PASIR MAS, 31 Julai: Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas/Tumpat 
menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,812 kepada murid tahun enam Sekolah 
Kebangsaan (SK) Bechah Kelubi, Chetok, dekat sini, bagi menampung kos rawatan 
penyakit buah pinggang yang dihidapinya.

Wang yang dikumpul hasil sumbangan warga pendidik, pelajar dan murid sekolah 
rendah serta menengah dalam jajahan ini dan Tumpat itu diserahkan Pegawai PPD, 
Kamaruzaman Ab Ghani kepada Nurul Fadilah Foizi.

Nurul Fadilah, 12, yang menghidap penyakit kronik itu ketika berusia enam tahun 
memerlukan perbelanjaan kira-kira RM2,500 sebulan untuk rawatan intensif 
mencuci buah pinggang termasuk kos pengangkutan berulang alik ke Hospital 
Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat Kota Bharu, setiap 
minggu.

Murid tahun enam itu, yang dipasang saluran getah di dalam perutnya, memerlukan 
sebuah bilik khas di rumahnya di Taman Jintan, Chetok, dekat sini, bagi 
memudahkan rawatan memasukkan ubat dan proses mencuci buah pinggang dilakukan.

Bapanya, Foizi Mat Jusoh, 46, berkata setiap hari beliau dan isteri, Naterah 
Ibrahim, 41, akan memastikan anak keempat daripada lapan beradik itu menerima 
rawatan susulan seperti memasukkan ubat dalam tubuhnya sebanyak empat kali 
sehari.

Beliau yang bekerja kampung, berkata rawatan itu perlu dilakukan pada jam 6.30 
pagi, 12 tengah hari, 5 petang dan 11 malam membabitkan empat pain bekalan air 
sehari dimasukkan ke dalam tubuhnya bagi mengurangkan kesakitan. 

"Sepatutnya saya perlu membawa Nurul Fadilah ke HUSM setiap hari untuk rawatan 
seperti memasukkan air ke dalam tubuhnya, tetapi kerana tidak mampu berbuat 
demikian, saya dan isteri terpaksa melakukan sendiri kaedah rawatan itu di 
rumah.

"Saya dan isteri diajar kaedah rawatan oleh doktor HUSM, tetapi masalah utama 
ialah saya dinasihatkan supaya menyediakan bilik khas yang dilengkapi alat 
penghawa dingin, katil dan peralatan sokongan lain di rumah ini.

"Kami menganggarkan kos pembinaan bilik ini lebih RM20,000. Tentunya saya tidak 
mampu kerana setiap bulan terpaksa memikirkan untuk mendapatkan RM2,500 bagi 
rawatan rutin Nurul Fadilah," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian 
sumbangan kepada anaknya di SK Bechah Kelubi, Chetok, dekat sini, kelmarin.

Foizi berkata, beliau sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada warga guru SK 
Bechah Kelubi kerana memberi kerjasama membenarkan anaknya pulang pada jam 12 
tengah hari setiap hari untuk urusan rawatan.

"Saya terharu kerana pengurusan SK Bechah Kelubi dan PPD Pasir Mas/Tumpat yang 
berusaha mendapatkan sumbangan bagi meringankan beban saya sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Kamaruzaman ketika ditemui selepas majlis itu berkata, usaha 
meminta derma dan sumbangan daripada warga pendidik untuk tabung Nurul Fadilah 
dilancarkan Mei lalu.

Katanya, wang yang dikumpul adalah untuk menampung kos rawatan dan pembelian 
bekalan ubat bagi mengurangkan penderitaan murid itu. 

http://www.perakan.net/modules/news/article.php?storyid=1742



                
---------------------------------
 Start your day with Yahoo! - make it your home page 

[Non-text portions of this message have been removed]



 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke