GUA MUSANG - Menyebut namanya sahaja sudah cukup untuk menimbulkan keanihan lagi bandar tenteram ini yang masih dilingkungi hutan belantara tropika yang dianggap antara tertua di dunia.
Dari air terjun yang menakjubkan kepada keunikan gua batu kapur, Gua Musang menyimpan pelbagai khazanah alam yang pasti menambat hati pengunjung terutama pencinta alam dan penggemar sukan lasak. Bagi mereka yang pertama kali ke tempat ini, panoramanya yang dihiasi stesen keretapi, bukit-bukau serta gua batu kapur beraneka bentuk termasuk satu daripadanya yang memberikan nama kepada bandar ini, akan menggamit seribu kenangan. Jika dulu, keretapi menjadi pengangkutan utama, Gua Musang tidak lagi sukar untuk dikunjungi terutama setelah lebuhraya yang menghubungkannya dengan Kuala Krai dibuka pada awal 1980-an. Malah bandar ini boleh dikatakan terletak di tengah-tengah perjalanan antara Kota Baharu dan Kuala Lumpur, jarak sejauh kira-kira 600km. Ia menjadi tempat persinggahan strategik terutama bagi bas-bas ekspres yang membuat perjalanan antara Kuala Lumpur-Kota Baharu dan sebaliknya. Penduduk terutama peniaga kini mengharapkan agar lebuh raya antara bandar ini dengan Cameron Highlands, yang sedang dalam peringkat akhir pembinaan, akan membuka lebih banyak peluang ekonomi. PETA PELANCONGAN Umpama permata yang menunggu untuk digilap, kemudahan perhubungan seperti lebuhraya itu memberikan semangat kepada usaha membangunkan Gua Musang termasuk meletakkannya dalam peta pelancongan negara. Tanggungjawab ini dipikul Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang ditubuhkan pada 2 Mac 1978 dengan tujuan mengimbangi kepadatan penduduk di antara Kelantan utara dengan Kelantan selatan, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Pengurus Besar Kesedar, Ismail Abdul Rahman berkata industri pelancongan dikenalpasti dapat membantu usaha Kesedar membaiki imej Gua Musang yang dikenali sebagai jajahan paling mundur dan lambat menerima tempias pembangunan. "Kita beruntung kerana Gua Musang dianugerahi lokasi yang strategik, muka buminya yang unik dan mampu dijadikan tarikan pelancongan. "Kesedar cuma mengeksploitasi kelebihan yang ada pada jajahan ini untuk kepentingan ekonomi setempat," katanya kepada Bernama. Pelbagai program untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara dirancang manakala tempat yang berpotensi menjadi tarikan pelancong dimaju dan dipulihara. Antaranya, Kesedar telah membina Taman Etnobotani, yang meliputi kawasan seluas 37 hektar, dan terletak kira-kira 3km dari sini. Taman itu menempatkan lebih 100 jenis tanaman herba dan ubatan, serta mempunyai kem motivasi, taman rekreasi, lokasi sukan mendaki tembok batu serta taman ternakan rusa dan burung unta. "Banyak kawasan tinggalan sejarah seperti Gua Cha yang menjadi penempatan manusia zaman batu dan tapak peninggalan komunis iaitu Sungai Semui dan Gua Madu. "Tempat rekreasi juga banyak di sini, air terjun Jeram Pelangi dan Gunung Stong, atau bagi mereka yang berminat dengan aktiviti mendaki dan trekking, boleh melakukannya di Gunung Rabung," katanya. "Kita juga menyediakan pakej memancing ikan kelah di Kuala Koh, spesis ikan yang kini dilindungi kerana hampir pupus bagi kaki pancing," katanya. Para pengunjung juga boleh menyusuri Sungai Galas dan Sungai Nenggiri untuk melihat keindahannya, dan jika bertuah, mungkin terjumpa haiwan liar seperti gajah, badak, seladang atau rusa di tebing sungai," katanya. CABARAN NENGGIRI Beliau menarik perhatian kepada peningkatan jumlah pengunjung yang menyusuri Sungai Nenggiri dari setahun ke setahun. Dari 500 orang pada 1999, bilangan itu meningkat kepada 570 orang (tahun 2000), 820 orang (2002) dan 1,929 pada tahun lepas. Keadaan itu mendorong Kesedar menganjurkan Cabaran Nenggiri bagi menjadikan Gua Musang sebagai destinasi tumpuan pelancong berasaskan sukan air dan alam semulajadi. Bagi tahun ini, cabaran berakit di Sungai Nenggiri sepanjang 50km itu telah diadakan dari 1 hingga 3 Julai, bermula dari Kuala Betis dan berakhir di Kampung Star, sebuah perkampungan Melayu di tebing sungai. "Cabaran Nenggiri yang diadakan berjaya menarik banyak penyertaan dari luar negara termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Afrika Selatan dan dari beberapa negara Barat," kata Ismail. Lebih daripada berbentuk perlumbaan, penyertaan dalam acara itu, yang mendapat sokongan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelancongan, membawa para peserta meneroka alam semulajadi. Mereka boleh melihat Gua Cha dari dekat dan bermalam di Pos Pulat, sebuah perkampungan Orang Asli, yang memberikan peluang kepada mereka untuk mengenali masyarakat berkenaan. Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia cawangan Kelantan, Lijah Othman berkata aktiviti promosi bagi memperkenalkan Gua Musang sedang dipertingkatkan kerana ramai yang tidak tahu tarikan yang ada di jajahan ini termasuk di kalangan penduduk setempat. "Gua Musang mempunyai terlalu banyak tempat menarik, berpotensi untuk industri pelancongan. Sayang sekali jika ia tidak diketengahkan." katanya. Beliau berharap pihak swasta dan individu terutama di kalangan penduduk tempatan akan menyertai usaha menjadikan daerah itu satu destinasi pelancongan. "Kita cuba tarik pelancong dari luar negara untuk sekurang-kurangnya menginap di sini, walaupun hanya sehari dan biar mereka berbelanja di sini. "Secara tidak langsung kedatangan mereka akan membantu ekonomi tempatan, menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk dan sebagainya, itu yang kita mahu," katanya. Oleh Syarifah Hunaini Syed Ismail artikel berkaitan ;http://www.perakan.net/modules/wfsection/article.php?articleid=102 --------------------------------- Sell on Yahoo! Auctions - No fees. Bid on great items. [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
