang pemandunya melarikan diri. Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, pemuda terbabit yang cemas setelah dipanggil oleh polis cuba mengundurkan keretanya dengan laju hingga merempuh seorang daripada empat anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan ke atasnya. Ketika melarikan diri, suspek gagal mengawal keretanya hingga menyebabkan dia melanggar empat buah kenderaan lain. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Razalli Mohd. Yusof berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Unit Tindakan Cepat (UTC) ingin membuat pemeriksaan ke atas lelaki terbabit yang dilihat mencurigakan di tempat letak kereta berhadapan pasar raya Billion. Bagaimanapun katanya, selepas dipanggil oleh anggota polis, suspek bertindak menaiki keretanya lalu mengundur dengan laju hingga merempuh seorang anggota polis sebelum melanggar kenderaan lain yang berada di jalan berkenaan. Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, Mohd. Razalli berkata, ekoran itu, polis mengejar pemuda itu dengan motosikal ke arah Jalan Kuala Krai sebelum salah seorang anggota polis melepaskan satu das tembakan mengena cermin tingkap sebelah kiri kereta terbabit. Beliau berkata, akibat kejadian itu, pemuda berkenaan memberhentikan keretanya lalu melarikan diri ke sebuah lorong di Jalan Telipot sebelum berjaya ditangkap dengan bantuan orang ramai. Mohd. Razalli berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu pemuda itu, polis menemui tujuh keping VCD lucah dan mendapati cukai jalan kereta berkenaan telah tamat tempoh selain telah diubah suai. Katanya, ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut mendapati dia positif dadah. Sehubungan itu, katanya, polis akan mendakwa lelaki berusia 20 tahun itu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Sementara itu, Mohd, Razalli berkata, anggota polis yang dilanggar itu hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kota Bharu (HKB).//UM 7 Julai __________________________________________________ Do You Yahoo!? Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around http://mail.yahoo.com [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
