KOTA BHARU: Bahagian Keselamatan Negara (BKN) Kelantan memohon peruntukkan 
lebih RM20 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) bagi membaik 
pulih dan membina tiga pos kawalan di sempadan Malaysia-Thailand.

Peruntukan itu juga bagi membina tiga lagi pos kawalan menempatkan anggota 
tentera dan polis untuk membanteras mengawasi penyeludupan di sempadan.

Ketika ini, BKN memiliki 11 pos kawalan tetapi perlu mengawasi kira-kira 140 
pangkalan haram yang lebih dikenali sebagai lorong semut yang menjadi laluan 
penyeludup.

Pengarah BKN negeri, Wan Abdullah Wan Daud, berkata RM150,000 sudah 
dibelanjakan bagi membaik pulih pos kawalan di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang 
dan Bukit Bunga di sini. 

Beliau berkata, BKN memerlukan peruntukan besar bagi meningkatkan logistiknya 
kerana penyeludupan dan kemasukan anasir asing dari negara jiran belum terkawal 
sepenuhnya.

"Oleh itu, BKN Kelantan memohon peruntukkan besar untuk memastikan tambahan pos 
kawalan serta beberapa kemudahan lain terutama berkaitan pengawalan, pemantauan 
serta alatan penting untuk anggota bertugas," katanya di sini, semalam.

Wan Abdullah berkata, pembinaan tiga pos kawalan baru itu ditumpukan di sekitar 
daerah Tumpat kerana kawasan itu padat dengan penempatan penduduk selain 
dikenal pasti mengalami penyeludupan yang serius.

"Antara pos kawalan yang dalam pembinaan ialah dua di Kampung Pisau Raut dan 
satu lagi di Kampung Neting berhampiran sempadan Sungai Golok, Rantau Panjang 
di daerah Tumpat," katanya.

Katanya, 11 pos kawalan yang sedia ada kini boleh menampung untuk menempatkan 
dua batalion anggota tentera dan polis membabitkan kira-kira 4,000 anggota 
dalam satu masa.

"Bagaimanapun, kekuatan logistik BKN Kelantan masih kurang kerana kegiatan 
penyeludupan masih membolosi Kelantan di sempadan Malaysia/Thailand," katanya.

Katanya, ini berikutan kira-kira 140 laluan haram yang diistilahkan sebagai 
lorong semut itu sering dijadikan laluan penyeludupan yang membawa masuk dan 
keluar pelbagai barangan larangan termasuk dadah.

"Sepanjang Sungai Golok itu juga dikenal pasti laluan penting kepada penyeludup 
untuk membawa masuk pendatang tanpa izin dan pengedaran dadah dari negara jiran 
ke Kelantan," katanya.//BH 8 Julai




                
---------------------------------
Yahoo! Mail for Mobile
 Take Yahoo! Mail with you! Check email on your mobile phone.

[Non-text portions of this message have been removed]



 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke