KOTA BHARU, 1 Sept – Kerajaan Kelantan hari ini menyerah kepada kerajaan 
Persekutuan bagi menyelesaikan isu warga Thailand yang datang bagi mencari 
perlindungan di negeri ini. 

Sumber Pejabat Menteri Besar berkata, isu tersebut terletak di bawah bidang 
kuasa kerajaan Pusat kerana ia membabitkan hubungan dua negara berjiran. 
“Sebarang pendirian mengenai isu tersebut hendaklah dirujuk kepada Kuala 
Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 
Media tempatan hari ini melaporkan seramai 131 penduduk Islam yang berumur 
antara 65 dan bawah enam tahun dari Selatan Thailand melarikan diri ke negeri 
ini melalui Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang. 
Ketua Polis Kelantan, SAC 1, Zulkifli Abdullah dalam kenyataan media petang 
semalam berkata, seramai 69 dipercayai warga Thailand berkumpul di Masjid 
Pengkalan Kubur dan 62 lagi di Masjid Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang 
kira-kira jam 8.30 malam, 30 Ogos lalu. 
Ekoran itu, pihak polis menempatkan mereka di dua tempat berasingan iaitu di 
Balai Polis Pengkalan Kubur dan Balai Polis Pasir Mas. Bagaimanapun difahamkan 
malam tadi mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Tanah Merah. 
Sementara itu di TUMPAT, penduduk di Pengkalan Kubur ketika ditemui petang 
semalam memberitahu warga Thailand mulai datang ke Pengkalan Kubur pada petang 
30 Ogos lalu. 
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, pada awalnya beliau tidak 
menyedari kehadiran warga Thailand untuk menumpang sementara di Masjid Al Huda 
Mukim Ketil, Pengkalan Kubur kerana menyangka sebagai jemaah biasa. 
“Bagaimanapun selepas selesai solat Isya’ mereka masih tidak pulang dan saya 
menanyakan mereka datang dari mana. Selepas itulah baru diketahui mereka datang 
dari seberang dan mahu mendapat perlindungan di sini. 
“Ekoran itu, ada penduduk tempatan membawa makanan kerana bersimpati terhadap 
nasib yang mereka alami. Penduduk juga memaklumkan kepada pihak berkuasa 
mengenai kehadiran warga terbabit,” katanya. 
Menurutnya warga dari negara jiran itu menceritakan mereka terlalu takut untuk 
terus tinggal di kampung kerana mendakwa pihak tentera Thailand sedang 
menjalankan operasi menangkap penduduk. 
Kata beliau, pelbagai cerita diluahkan warga berkenaan dan sanggup menyeberangi 
Sungai Tak Bai dengan bot kecil bagi mencari perlindungan. 
“Ada yang membawa sedikit pakaian dan dimasukkan ke dalam guni dan terus 
melarikan diri melalui sungai bagi mencari perlindungan di negara ini. Ada juga 
membawa anak-anak kecil bersama. 
“Malah ada yang melarikan diri sehelai sepinggang kerana takut dengan situasi 
yang berlaku di Selatan Thailand sekarang,” katanya. 
Seorang warga Thailand yang berasal dari Setul, Narathiwat memberitahu beliau 
dan rakan-rakan terpaksa melarikan diri bagi menyelamatkan diri daripada 
tentera Thailand. 
Katanya, beliau tiba di Pengkalan Kubur pada petang Selasa selepas merasakan 
tidak selamat lagi berada di kampung sendiri sekarang. Beliau mendakwa pihak 
tentera Thailand sedang mengadakan operasi menangkap penduduk yang dikaitkan 
dengan pengganas. 
“Di sebuah kampung berdekatan bulan ini sahaja seramai tujuh penduduk muslim 
ditahan dan keadaan mereka sekarang tidak diketahui hidup atau mati. Penduduk 
syak mereka tidak akan pulang lagi,” katanya. 
Warga Thailand yang agak berumur turut meluahkan sanggup mati di Malaysia 
daripada dihantar pulang ke negara asal sekiranya keadaan sekarang dibiarkan 
berterusan. 
Semasa ditemui kumpulan warga Thailand terbabit memberitahu ada di antaranya 
berasal dari Tak Bai, Sungai Padi, Ramit, Chanek dan Bechah Herong. Ada juga 
kanak-kanak dan wanita bersama dengan kumpulan tersebut. Sebahagian besar 
mereka adalah golongan pemuda dan kelihatan seperti pelajar pondok agama. 
Mereka berterima kasih di atas bantuan makanan yang diberi penduduk tempatan 
sepanjang berada di Pengkalan Kubur. Selepas berada di masjid mereka 
ditempatkan sementara di surau Balai Polis Pengkalan Kubur. 
Sehingga sekarang lebih 860 orang terbunuh sejak peristiwa kekejaman tentera 
Thailand ke atas penunjuk perasaan berlaku di Tak Bai pada Ramadhan tahun 
lepas.//hrkh



                
---------------------------------
 Start your day with Yahoo! - make it your home page 

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke