KOTA BHARU, 20 Julai Penantian lebih 500 penduduk di enam kampung di Pasir Puteh yang menghadapi masalah perhubungan, ekoran jambatan di Kampung Seligi Tok Harun rosak teruk akhirnya selesai apabila kerajaan negeri membaiki segera jambatan itu.
Jambatan tersebut dibaiki selepas Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Nik Mohamad meninjau kerosakannya Khamis lalu. Hampir RM20,000 dibelanjakan bagi membaiki semula jambatan tersebut dan esok dijangka siap sepenuhnya. Md Anizam berkata, papan gelegar dan pagar jambatan itu dibaiki segera bagi memudahkan orang ramai melaluinya. Kerajaan negeri meluluskan peruntukan hampir RM20,000 bagi membaiki pagar dan lantai jambatan tersebut. Dan esok dijangka siap sepenuhnya, katanya pada persidangan media selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini. Hampir dua minggu lalu, tiga pelajar adik beradik terjatuh ke dalam sungai setelah motosikal yang ditunggangi terbalik ketika sedang meniti jambatan Kampung Seligi Tok Harun. Sebelum ini kerajaan Pusat difahamkan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membina semula jambatan terbabit, namun sehingga sekarang belum kelihatan sebarang kerja-kerja pembaikian dilakukan. Jambatan yang merentangi Sungai Seligi itu rosak teruk selepas dilanda banjir akhir tahun lepas sehingga sebahagian pelantarnya runtuh. Md Anizam berkata, peruntukan kerajaan Pusat bagi membina jambatan baru di kampung terbabit difahamkan sudah diluluskan pada Jun lalu, namun kerja-kerja pembinaan belum bermula. Disebabkan belum lagi dijalankan kita mengambil tindakan membaiki segera bagi kemudahan orang ramai termasuk pelajar-pelajar sekolah melaluinya. Oleh itu tidak timbul pembinaannya bertindih kerana kita lebih penting keselamatan penduduk. Orang kampung boleh guna jambatan tersebut buat sementara waktu sebelum dibina jambatan baru, tambah beliau. Mengenai jambatan di Kampung Dendang di Ketereh yang juga rosak teruk sejak sekian lama, katanya ia diserah kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) bagi membaikinya kerana ia berada di bawah pengurusan agensi terbabit. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri melulus peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta lagi bagi membaiki jambatan-jambatan yang rosak teruk akibat banjir tahun lepas. Katanya, sebelum ini peruntukan sebanyak RM1.2 juta diluluskan bagi membaiki 58 jambatan di seluruh Kelantan dan kini sudah 70 peratus siap yang dikendalikan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran. Ini menjadikan jumlah keseluruhan diluluskan kerajaan negeri berjumlah RM2.2 juta. Sekarang kita sedang mendapat maklum balas daripada peringkat jajahan dan DUN mengenai jumlah sebenar jambatan yang dianggap kritikal. Pada 30 Julai ini kita akan jangka mendapat maklumat daripada jajahan dan semua DUN termasuk yang diwakili pembangkang mengenai kerosakan di kawasan masing-masing, ujarnya. http://www.perakan.net/modules/news/article.php?storyid=1661 __________________________________________________ Do You Yahoo!? Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around http://mail.yahoo.com [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
