KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan akan mengambil tindakan tata tertib 
termasuk memecat kakitangannya yang disabitkan kesalahan jenayah syariah, 
seperti berkhalwat atau perbuatan tidak sopan.

Pengarahnya, Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir, berkata tindakan disiplin itu akan 
diambil selepas kes mereka diputuskan mahkamah.

Beliau berkata, jabatan itu juga tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan 
tata tertib sama ada membabitkan pegawai perubatan, pegawai tadbir atau 
kakitangan pangkat rendah.

"Bagaimanapun, tindakan hanya boleh diambil selepas laporan sesuatu kes 
diterima daripada Ahli Lembaga Tata Tertib yang dipengerusikan ketua jabatan 
daerah masing-masing.

"Jika kes itu membabitkan pegawai yang melakukan kesalahan jenayah syariah, 
mereka akan diambil tindakan selepas mahkamah menghantar laporan kesalahan 
itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam berhubung dua lelaki termasuk seorang 
atendan klinik kerajaan di Pasir Puteh ditahan kerana berkhalwat dengan seorang 
perempuan di sebuah kuarters kakitangan jabatan itu, kelmarin.

Atendan klinik berusia 30 tahun itu dikatakan berada dalam kuarters berkenaan 
bersama seorang lelaki penoreh getah berusia 25 tahun dan seorang perempuan 
berusia 19 tahun.

Kakitangan klinik kesihatan dan penoreh getah itu ditahan kerana melakukan 
kesalahan berkurung beramai-ramai bersama seorang perempuan yang tidak 
mempunyai hubungan mahram kira-kira jam 12 tengah hari.

Setakat ini, dua kakitangan Jabatan Kesihatan Kelantan dalam siasatan dan 
tindakan pihak berkuasa. Selain kes terbaru di Pasir Puteh itu, seorang lagi 
kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kota Bharu ditahan kerana disyaki 
berkhalwat dengan seorang janda di Taman Mesra, dekat sini, bulan lalu.

Dr Ahmad Razin berkata, tindakan disiplin hanya akan dibuat sebaik saja sesuatu 
kes itu diputuskan mahkamah dan kakitangan terbabit mungkin akan menghadapi 
kejutan lain.

"Dia mungkin diturunkan pangkat dan dipotong gaji serta kemungkinan dipecat 
jika kesalahan yang dilakukan terlalu serius," katanya.

Katanya, semua ketua jabatan peringkat daerah diminta segera melaporkan sesuatu 
kes membabitkan salah laku kakitangan bagi memastikan imej Jabatan Kesihatan 
bersih daripada unsur tidak diingini.//BH 8 Julai





__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

[Non-text portions of this message have been removed]



 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke