KOTA BHARU 31 Julai - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara ke atas seorang nelayan berusia 59 tahun setelah didapati bersalah merogol seorang budak perempuan berusia 11 tahun tujuh bulan sehingga menyebabkan mangsa mengandung, tiga tahun lalu.
Kandungan mangsa bagaimanapun telah digugurkan atas nasihat doktor yang berpendapat dia tidak sesuai atau terlalu muda untuk mengandung. Hakim Mohd. Yazid Mustafa memerintahkan tertuduh, Deraman Yakub dari Perupok, Bachok, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh hari ini. Beliau bagaimanapun membenarkan rayuan peguam tertuduh, Latifah Ariffin supaya pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan tertuduh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi. Mohd. Yazid turut membenarkan wang ikat jamin sebanyak RM20,000 yang dikenakan ke atas tertuduh sebelum ini dikekalkan, tetapi menambah penjaminnya daripada seorang kepada dua orang. Tertuduh yang didakwa mengikut pertuduhan pindaan, dituduh merogol mangsa yang masih bersekolah, pada Disember 2002 antara 12 hingga 1.30 tengah hari di dalam bilik tidur di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Tok Burong, Perupok, Bachok. Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan boleh disebat. Di dalam penghakimannya, Mohd. Yazid berkata, mahkamah telah mengambil kira segala fakta kejadian itu termasuk kedudukan mangsa yang masih bersekolah, masa kejadian dan kepentingan awam. Beliau turut mengakui, keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas pesalah yang disabitkan dengan kesalahan merogol, telah menyebabkan kes-kes seumpama itu berkurangan. Bagaimanapun katanya, di dalam kes itu, mahkamah perlu mengambil kira faktor kejadian di mana tiada unsur kekerasan apabila mangsa sendiri telah pergi ke rumah tertuduh dan kejadian tersebut pula berlaku pada siang hari. Mohd. Yazid bagaimanapun menolak hujah Timbalan Pendakwa Raya, Aida Farihan Mohd. Nawi bahawa mangsa turut mengalami kesan psikologi kerana berpendapat, mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda tersebut ketika diperiksa semasa perbicaraan kes itu sebelum ini. Terdahulu, Aida Farihan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum 20 tahun penjara ke atas tertuduh dengan mengambil kira kesan kejadian itu terhadap mangsa dan kepentingan awam. Bagaimanapun, Latifah sebaliknya memohon anak guamannya yang telah insaf dan bertaubat serta tiada kesalahan lampau, dijatuhkan hukuman minimum sekali gus membolehkan tertuduh menghabiskan sisa-sisa usianya di dalam masyarakat.//UM http://www.perakan.net/modules/news/article.php?storyid=1746 --------------------------------- Start your day with Yahoo! - make it your home page [Non-text portions of this message have been removed] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
