Universiti Pantai Timur Malaysia (MECU) - itulah nama yang menjadi idaman UMNO 
Kelantan dalam usaha mencapai matlamat untuk mewujudkan sebuah institusi 
pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri itu.

Walaupun kita tidak pasti bilakah universiti berkenaan akan dibina atau 
terwujud tetapi apa yang pasti namanya sudah ada hanya menanti kelulusan 
daripada Kerajaan Pusat.

Namun begitu apa yang nyata, kewujudan MECU tidaklah begitu mendesak 
memandangkan Kerajaan Pusat sudah pun berjanji akan membina universiti di 
Terengganu yang dikenali sebagai Universiti Darul Iman.

Universiti berkenaan sudah pasti akan memberi manfaat besar kepada penduduk 
Pantai Timur terutamanya di Kelantan, apatah lagi jika ia dibina bersempadan 
antara kedua-dua negeri itu.

Selain itu, buat sementara waktu tumpuan Kelantan boleh diberikan kepada 
kewujudan dua buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang sudah pun 
diluluskan oleh Kerajaan Pusat.

Pada 15 Mei lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh 
berkata, pihaknya bersetuju meluluskan penubuhan dua universiti swasta di 
Kelantan sebagai peringkat pertama ke arah penubuhan universiti awam.

Universiti swasta itu ialah Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech di 
Machang dan Institut Teknologi Kejuruteraan Akuakultur dan Pertanian di Kok 
Lanas, Kota Bharu.

Penubuhan kedua-dua universiti ini dilihat akan mampu merealisasikan cita-cita 
rakyat Kelantan untuk melihat di negeri itu terdapat universiti biarpun ia 
bertaraf swasta.

Tambahan pula, mereka memahami universiti awam di negeri tersebut tidak perlu 
tergesa-gesa diwujudkan memandangkan tumpuan Kerajaan Pusat kini adalah 
memastikan matlamat menubuhkan Universiti Darul Iman menjadi kenyataan.

Adalah sesuatu yang janggal jika dalam masa yang singkat dua buah universiti 
perlu dibina di Pantai Timur iaitu sebuah di Terengganu dan sebuah di Kelantan 
sedangkan kedua-duanya bermatlamat untuk memberi kemudahan pendidikan kepada 
penduduk di kawasan tersebut.

Justeru adalah lebih baik jika penubuhan IPTA ditumpukan terlebih dahulu kepada 
Terengganu seperti mana dijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) yang berjaya 
merampas negeri berkenaan dari Pas manakala Kelantan menumpukan perhatian 
kepada kewujudan IPTS.

Matlamat untuk menubuhkan IPTS di Kelantan ini bukan lagi menjadi satu mimpi 
sebaliknya ia akan menjadi realiti apatah lagi dengan langkah kerajaan negeri 
pimpinan Pas yang bersetuju meluluskan tanah seluas 40 hektar di Machang bagi 
pembinaan kampus cawangan Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech.

Kampus berkenaan terletak di kawasan strategik berhampiran bandar Machang dan 
juga berdekatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang. Pembukaan kampus ini 
akan membolehkan Machang menjadi pusat pendidikan bagi Kelantan.

Sebenarnya, tiada sesiapa pun menentang hasrat untuk menubuhkan IPTA di 
Kelantan tetapi ketika ini semua pihak sedia maklum bahawa sebuah universiti 
awam akan ditubuhkan di Terengganu.

Kewujudannya sudah pasti akan mencapai matlamat kerajaan pusat untuk melihat 
pelajar-pelajar di Pantai Timur mampu melanjutkan pelajar di peringkat 
universiti tanpa perlu meninggalkan wilayah mereka.

Justeru penubuhan Universiti Darul Iman ini akan memberi manfaat yang cukup 
besar kepada penduduk Pantai Timur biarpun ia tidaklah seperti mana MECU yang 
akan memberi tumpuan kepada pengajian berteraskan sains perubatan dan 
bioteknologi semata-mata.

Selain itu, apa yang perlu difahami oleh semua pihak, walaupun tidak mempunyai 
universiti, Kelantan pada hakikatnya mencatatkan perkembangan yang baik dari 
segi institusi pendidikan apabila hasil usaha Pengerusi Lembaga Kemajuan 
Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Ramzi Abd. Rahman sebuah lagi politeknik akan 
dibina di negeri itu dan kali ini di Kuala Krai.

Sebelum ini Kelantan sudah pun ada politeknik di kawasan utara, Maktab Rendah 
Sains Mara, UiTM, kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dan 
maktab perguruan. Oleh itu, tidaklah perlu mana-mana pihak terlalu teruja untuk 
melihat sebuah universiti dibina di Kelantan dalam masa terdekat ini, adalah 
lebih baik jika persiapan yang benar-benar rapi dilakukan sebelum ia menjadi 
realiti.

Atas sebab itulah, Dr. Shafie meluluskan penubuhan dua buah universiti swasta 
di Kelantan kerana beliau menyedari untuk mewujudkan sebuah universiti awam 
bukanlah perkara yang mudah apatah lagi jika ia dibina semata-mata kerana 
tuntutan politik.

Dr. Shafie ingin memastikan universiti yang bakal dibina itu mempunyai 
kemudahan dan tenaga pengajar yang mencukupi, ia hanya boleh dilakukan melalui 
langkah awal melalui penubuhan IPTS.

Apa pun kita yakin Kerajaan Pusat memahami hasrat rakyat Kelantan, sudah 
pastilah apabila tiba masa yang sesuai IPTA, apa yang menjadi impian mereka 
akan terwujud di negeri itu tanpa mengira siapa juga yang memperjuangkan, yang 
penting rakyat menerima faedahnya.

Oleh Zulkiflee Bakar 


http://www.perakan.net/modules/wfsection/article.php?articleid=105

 

                
---------------------------------
 Sell on Yahoo! Auctions  - No fees. Bid on great items.

[Non-text portions of this message have been removed]



 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke