PUTRAJAYA 25 Julai - Anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz bersama empat yang lain gagal dalam rayuan terakhir mereka di Mahkamah Persekutuan hari ini dalam usaha untuk dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Panel tiga hakim mahkamah itu yang diketuai oleh Datuk Pajan Singh Gill memutuskan sebulat suara menolak rayuan mereka. Hakim Gill bersidang bersama Hakim Datuk Alauddin Mohd. Sheriff dan Hakim Datuk S. Augustine Paul. Nik Adli, 38, Zainon Ismail, 49, Md. Lotfi Ariffin, 37, Solehan Abdul Ghafar, 42 dan Alias Ngah, 39, mengemukakan rayuan tersebut selepas permohonan habeas corpus mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 September tahun lalu. Mereka menamakan Ketua Polis Negara (KPN), Menteri Dalam Negeri, Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting, Taiping, Perak dan Kerajaan Malaysia sebagai pihak responden. Dalam keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk K.N. Segara menyatakan bahawa tiada apa yang perlu mahkamah kaji sekiranya segala prosedur penahanan memenuhi keperluan yang ditetapkan dan mematuhi kehendak undang-undang. Di Mahkamah Persekutuan hari ini, Hakim Gill menyampaikan keputusan secara lisan setelah menimbangkan hujahan yang dibentangkan oleh peguam Edmund Bon yang mewakili kesemua perayu. Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Hanafiah Zakaria berhujah membantah rayuan tersebut. Ketika berhujah, Edmund memohon agar mahkamah itu meneliti sama ada keputusan yang dibuat oleh Menteri berhubung lanjutan penahanan adalah mengikut undang-undang . Beliau berkata, Menteri tidak membuat pertimbangan mengenai dakwaan bagi segala fakta dan hanya menyatakan, ``Perintah tahanan atas alasan yang sama.'' Nik Adli didakwa sebagai bekas ketua kumpulan militan KMM telah dilanjutkan tahanan ISA berkuat kuasa 24 September 2003 hingga September 2005 kerana dianggap mengancam keselamatan negara untuk menegakkan kerajaan Islam menggunakan kekerasan. Memetik laporan, dia yang dilantik menjadi ketua kumpulan itu pada satu mesyuarat yang diadakan di Kampung Sri Aman, Puchong, dekat sini pada awal 1999 telah ditahan bersama sembilan orang lagi. Dia juga dipercayai terlibat dalam kegiatan militan termasuk pernah menjalani latihan ketenteraan di Kem Mujahidin di Afghanistan. Menurut hujah Edmund, pihaknya mempersoalkan Menteri yang membuat keputusan melanjutkan tahanan Nik Adli sehingga September 2005 dengan alasan untuk meneruskan siasatan di bawah ISA. Edmund menyatakan, ini menimbulkan keraguan kerana penyiasatan masih berjalan bagi menentukan `kegiatan' KMM dengan luar negara dan perhubungan Al-Qaeda seperti yang dinyatakan dalam afidavit Menteri. Hanafiah pula berhujah bahawa afidavit Menteri tidak perlu mengikut dengan ketat kenyataan mengenai alasan dan fakta penahanan kerana ia telah dinyatakan secara ringkas mengenai perkara itu. Pendakwa raya merujuk dengan membuat perbandingan fakta dan alasan Menteri atas penahanan itu dengan menyebut: ``Sejak 1999 sebagai ketua KMM secara sedar dan rela hati telah terlibat dalam kegiatan yang memudaratkan Malaysia. ``Selaku sebagai Ketua KMM kamu bertanggungjawab penuh dalam mengadakan perjumpaan sulit untuk mempengaruhi orang bawahan, merancang membeli senjata api dan bahan-bahan letupan.'' Hanafiah berhujah bahawa Menteri mengesahkan perkara ini dalam afidavitnya. Beliau juga berkata, Menteri juga yang membuat keputusan melanjutkan perintah tahanan itu dan bukannya Jawatankuasa Lembaga Penilaian. Oleh itu, ujar Hanafiah, mahkamah tidak seharusnya menimbangkan rayuan ini. Kelima-lima perayu turut diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad dan Muhammad Faiz Fadzil.//UM http://www.perakan.net/modules/news/article.php?storyid=1697 --------------------------------- Start your day with Yahoo! - make it your home page [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
