Ucapan YB Dato Ab Halim Ab Rahman sewaktu membahaskan Bajet 2006 pada 12 Oktober 2005 di Parlimen.
 

Tuan Yang di-Pertua, yang kedua di bawah Pembangunan P.26, Kementerian  Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Kebetulan saya mewakili rakyat di kawasan saya yang kebanyakannya adalah industri batik dan juga industri songket. Dalam soal ini sebelum saya pergi kepada cadangan, industri pembuatan batik dan kraf terdapat di seluruh Malaysia tetapi kebanyakannya tertumpu di Kelantan dan Terengganu. Bancian pada tahun 1998 menunjukkan 63.8% dari usahawan batik dan kraf adalah dari Kelantan.

 

Perusahaan batik mula diusahakan mulai tahun 1940-an lagi. Industri batik boleh menjanakan kerja, peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang boleh diwujudkan di dalam industri batik ini sebanyak 27% guna tenaga dan sektor perkilangan iaitu kira-kira 56 ribu peluang pekerjaan dan peluang perniagaan.

 

Tuan Yang di-Pertua, pada amnya ciri-ciri perusahaan batik di Kelantan atau di Terengganu adalah seperti berikut yang masih ada sekarang ini; mempunyai struktur industri tradisional, tidak menggunakan mesin atau tidak menggunakan enjin; tiada kemudahan infrastruktur; 85% dari pengusaha kecil, 15% daripada pengusaha besar dan sederhana. Lima daripada pengusaha batik yang besar yang berjaya mencapai RM12 juta hingga RM18 juta setahun. Terdapat tiga kategori pemprosesan batik iaitu batik halus sebagai mana yang dipakai oleh para Menteri dan Yang Berhormat semua -

batik cetak dan batik stensil.

 

Tuan Yang di-Pertua, industri batik dan kraf ini terdiri daripada aktiviti tradisional seperti anyaman, bukan sahaja batik tetapi juga anyaman tikar, bakul, ukiran barangan perak dan sebagainya juga pembuatan keris dan barang-barangan tembikar. Kesemua hasil kraf dihasilkan oleh pembuat yang mahir secara manual tanpa menggunakan alat moden.

 

Tuan Haji Ismail bin Noh: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi Pasir Mas.

Dato' Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman: Sila.

 

Tuan Haji Ismail bin Noh: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat bagi Pengkalan Chepa. Apakah pandangan Yang Berhormat tentang pengurusan batik yang kita lihat di Kelantan sekarang ini, makin malap atau dalam bahasa mudah iaitu penutupan kilang-kilang batik daripada satu ke seterusnya. Apakah usaha-usaha untuk menampung keperluan dan usaha-usaha untuk membiakkan kilang batik ini bukan sekadar hanya di Kelantan, tetapi di peringkat seluruh negara supaya ia dapat berkongsi dengan baik.

 

Dato' Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman: Terima kasih Yang Berhormat bagi Pasir Mas, saya akan masuk. Soalan itu ke depan sedikit daripada apa yang saya hendak bincangkan. Saya akan jawab di sini. Pewujudan pusat pameran batik dan kraf adalah selaras dengan pelancaran batik di Bintang Square dan juga Star Hill Shopping Center oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi yang juga sejajar dengan hasrat serta saranan isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Hindun Mahmood, selaku penaung kepada Yayasan Budi Penyayang Malaysia supaya menjadikan industri batik Malaysia terkenal di peringkat antarabangsa iaitu dengan pelancaran slogan ‘Malaysia Batik Craft for the world’.

 

Dengan sokongan dan saranan ini, adalah dijangkakan industri batik akan kembali menyinar secara keseluruhannya. Dan, di sini saya rasalah negara dan rakyat terutama sekali rakyat Kelantan dan juga rakyat Terengganu yang rata-rata mengusahakan batik ini sangat terhutang budi kepada Datin Seri Hindun yang telah pun mengambil inisiatif.....  [Tepuk]

 

Inisiatif untuk mempromosikan batik ini sehinggakan sekarang ini dalam fesyen-fesyen pun banyak digunakan batik. Saya percaya sekiranya kita semua dapat turut serta iaitu sama-sama kita berdoakan supaya Datin Seri Hindun ini cepat dipulihkan daripada penyakitnya dan sihat walafiat, Insya-Allah. Pada bulan puasa ini, Insya-Allah kalau sama-sama kita berdoa untuk berkat ini Datin Seri akan pulih dengan lebih cepat lagi daripada kesakitan barah payu dara.

 

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat bagi Sri Gading.

Dato' Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman: Sila.

 

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat bagi Pengkalan Chepa. Yang Berhormat bagi Pengkalan Chepa mendoakan Datin Seri Hindun dan dia rasa terima kasih kerana Datin Seri Hindun yang mempelopori untuk diupgradekan pengurusan batik inilah. Saya cadangkan bantulah pembatik-pembatik di Kelantan ini oleh kerajaan. Siapa punya kementerian, Tuan Yang di-Pertua?

 

Seorang Ahli: Usahawan.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz: Usahawan ya. Tolong bantulah pembatik-pembatik yang ada di Kelantan, kerana Yang Berhormat bagi Pengakalan Chepa bersangka baik dengan isteri Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Terima kasih, Yang Berhormat bagi Pengkalan Chepa.

 

Dato' Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman: Terima kasih. Saya rasa jasa Datin Seri sangat tinggi. Dalam pemulihan, dia menyinap kembali urusan perusahaan batik ini yang hampir layu dan pupus. Pewujudan sebuah pusat pameran batik dan kraf Kelantan yang juga berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran adalah sangat penting untuk menyatukan para pengusaha batik dari seluruh negeri di bawah satu sistem yang tersusun dan terkawal serta dapat mengeluarkan barangan secara ekonomi dalam memberikan pasaran. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan, melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri telah memberi kerjasama dan menjanjikan untuk memajukan dan membina pusat kraf tangan ini. Cuma saya mengharapkan dalam Rancangan Malaysia ke-9 ini perkara ini akan dapat dilaksanakan.

 

Dato' Haji Che Min bin Che Ahmad: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat bagi Pasir Puteh.

Dato' Haji Che Min bin Che Ahmad: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat bagi Pengkalan Chepa kerana memberikan laluan. Setuju atau tidak, soalan saya, kalau kita minta supaya Kementerian Pelancongan promotekan kita punya batik ini sampai ke luar negara. Yang peringkat komersial, yang betul-betul bertaraf dunia.

 

Seorang Ahli: MITI.

Dato' Haji Che Min bin Che Ahmad: MITI, sorry.

Dato' Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman: Setuju, cuma masalah yang ada, yang kelemahan di pihak kitanya, kita tidak ada pusat kraf tangan dan batik yang bertanggungjawab untuk design. Kita perlu menjemput pakar-pakar luar negara seperti Belanda, Itali sebab corak batik sekarang ini boleh dikatakan tempatan, jadi sebelum kita pergi, kita kena bina dahulu pusat kraf dan batik ini supaya semua dapat ...

 

Tuan Mohamad Shahrum bin Osman [Lipis]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat bagi Lipis bangun.

Tuan Mohamad Shahrum bin Osman: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat bagi Pengkalan Chepa. Yang Berhormat tidak percayakah kepada pakar-pakar tempatan sehingga terpaksa mengimport pakar-pakar luar negara hendak design batik? Batik ini sebenarnya adalah hak tempatan. Jadi, saya hairan juga dasar Kerajaan PAS suka mengimport orang luar negara. Terima kasih.

 

Dato' Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman: Saya bukan tidak percaya, tetapi apabila kita hendak memasuki pasaran-pasaran yang besar, sama ada kita hantar pakar-pakar kita ataupun designer kita untuk berlatih dan melihat sendiri cita rasa di tempat-tempat yang kita hendak export, seperti Australia, Belanda ataupun Eropah dan sebagainya.

 

Sekiranya kita tidak dapat membuat satu bentuk corak batik dengan cita rasa mereka mungkin batik kita itu akan terkandas. Kalau kita tidak dapat menghantarkan untuk berlatih di sana, tentulah kita jemput untuk melatihkan designer kita untuk kita export pada negara tersebut.

 

Datuk Haji Idris bin Haji Haron: [Masuk ke dalam Dewan]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, boleh gulung. [Ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Yang Berhormat bagi Tangga Batu baru masuk, bukan untuk minta penjelasan. [Ketawa]

 

Dato' Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman: Tuan Yang di-Pertua, anggaran pembinaan pusat kraf dan batik ini sebanyak RM6.5 juta sahaja. Saya mengharapkan bahawa Kementerian Pembangunan Usahawan dapat merealisasikan ini kerana kerajaan negeri telah pun membelanjakan sebanyak RM3.02 juta bagi membeli tapak dan sebagainya. Saya percaya dengan sokongan Yang Berhormat semua, dengan sokongan daripada pihak-pihak tertentu di pusat ini di federal ini tentang hendak tengok batik ini masuki pasaran-pasaran lebih luas, saya percaya peruntukan yang kecil ini dapat disediakan iaitu RM6.5 juta sahaja. Sekian, terima kasih.//Perakan

 

 
http://www.perakan.net/modules/wfsection/article.php?articleid=175


Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.

SPONSORED LINKS
Florist malaysia Malaysia hotel Kelantan


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke