BACHOK 10 Julai - Universiti Pantai Timur Malaysia (MECU) adalah nama rasmi dicadangkan bagi universiti Kelantan yang akan memberi tumpuan kepada pengajian berteraskan sains perubatan dan bioteknologi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Annuar Musa berkata, nama tersebut sesuai dengan peranan universiti itu sebagai pemangkin perkembangan pendidikan di Pantai Timur. ``Saya harap rakyat negeri ini bersabar dan tidak ragu dengan kesungguhan kita bagi memastikan penubuhan MECU menjadi kenyataan tidak lama lagi,'' katanya kepada pemberita selepas melawat Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Gunung, di sini, hari ini. Pada 19 Januari lalu, Annuar mengumumkan pihaknya sudah menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Pusat supaya diwujudkan Universiti Kelantan seperti tertera dalam manifesto Barisan Nasional (BN) negeri. Kata Annuar, pihaknya yakin Kerajaan Pusat akan menimbangkan kelulusan penubuhan universiti itu selewat-lewatnya akhir tahun ini dan membuat pengambilan pertama mulai sesi 2006/2007. Mengulas perkara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh pada 15 Mei lalu berkata, pihaknya bersetuju meluluskan penubuhan dua universiti swasta di Kelantan sebagai peringkat pertama ke arah penubuhan universiti awam. Universiti swasta itu ialah Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech di Machang dan Institut Teknologi Kejuruteraan Akuakultur dan Pertanian di Kok Lanas, Kota Bharu. Katanya, langkah tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat bagi memastikan penubuhan universiti awam tidak menghadapi masalah kekurangan pensyarah. Dalam hubungan ini, Annuar berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pihak tertentu yang membuat kenyataan politik memberikan gambaran seolah-olah penubuhan universiti swasta itu adalah hasil usaha kerajaan negeri pimpinan Pas. ``Ia adalah projek Kerajaan Pusat hasil daripada perancangan oleh UMNO Kelantan bagi memastikan lebih ramai pelajar di negeri ini dapat melanjutkan pelajaran ke universiti,'' katanya. Sementara itu, beliau berkata, UMNO Kelantan meminta Kerajaan Pusat memberi keutamaan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan prasarana di negeri ini dalam menarik lebih ramai pelabur. Katanya, langkah tersebut perlu kerana Kelantan tidak mempunyai pelabuhan, lebuh raya empat lorong dan lapangan terbang antarabangsa untuk kemudahan syarikat mengeksport barangan. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mahu pelabur melihat potensi Pantai Timur sebagai kawasan industri baru yang perlu diberi tumpuan setelah kawasan industri di Pantai Barat semakin padat dan terhad.//UM http://www.perakan.net/modules/news/article.php?storyid=1572 perakan <[EMAIL PROTECTED]> wrote: Impian wujud universiti di Kelantan hampir jadi realiti KOTA BHARU, 7 Julai: Hasrat kerajaan negeri untuk melihat lahir sebuah universiti di Kelantan kini hampir menjadi realiti apabila dua lagi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) beroperasi di sini. Kolej Universiti Antarabangsa Twintech yang menawarkan kursus dalam bidang sains dan teknologi mulai beroperasi bulan ini di kampus sementara di Lundang. Semalam kerajaan negeri juga meluluskan tapak seluas 100 ekar bagi mewujudkan kampus tetap kolej universiti berkenaan di Machang. Manakala Kolej Islam Sains dan Teknologi yang mempelopori bidang pendidikan paramedik membuka kampus tetapnya di Kandis, Bachok. Pengambilan pelajar baru kedua-dua kolej berkenaan bermula Julai ini. Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hasrat kerajaan negeri bagi melahirkan sebuah universiti sebelum ini bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Sebelum ini kerajaan negeri melalui Pusat Kajian Strategik menganjurkan seminar khas ke arah penubuhan sebuah universiti di Kelantan. Dengan adanya universiti tersebut diharap dapat melahirkan lebih ramai lagi penduduk yang berpengetahuan tinggi dalam segenap bidang, katanya di sini. Bagaimanapun beliau turut melahirkan rasa pelik apabila kadar jenayah terus meningkat di negara ini, biar pun dalam masa yang sama sudah banyak universiti dan kolej diwujudkan. Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan ilmu yang diperolehi di institusi pengajian tersebut tidak mempunyai kaitan langsung dengan akhirat. Selain terdapat banyak IPTS di Kelantan sekarang, cawangan-cawangan universiti awam juga ada di negeri ini iaitu Akademik Islam Universiti Malaya, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara. Kerajaan negeri juga mempunyai institusi pengajian tinggi sendiri iaitu Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) yang terletak di kampusnya di Nilam Puri. Kias diwujudkan bagi menggantikan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan yang dikuburkan kerajaan Barisan Nasional pada 1978. Sebelum ini, Umno Kelantan turut menyerah memorandum kepada kerajaan Persekutuan bagi membolehkan sebuah universiti awam dibina di negeri ini perakan <[EMAIL PROTECTED]> wrote: Kelantan lulus tapak kampus kolej universiti di Machang KOTA BHARU, 6 Julai : Kerajaan negeri hari ini meluluskan kawasan seluas 100 ekar kepada Kolej Universiti Antarabangsa Twintech untuk dijadikan kampus cawangannya di Kelantan. Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kolej tersebut kini sudah mengambil pelajar dengan menyewa di premis sementara di bangunan Petronas di Lundang. Kolej itu mengendalikan pengajian berasaskan sains dan teknologi serta agama membabitkan pelajar dari seluruh negara, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini. Tapak kampus kekal itu terletak tidak jauh daripada UiTM Cawangan Kelantan di Machang dan dijangka beroperasi tiga tahun lalu selepas segala prasarananya siap dibina. Menteri Besar berkata, kolej berkenaan dijangka mengambil kira-kira 300 pelajar peringkat pertama pada sesi pengajian tahun ini. Sehingga kini Kelantan mempunyai beberapa buah pusat pengajian tinggi awam dan swasta, antaranya Universiti Sains Malaysia, Akademik Islam Universiti Malaya, UiTM, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Kolej Jaipetra, Institut Teknologi Darulnaim, Universiti Tun Abdul Razak, Kolej Tun Abdul Razak dan Institut Teknologi Cosmopoints. Selain itu, sebuah lagi kolej swasta baru beroperasi di Kelantan iaitu Kolej Islam Sains dan Teknologi yang mengendalikan kursus pramedik dibina di Kandis, Bachok. Menurut Menteri Besar juga, kerajaan negeri memberi insentif pembayaran premium tanah agak rendah kepada kolej Twintech bagi menyokong pembinaan kampus tersebut. Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) dan Jabatan Pertanian membuat kajian mengenai tahap suhu di Tanah Tinggi Lojing selepas pembangunan pesat dilaksanakan di kawasan tersebut sekarang. Kajian itu dibuat bagi memastikan tahap suhunya dan mengelakkan daripada menjadi panas seperti di Cameron Highlands. Kawasan itu sehingga kini dijadikan tempat penanaman sayur-sayuran dan bunga-bungaan, ujarnya. Oleh itu katanya, pembangunan kawasan itu yang terletak lebih 3,000 kaki dari aras laut akan dipastikan lebih terkawal bagi mengelakkan berlaku perubahan suhu. Beliau berkata, biar pun masih banyak lagi kawasan itu belum dibangunkan, namun kerajaan lebih berhati-hati bagi memastikan suhu yang ada sekarang terus kekal. Bagaimanapun beliau menolak tanggapan mengatakan perubahan itu berlaku disebabkan kegiatan pembalakan yang berlaku sebelum ini. Oleh itu, bagi mengatasi masalah tersebut, katanya juga kerajaan negeri mempunyai pilihan lain iaitu mengenal pasti satu kawasan tanah pamah seluas 1,200 ekar tidak jauh dari Taman Negeri Stong untuk dimajukan pada masa akan datang. Kawasan baru itu dikenali sebagai Sungai Belaga cukup sesuai dimajukan memandangkan keadaan suhu hampir sama dengan Lojing sehingga mencapai tahap 11 darjah celsius pada masa tertentu, katanya. __________________________________________________ Do You Yahoo!? Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around http://mail.yahoo.com [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
