KOTA BHARU, 29 Sept.: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Kelantan memberikan sokongan padu kepada kerajaan PAS di bawah kepemimpinan ulama sekarang.

“Kita dan PAS sentiasa berkerjasama erat dalam Barisan Alternatif (BA) bagi membawa perubahan kepada sistem pemerintahan negara yang lebih adil dan bebas daripada amalan rasuah,” katanya di majlis makan malam bersama masyarakat Tionghua dan NGO di Dewan Perniagaan Cina di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Parti KeAdilan Rakyat (PKR) sentiasa bekerjasama dengan PAS kerana mempunyai dasar perjuangan yang sama bagi membawa keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Tambah beliau sejak dibebaskan dari penjara akhir tahun lepas, ramai pemimpin Umno datang berjumpa untuk memujuknya menyertai semula parti tersebut.

“Pemimpin Umno yang selalu mendakwa membela nasib Melayu semuanya kaya raya di mana harta mereka sehingga berjumlah ratusan juta, sedangkan orang Melayu di kampung-kampung masih dalam keadaan susah dan miskin.

“Inikah pemimpin yang nak membela nasib orang Melayu? Hidup mewah dengan wang rakyat tapi rakyat dibiarkan hidup susah. Saya merasakan tidak perlu lagi kepada semangat Dasar Ekonomi Baru kerana ia terbukti gagal membela rakyat,” kata beliau.

Beliau juga berkata, sekiranya BA berjaya memerintah negara ini, semua rakyat sama ada Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli dipastikan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Misalnya dalam bidang pendidikan anak-anak orang Melayu miskin yang cemerlang kita akan beri biasiswa, anak orang Cina miskin yang cemerlang juga akan diberi biasiswa. Kita semua adalah warga Malaysia,” katanya.

Menurutnya, BA akan pastikan rakyat tanpa mengira kaum dan bangsa hidup dengan penuh harmoni tanpa ada sikap prajudis dalam masyarakat.

Wakil masyarakat Tionghua, Hu Pang Chow berkata, majlis malam itu cukup bersejarah kerana semua kaum yang hadir menikmati hidangan bersama. Katanya, suasana itu membuktikan PKR diterima semua rakyat tampa mengira bangsa dan agama.

Menurutnya juga, pemimpin Umno sebenarnya dianggap belum lagi merdeka kerana masih berfikiran cara lama yang sempit dan bersifat perkauman.

Pengerusi Perhubungan PKR Kelantan, Nik Mahmood Nik Hasan berkata, pendekatan lapuk digunakan Umno tidak mendatangkan perpaduan dalam masyarakat yang berbilang bangsa.

Turut hadir pada majlis tersebut, Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Adun Kota Lama, Dato’ Anuar Tan Abdullah, dan wakil NGO termasuk ABIM dan JIM.//Hrkh


Yahoo! for Good
Click here to donate to the Hurricane Katrina relief effort.

YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke