KOTA BHARU: Umno Kelantan memuji pendekatan baru dan positif kerajaan Pas Kelantan yang memberi kerjasama kepada sektor swasta membangunkan bidang pendidikan tinggi.
Ini terbukti apabila kerajaan negeri tidak mengambil masa lama untuk meluluskan permohonan sektor swasta mendapatkan tanah bagi mendirikan universiti di negeri ini. Ketua Penerangan Umno Kelantan, Md Alwi Che Ahmad, berkata pendekatan kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kini lebih terbuka dan patut dipuji apabila memberi ruang kepada swasta mendirikan universiti di negeri ini. Katanya, kemudahan itu termasuklah meluluskan tanah seluas 40 hektar di Machang kepada Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (IUCT) untuk pembinaan kampusnya. "Ini perkembangan sihat ditunjukkan kerajaan negeri untuk melihat bidang pendidikan terus berkembang termasuk membuka peluang mewujudkan universiti dan sikap ini harus dipuji. "Kelulusan kepada IUCT membuktikan kerajaan negeri juga mengiktiraf usaha Umno Kelantan supaya negeri ini mempunyai universiti," katanya ketika ditemui di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Ketereh di sini, kelmarin. Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz minggu lalu yang kerajaan negeri meluluskan 40 hektar tanah untuk pembinaan kampus IUCT di Machang sebagai sokongan usaha meningkatkan pembangunan pendidikan negeri ini. IUCT satu daripada dua universiti swasta yang diluluskan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membuka cawangannya di negeri ini, hasil usaha Umno Kelantan. Sebuah lagi universiti swasta iaitu Universiti Kuala Lumpur yang dijangka ditubuhkan di negeri ini dalam masa terdekat, selain universiti awam menerusi Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) yang juga diusahakan Umno Kelantan. Berikutan sikap dan pendekatan positif kerajaan negeri, Md Alwi yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berharap Menteri Besar sedia memberi tanah untuk membolehkan Kerajaan Pusat membina Kolej Komuniti dan Pusat Sukan di setiap kawasan Parlimen untuk kemudahan rakyat. Beliau berkata, kerajaan negeri juga diharap dapat mengenal pasti lebih awal tapak tanah sesuai untuk pembinaan universiti awam pertama di negeri ini yang dianggarkan membabitkan perbelanjaan tidak kurang RM1 bilion.//Bha 13 Julai http://www.perakan.net/modules/news/article.php?storyid=1597 __________________________________________________ Do You Yahoo!? Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around http://mail.yahoo.com [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
